Oleh Ahmad Lutfi Othman
Reaksi segera Presiden Pas, Tuan Guru Abdul Hadi Awang terhadap
tempoh masa sebulan yang diberikan Dr Mahathir Mohamad memang sudah
dijangka. Ia juga dapat ditelah daripada sikap sebahagian besar pimpinan
tertinggi Parti Islam kepada penasihat parti Bersatu itu, walaupun
semasa proses rundingan masih berlangsung.
Ketika Timbalan Presiden, Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Pengarah
Pilihan Raya, Mustafa Ali dan Naib Presiden yang juga Pesuruhjaya Pas
selangor, Iskandar Abd Samad menunjukkan pendirian lebih terbuka dan
bersedia untuk bertolak-ansur, Ustaz Hadi dan Mursyidul Am, Ustaz Hashim
Jasin sudah lama menunjukkan mesej berbeda.
Kedua-dua pemimpin ulung pas itu seringkali menjelaskan bentuk dan
syarat tahaluf yang boleh diterima, iaitu pastikan Pas yang memimpin,
bukan dipimpin; Pas yang mendominasi bukan sekadar mengikuti. Kerjasama
politik sebelum ini dianggap gagal disebabkan parti lain yang menguasai
dan Pas terpaksa banyak berkorban.
Usah dikira kenyataan atau posting facebook yang dibuat oleh pimpinan
lain yang dilihat mendukung kuat pendekatan politik ustaz Hadi,
misalnya Naib Presiden, Ustaz Nik Amar Nik Abdullah, Ketua Penerangan,
Nasrudin Hasan Tantawi, Ketua Pemuda, Nik Abduh Nik Abd Aziz, Ketua
Ulama, Dr Mahfodz Mohamed dan orang yang dilihat strategis baru Pas, Dr
Zuhdi Marzuki. Kalau mahu diambil kira pandangan Ahli-ahli Jawatankuasa
Pas Pusat misalnya Razman Zakaria dan Ustaz Mokhtar Senik, tidak
tergambar bahawa Pas berminat untuk bekerjasama lagi dengan parti
seperti PKR.
Malah, apabila berulang kali ditekankan syarat ketat dan mengikat,
iaitu tiada hubungan dengan mana-mana parti yang mempunyai persefahaman
dengan DAP dan Amanah, sudah jelas terbayang isi hati dan kecenderungan
sebenar Pas.
"Parti yang jelas tidak mampunyai hubungan sama sekali dengan DAP dan
Amanah, hanyalah Umno-BN." kata seorang pemerhati politik, dengan nada
sinis. "Soalnya, PKR yang ada hubungan rasmi dengan kedua-dua parti
seteru Pas itu boleh pula terus bekerjasama. Sepatutnya keputusan sudah
dibuat, tidak perlu tunggu muktamar lagi, untuk putuskan kerjasama
dengan PKR."
Dirujuk perkembangan Pas, terutama selepas bermulanya era kepimpinan
ulama pada 1983, pengalaman dan eksperimen politiknya menunjukkan satu
proses kematangan, meningkat tahap ke tahap yang membanggakan. Dan tidak
mustahil bila sampai masanya, Pas boleh menjadi parti paling
berpengaruh di antara parti-parti pembangkang, khususnya selepas
mendapat kepercayaan majoriti masyarakat Melayu.
Dalam pilihan raya umum 1986, Pas membuka pintu rundingan serta
menjalin hubungan dengan parti-parti kecil- PRM, Nasma dan SDP - dalam
pakatan yang dinamakan Harakah Keadilan Rakyat (HAK) sekali gus
menunjukkan kesediannya untuk berkongsi kuasa, walaupun dilihat hanya
terbatas dengan parti yang kurang menyerlah.
Sebelum itu, ditubuhkan Majlis Perunding Cina (CCC), khusus buat
mendekatkan Pas dengan masyarakat Tionghua. Pimpinan Pas masuk-keluar
premis tokong Cina dan mengadakan dialog secara terbuka tentang konsep
Negara Islam dan yang berkaitan dengannya. Benteng yang memisahkan Pas
dengan golongan bukan Islam berjaya ditembusi ketika Parti Islam itu
dilanda pelbagai tohmahan negatif.
Walaupun hanya menang satu kerusi tunggal di Parlimen, iaitu
Pengkalan Chepa (dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri pun tewas
di Bachok), pada pilihan raya pertama di bawah era kepimpinan ulama,
namun Pas bingkas bangun. Muktamar di Rusila, Terengganu, 1987, agak
panas dan bergelegal dengan kritikan tajam terhadap kepimpinan parti
tetapi semangat dan komitmen ahli tidak pudar.
Sebaliknya
Umno menghadapi masalah dalaman yang serius sehingga terbentuk Team A
dan Team B, susulan proses pemilihan parti pada april 1987, yang
kemudiannya menyebabkan Umno diisytihar haram oleh mahkamah. Pas tidak
menunggu lama untuk memanfaatkan peluang yang ada, mendekatkan diri
dengan kumpulan Tengku Razaleigh Hamzah, yang seterusnya membentuk Parti
Semangat 46.
Tidak mudah juga untuk Ustaz Fadzil Mohd Noor mengadakan kerjasama
dengan Ku Li, arkitek Umno Kelantan yang merampas negeri itu daripada
Pas pada 1978. Saya berpeluang menziarahi dua tokoh muda Pas, Mohamad
Sabu dan Mahfuz Omar di rumah masing-masing, di Shah Alam dan Alor
Setar, ketika mereka baru dibebaskan dari Pusat Tahanan Kamunting ekoran
tahanan ISA di bawah Operasi Lalang 1987. Kedua-duanya kuat menentang
idea tahaluf tetapi kebijaksanaan dan kesabaran Ustaz Fadzil mampu
menjinakkan mereka untuk menerima eksperimen politiknya.
Pada PRU1990, Pas sedia menyerahkan sebahagian besar kerusi kepada
Semangat 46 walaupun diketahui parti baru itu serba kekurangan, termasuk
sokongan akar umbi. Ku Li juga berjaya merapatkan serta mengendurkan
ketegangan Pas dengan DAP, dengan mengadakan kerjasama tidak langsung.
Pas tidak pula keluar daripada Angkatan Perpaduan Ummah walaupun
Semangat 46 turut berada dalam Gagasan Rakyat, bersama DAP dan PBS, dua
parti yang dipaparkan sebagai tidak mesra Islam.
Kes
pemecatan Anwar Ibrahim pada 1998 juga membuka lembaran baru dalam
proses eksperimen politik Pas. Tanpa meminta restu kepimpinan parti
terlebih dahulu, Ustas Fadzil tangkas mengisi kekosongan apabila
menziarahi bekas TPM yang dizalimi itu ketika Anwar masih Timbalan
Presiden Umno. Pas memimpin Gerak, gabungan NGO dan parti politik yang
menentang kezaliman elit penguasa. Serentak itu, keahliannya meningkat
pantas. Borang untuk menjadi ahli Pas bagai pisang goreng panas.
Sesungguhnya, tidak mudah juga untuk menangani elemen dalam parti
yang tidak berpuas hati dengan gerak politik berpandangan jauh Ustaz
Fadzil itu. Cuma, apabila kepimpinan tertinggi mahu memacu perubahan dan
cepat membaca mood rakyat, segala cabaran dalaman mampu dihadapi dengan
matang. Ustaz Fadzil turun berdialog dengan ahli-ahli yang protes dan
membantah; segala persoalan dan kemusykilan dijawab dengan tenang.
PRU1999 menyaksikan sikap Pas lebih terbuka. Tiada lagi dua bentuk
kerjasama politik pembangkang seperti pada 1990, iaitu Angkatan
Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat. Barisan Alternatif yang terdiri Pas,
KeADILan, PRM dan juga DAP, mengemukakan manifesto bersama dan berkaya
mengelak pertembungan sesama sendiri. Pimpinan Pas dan DAP dapat
bersemuka dalam mesyuarat bersama.
Walaupun ikatan dengan DAP terburai sebelum PRU2004, disebabkan isu
Negara Islam, hubungan tidak rasmi nampak berjalan terus.
Sekurang-kurangnya tidak timbul kes kecam-mengecam di khalayak.
Kedua-dua parti masih utuh dengan jati diri pembangkang. Lagi pula
konstituensi Pas dan DAP tidak bertindan.
Tiada
timbul kerisauan dan prejudis bahawa mana-mana parti pembangkang
cenderung dengan Umno. Semuanya jelas menentang parti pemerintah. Malah,
sebelum itu, pelawaan Dr Mahathir Mohamad untuk mengadakan pertemuan
bagi merintis apa yang dinamakan perpaduan Melayu selepas PRU1999
ditolak secara berhemah oleh Ustaz Fadzil.
Menghadapi PRU2008, kedua-dua parti tidak ada hubungan formal tetapi
di kebanyakan negeri, bukan saja persefahaman untuk mengelak bertanding
sesama sendiri, malah kempen dapat diselaraskan dengan baik. Justeru,
apabila BN dapat dikalahkan di beberapa negeri serta majoriti dua
pertiga dinafikan di Dewan Rakyat, dengan pantas sekali Pakatan Rakyat
dibentuk sebaik kerajaan baru negeri ditubuhkan.
Kepimpinan tertinggi Pas serta-merta menolak idea kerajaan perpaduan
Umno-Pas, khususnya di Perak dan Selangor. Bayangkan, kalau diterima
cadangan itu, Pas akan mengetuai empat negeri, satu kesempatan terbaik
buat Pas sepanjang sejarahnya. Namun, mereka tidak tersilau dan amat
menyedari mandat sebenar rakyat dan penerimaan secara terbuka oleh
pengundi bukan Melayu yang tidak sepatutnya dikhianati.
Dua tiga orang pimpinan Pas negeri tertentu, seperti Pahang dan
Pahang, mengakui, sebenarnya sepanjang era yang dikatakan pecahnya
Barisan Alternatif itu, hubungan dengan DAP secara tidak formal tetap
terjalin balik. Mereka meneruskan kerjasama dan program politik terutama
membabitkan kepentingan rakyat. Mungkin kerana itu jugalah, DAP lebih
mudah menerima Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar selepas gabungan
parti itu bersama PKR dan Pas menang tipis dalam PRU2008 di Perak.
Malangnya, dalam masa sama, Pas seakan-akan mula diresapi sikap untuk
mendominasi dan menguasai, tanpa menyedari kekuatan asas, terutama dari
segi penguasaan kerusi. Sebahagian pemimpin Pas rasa terpinggir
walaupun partinya diakui paling berpengalaman, mempunyai jentera akar
umbi paling efisyen, dan ahlinya terbukti sedia berkorban dan cukup
setia.
Ada merasakan jentera dan kesetian ahli Pas diperalatkan oleh parti
sahabat sementara prinsip parti terpaksa dilenturkan. Dalam masa sama,
pendekatan sederhana dan bijaksana yang dipupuk secaras bertahap sejak
1983, mula tergugat. Suara lantang dan agresif mula mengambil tempat.
Desakan untuk mengkaji semula kedudukan Pas dalam Pakatan Rakyat
diluahkan secara rasmi.
Bukan sesuatu yang pelik dan aneh, jika mana-mana parti politik mahu
lebih ke depan berbanding rakan sekutu. Juga sesuatu yang lumrah bagi
setiap tokoh politik yang mengimpikan jawatan paling tinggi da;am
kerjayanya. Namun, ia tidak harus mencarik persefahaman yang terjalin.
Dan jangan lupa, sesungguhnya dinamika politik sentiasa bersilih
ganti. Lima tahuh memisahkan. Mungkin pilihan raya berikutnya keputusan
pilihan raya berbeda dan posisi dalam kerajaan juga boleh berbeda.
Misalnya pada 2008, Pas Selangor memperolehi hanya lapan kerusi Dewan
Undangan Negeri tetapi meningkat kepada 15 pada 2013.
Kempen saraf Umno yang menyuntik rasa cemas tidak berasas terhadap
"ketuanan Melayu" dan dominasi Cina-DAP juga berbekas. Presiden, Ustaz
Hadi dan Mursyidul Am Pas, Dr Haron Din dilihat tidak senang dengan
Pakatan Rakyat. Serentak itu, kecurigaan berbenih tentang kemungkinan
Pas lebih mesra dengan elit penguasa, seperti ditunjukkan oleh mereka
dalam isu skandal raksasa 1MDB.
Maka, proses berperingkat Pas untuk menjadi parti berpengaruh
terhenti secara tiba-tiba. Daripada sebuah parti yang nampak matang dan
bersikap terbuka menjadi agak angkuh dan melanggar segala hukum
diplomasi.
"Kepada sebahagian pimpinan tertinggi Pas, kegagalan untuk memenangi
hati pengundi masyarakat Melayu dalam PRU13 disebabkan faktor DAP.
Mereka beranggapan orang Melayu akan menyokong Pas jika Pas tiada lagi
hubungan dengan DAP," kata bekas ahli Parlimen yang kini menyertai
Amanah.
"Bagi saya, sudah menjadi perancangan elit Umno dan strategi perang
saraf Majlis Keselamatan Negara untuk memutuskan hubungan Pas-DAP ini,
demi survival Umno-BN. Dan lebih malang lagi, keputusan bercerai dengan
DAP dibuat dalam muktamar tanpa melalui proses perbahasan terlebih
dahulu," ujarnya lagi.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan