Guan Eng hina PAS, Islam atau Almarhum TG Nik Aziz?

OLEH USTAZ MOHD NOR HAMZAH

Lim Guan Eng terus mencari publisiti murahan dengan kenyataan-kenyataan seperti menghina Islam secara langsung atau tidak langsung. Terbaharu apabila beliau memilih untuk menghina kepimpinan PAS Kelantan yang diterajui oleh almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang bermottokan Membangun Bersama Islam.

Sudah puluhan tahun PAS memerintah sejak merampas Kelantan dari Umno, baru beberapa hari ini, beliau mengorek-ngorek apa yang beliau dakwa sebagai penyelewengan PAS di Kelantan. Umno pun tidak dapat melakukan kerja korek mengorek ini setelah rakyat sedar bahawa Umno hanya menipu dalam menuduh PAS. Tetapi kerja Umno kini diambil oleh LGE secara sukarela.
Bagi mengalih pandangan rakyat dan debaran beliau terhadap kes rasuah beliau yang dikatakan sangat mirip dengan kes Datuk Seri Khir Toyo yang dijatuhkan hukuman kerana didapati bersalah, beliau berduet dengan bapanya menyerang PAS secara konsisten dengan kisah-kisah palsu penyelewengan. Ini tidak lain hanyalah bagi mengotorkan juga pihak lain supaya dilihat lebih kotor daripada mereka yang sudah sedia ada kotor. Politik murahan yang lapuk sebegini, tidak lagi laku sebenarnya untuk dijual kepada rakyat Malaysia yang cerdik menilai sekarang ini.

Kenapa saya tanyakan LGE menghina PAS, Islam atau TGNA? Ini kerana pemerintahan Kelantan semenjak dahulu lagi dengan begitu bersusah payah membinanya mengikut acuan Islam. Dengan menghapuskan judi, riba, membantu fakir miskin tanpa mengira fahaman, tiada kes penyelewengan yang berlaku, berjaya mengatasi banyak negeri dari segi kedudukan termiskin.

Dengan sumber yang terhad dan disekat semenjak dahulu, Kelantan berjaya melepasi halangan ini walaupun diakui masih banyak kekurangan. Inilah yang Islam mahukan, mencuba yang terbaik bagi mencapai kesempurnaan dan kemudiannya mengajak rakyat memahami Islam dengan membantu menyediakan madrasah-madrasah yang berteraskan Islam di seluruh Kelantan.

Legasi ini diteruskan oleh YAB Ustaz Datuk Ahmad Yakob, Menteri Besar sekarang dengan beberapa penambahbaikan. Sehingga kini, tuduhan sebagai ‘corrupted state’ oleh LGE gagal dibuktikan. Tiada kes penyelewengan pembalakan yang terkena YAB MB dulu atau sekarang. Yang ada hanyalah pengktirafan sijil ISO ketika zaman almarhum TGNA dan juga masa terkini.

Dan dengan pengesahan oleh Jabatan Perhutanan Kelantan bahawa Kelantan bersih dalam pembalakan, menambahkan lagi nilai hikayat fitnah LGE ini. Kepada siapakah LGE cuba menzahirkan kebenciannya? Terhadap PAS, Islam atau TGNA? Ketika seluruh rakyat memperkatakan kebaikan TGNA setelah dua tahun pemergian almarhum, adakah LGE memilih untuk menghina almarhum?

Tindakan beliau ini juga dapat difahami sebagai ekspresi kekecewaan DAP terhadap boneka mereka PAN, yang gagal berfungsi dengan baik. Pelbagai sokongan yang diberikan, namun PAN masih gagal menjadikan mimpi mereka menggantikan PAS sebagai realiti. Tercungap-cungap kelemasan mencari sokongan ahli baru, walaupun sudah diberikan diskaun 80% yuran ahli dari sebanyak RM10 kepada RM2. Tuduhan LGE ini sebenarnya dengan sengaja, turut terpalit kepada ayam tambatan mereka, Datuk Paduka Husam Musa yang mana turut berada dalam Kerajaan Kelantan ketika itu. Namun sama ada Husam tidak sedar atau sengaja menebalkan mukanya dengan tuduhan DAP ini, itu kita kurang periksa.

Saya rasa sangat cukup bagi semua rakyat Malaysia memahami dan bersetuju dengan jawapan yang saya berikan. Malah anda semua boleh membuka laman-laman web rasmi bagi melihat laporan-laporan ini. Yang patut beliau lakukan sekarang ialah berhenti melibatkan diri dengan apa yang bukan urusan beliau. LGE memerlukan penasihat yang lebih baik lagi daripada yang beliau ada sekarang ini, jika tidak mahu dibenci oleh rakyat terutamanya orang-orang Islam.

Mungkin juga beliau sangat tertekan dengan keadaan sokongan rakyat terutamanya umat Islam terhadap PAS hasil daripada budaya politik matang dan sejahtera PAS. Himpunan RUU355 nanti, bakal melonjakkan lagi sokongan rakyat terutama Islam, bagi menghapuskan Ahok versi Malaysia yang cuba mencampuri urusan umat Islam.

Ditambah lagi tekanan kerana duduk bersama dengan Tun Mahathir yang terlalu banyak terpalit dengan isu-isu rakyat satu ketika dahulu, LGE dan ayahnya kelihatan pening untuk menjadi mesin basuh, bagi mensucikan Mahathir. Zahid Ibrahim juga kelihatan agak sedikit nakal mengusik DAP dengan tanpa rundingan, terus mengangkat Tun Mahathir sebagai pemimpin pembangkang sejurus selepas beliau masuk DAP.

Akhirnya, akibat kepeningan dengan sikap LGE, tiga orang Adun dan seorang ahli Parlimen dari DAP telah mengisytiharkan keluar parti semalam kerana hilang keyakinan dengan corak pembawaan DAP oleh LGE sekeluarga. Saya percaya mereka ini lebih maklum menilai LGE secara dekat. Ini tidak pelik kerana suatu masa dahulu, Perak pernah jatuh ke tangan Umno-BN hasil daripada lompatan Adun dari DAP dan PKR kepada Umno.

Oleh itu, nasihat saya kepada LGE, cukuplah berpolitik dengan cara kebudak-budakan. Sepatutnya beliau harus merasa malu kerana kepimpinan beliau jauh lebih kotor daripada PAS. Tetapi beliau berterusan cuba menjadikan PAS sebagai kambing hitam. Apa yang perlu LGE lakukan ketika ini ialah menikmati hidup bebas beliau, bimbang kalau-kalau nasib Khir Toyo menimpa beliau.

Dan jika benar ada penyelewengan oleh Kerajaan Kelantan, silalah ke SPRM dengan segera. Tidak perlu mencari populariti di media-media sosial. SPRM mungkin gemarkan kes-kes yang melibatkan PAS dan Kerajaan Kelantan sedia membuka pintu untuk siasatan seluas-luasnya insya Allah. -

Penulis ialah Ketua Penerangan PAS Terengganu yang juga Adun Bukit Payong.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan