Aspek negatif himpunan RUU 355 yang tidak ditonjolkan

Oleh : Mohamed Hanipa Maidin

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Pas kerana berjaya mengumpulkan ramai orang hadir berhimpun di padang Merbok pada 18 Februari yang lepas bagi menyokong RUU 355 . Meskipun, dari segi perundangan RUU 355 belum berstatus apa apa, namun nampaknya ramai yang teruja dengannya.



Bagi saya, jika ada sebarang kejayaan kepada perhimpunan tersebut, ianya adalah kemenangan demokrasi. Jelas, jika mana mana perhimpunan, sebesar mana pun, ianya boleh menjadi aman jika polis tidak kacau.

Walaupun ada suara suara tertentu yang cuba mengaitkan perhimpunan tersebut dengan kemenangan atau kehebatan Islam, saya tidak berfikir begitu. Dalam laporan Malaysiakini, saya membaca ada para peserta yang mengakui mereka hadir memberi sokongan kepada perhimpunan itu walaupun mereka tidak faham RUU itu. Jika benar laporan itu, bagi saya, ia suatu yang amat malang, kerana saya tak rasa Islam menyuruh kita sokong sesuatu yang kita jahil akannya. Lagi satu, perhimpunan itu menjadikan rakyat negara ini seolah-olah terbahagi kepada dua kelompok iaitu yang sokong hukum Islam dan yang tidak sokong hukum Islam. Bagi saya, ini amat negatif kepada imej Islam.

Malaysiakini juga melaporkan yang Presiden Pas dikatakan menuduh mereka yang menentang RUU 355 adalah ibarat nyamuk dan agas. Bagi saya, elok juga Presiden Pas berhenti mengibaratkan orang lain dengan haiwan. Saya lihat agak kerap juga beliau mengeluarkan kenyataan yang mengaitkan pihak pihak tertentu dengan istilah haiwan.

Saya penuh sedar akan ada nanti penyokong penyokong tegar Presiden Pas yang akan kata apa salahnya mengibaratkan seseorang dengan haiwan kerana Al Quran juga lakukan perkara yang sama. Ya, benar. Di ruang yang terhad ini, saya tidak mahu berdebat soal tersebut.

Apa yang saya ingin nyatakan di sini adalah tanpa diperincikan maksud sebenar istilah " mereka yang menentang RUU 355", pihak yang menyokong RUU 355 selalunya amat mudah melabel mana mana pihak yang tidak setuju dengan mereka sebagai penentang hukum Allah meskipun masih boleh didebatkan pihak yang menyokong RUU 355 itu sendiri betul betul faham dengan RUU tersebut.

Ya, pindaan ke atas RUU 355 melalui rang undang undang ahli persendirian yang dibawa oleh Ahli Parlimen Marang adalah bertujuan menaikkan bidangkuasa jenayah mahkamah shariah bagi membolehkan hudud dilaksanakan di Kelantan.

Namun, yang sengaja tidak dibincangkan oleh penyokong RUU 355 adalah suara suara kritik yang mempersoalkan sama ada Kelantan benar benar sudah bersedia laksanakan hudud. Begitu juga, tidak dibincangkan kesan pindaan RUU 355 ke atas hukuman yang agak tinggi dan berat ke atas kesalahan taazir.

Semua tahu ada beberapa pimpinan dan Menteri Umno yang juga hadir dalam perhimpunan tersebut.Media melaporkan ada Menteri Umno yang menyatakan bila Akta 355 dipinda pada tahun 1994 tiada sesiapa yang bising, sebaliknya ramai yang bising bila akta itu ingin dipinda melalui RUU 355. Jawapan mudah masa pindaan 1994, Kerajaan yang pinda dan ianya tidak dipolitikkan. Sebaliknya sekarang , bukan Kerajaan yang nak pinda . Sekarang ini, kedua dua parti politik Pas dan Umno berlumba-lumba dan bersaing untuk tunjukkan siapa yang lebih pro shariah.

Dari awal kita melihat perhimpunan tersebut ditonjolkan sebagai perhimpunan Islam. Maka ditonjolkan para peserta yang solat berjemaaah, para wanita menutup aurat dan isi kandungan ceramah dalam perhimpunan tersebut yang berwarnakan Islam. Contohnya, ada pimpinan muslimat yang menyatakan walaupun cuaca panas, namun diharapkan para peserta yang berhimpun akan dibangkitkan di padang masyar nanti dalam keadaan sejuk.

Maka, secara tidak langsung perhimpunan itu cuba dibezakan dengan perhimpunan Bersih yang minta pilihanraya adil, bercampur muslim dan non muslim, wanita yang tidak menutup aurat dan ceramah yang mengkritik Kerajaan.Satu perhimpunan islamik, satu lagi tidak.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan