Rakyat Johor protes Forest City dapat hak milik kekal

Rakyat di negeri Johor bimbang nasib mereka yang bakal terpinggir pada masa depan ekoran pemberian taraf hak milik kekal kepada pelabur asing dalam projek pelaburan mega Forest City yang berkeluasan 1,370 hektar.

Pengarah Komunikasi Amanah negeri itu, Onn Jaafar berkata, kebimbangan rakyat dapat dilihat pada taburan kain rentang yang dipasang di sekitar Pagoh, Muar sempena menyambut kehadiran Menteri Besar, Datuk Mohamed Khaled Nordin.

"Bersempena kehadiran MB (Menteri Besar) Johor Datuk Mohamed Khaled Nordin ke Pagoh, taburan 'banner' dipasang sekitar Pagoh, Johor telah menimbulkan suatu isyarat bahawa MB Johor hari ini sedang ditolak secara senyap oleh rakyat negeri ini.

"Isi kandungan yang tertulis di 'banner' itu adalah berkenaan dengan projek Forest City yang mana telah diberikan taraf hak milik kekal kepada pelabur asing sedangkan rakyat negeri Johor hanya diberikan hak pemilikan sementara sahaja," ujarnya dalam satu kenyataan.

Mengibaratkan keistimewaan yang diberi kepada pelabur asing dalam projek Forest City itu seperti "kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan, Onn mendesak Menteri Besar menjawab isu tersebut.

"Nyata isi kandungan dalam 'banner' itu memaparkan isu bersangkut-paut soal kebimbangan yang wujud di setiap minda rakyat Johor. Rakyat bimbang nasib anak bangsa bakal terpinggir pada masa hadapan akibat salah percaturan pemimpin masa kini," tegasnya.

Sehubungan itu, Onn mendesak Khaled menjawab persoalan yang dibangkitkan rakyat berhubung projek pembangunan hartanah bercampur yang bakal menyediakan 700,000 unit perumahan itu bagi menangani kebimbangan rakyat Johor.

"Saya melihat ia adalah sebuah kegagalan dalam menangani suara rakyat. Rakyat sebenarnya tiada peluang untuk bersuara sehingga isu sebegini dilakukan melalui protes dalam banner," katanya lagi.
Forest City adalah projek usahasama antara Syarikat Country Garden Holdings Co Ltd iaitu sebuah syarikat pemaju hartanah gergasi milik kerajaan China yang berdaftar dalam Bursa Saham Hong Kong dan Syarikat Esplanade Danga 88 Sdn Bhd, sebuah anak syarikat Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ).

Majlis perasmian projek membabitkan empat pulau buatan itu yang dijangka siap dalam tempoh 20 tahun itu disempurnakan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 6 Mac tahun lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam majlis sama mengumumkan Forest City sebagai kawasan bebas cukai dan tiada kekangan terhadap ekuiti asing di kawasan tersebut.

Bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad mendakwa pembinaan Forest City membuka ruang kepada penjajahan China malah menjual kedaulatan negara dengan hampir 700,000 warga China bakal menetap dan diberi status kewarganegaraan.-Arif Atan
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan