Kes pasar Pasir Puteh, pakar maqasid sokong bantahan peniaga

Situasi yang dialami para peniaga pasar Pasir Puteh yang diarah berpindah ke pasar baru yang tidak menepati spesifikasi dianggap satu kezaliman.
Salah seorang pakar Maqasid Syariah Ustaz Wan Ji Wan Hussin berkata tindakan membina pasar yang sama sekali bercanggah dengan keperluan peniaga dan pengguna seperti itu memang jelas bertentangan dengan prinsip mana-mana agama.
"Kalau agama Kristian, Buddha, Hindu dan lain-lain mengajar supaya kezaliman dalam bentuk apapun ditentang, tak kan Islam yang kita kata lebih tinggi dari agama-agama lain mendiamkan diri terhadap perkara aniaya seperti ini," katanya ketika berucap di majlis Dialog Sinergi anjuran pemuda Amanah Kelantan, di Salor, Kubang Kerian malam tadi.
Majlis dialog santai yang dipengerusikan ketua pemuda Amanah Kelantan Hazmi Hassan itu turut disertai naib pengerusi Amanah Kelantan Ustaz Che Ibrahim Mohamed dan bendahari Amanah Pasir Puteh Ir Nor Marzuki Yaacob.
Program santai itu membincangkan secara terbuka topik-topik semasa yang sedang hangat diperkatakan di negeri Kelantan mutakhir ini.
Menurut Wan Ji yang juga exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) tujuan kewujudan kerajaan dan pengurusan politik ialah untuk melakukan islah dari sesuatu yang kurang baik kepada yang lebih baik.
"Adalah pelik apabila kita mendengar para peniaga yang disediakan dengan prasarana pasar baru tiba-tiba kecoh mendapati tempat mereka berniaga sekarang jauh lebih baik dari tempat baru yang disediakan.
"Perkara seperti ini tentulah bercanggah dengan nilai apapun, apa lagi ia diselenggara oleh sebuah pemerintahan yang mendakwa membangun bersama Islam," katanya.
Beliau turut menyokong tindakan parti-parti politik dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang turut bersolidariti dengan para peniaga pasar Pasir Puteh bagi mendesak kerajaan mengubah suai pasar baru sebelum mereka diarah berpindah.
"Isu seperti ini memang patut ada campur tangan dari semua pihak dan tidak patut mereka yang terlibat sahaja menanggung beban akibat salah laku pihak pentadbiran.
"Islam malah mewajibkan setiap individu muslim sentiasa mengambil berat masalah yang berlaku dalam masyarakat keseluruhannya dan bukan hanya mementingkan diri sendiri sahaja.
"Dalam ajaran Islam kita selalu diingatkan dengan sabda Nabi SAW yang bermaksud hendaklah kamu menolong orang yang dizalimi dan mereka yang melakukan kezaliman," katanya.
Pemuda Amanah Kelantan seperti dinyatakan Hazmi akan bersama-sama peniaga pasar Pasir Puteh untuk menghalang tindakan merobohkan pasar lama yang dikatakan akan dilakukan pihak Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) pada 2 Mac depan.
"InsyaAllah kami akan berkampung di pasar berkenaan bersama-sama peniaga bagi menyokong tindakan mereka untuk kekal berniaga di situ sehingga pasar baru benar-benar diubah suai sebagai tempat bereniaga yang selayaknya," kata Hazmi
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan