Ulamak Pas gesa Mufti Perlis henti kelirukan umat Islam

Menjelang himpunan Rang Undang-undang (RUU) 355 pada 18 Februari ini, Dewan Ulamak Pas Pusat dilihat telah memberi kata dua kepada Mufti Perlis, Datuk Dr Asri Zainul Abidin.
Ketua Penerangannya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menggesa pemegang ijazah kedoktoran (Ph.D) dalam Pendedahan Pengetahuan dan Warisan (Al-Quran dan Sunah) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu agar tidak mengelirukan masyarakat Islam.

"Saya menggesa sahabat saya Dr Asri berhentilah mengelirukan umat Islam dalam isu undang-undang jenayah Islam dengan pelbagai pandangan songsang sementelah kedudukan beliau sebagai mufti. Janganlah berdiri sebaris dengan golongan berfikiran liberal yang berusaha memandulkan sebarang usaha memperkasakan agama Allah," tegasnya.
Asri Zainul AbidinAsri Zainul AbidinBeliau menyifatkan Dr Asri keliru dan mengelirukan umat Islam apabila mempersoalkan sejauh mana syarat untuk menghukum berhubung pelaksanaan pindaan itu sudah mencukupi.
"Fahami baik-baik. RUU 355 adalah cadangan pindaan undang-undang bagi Akta 355 khususnya membolehkan tiga kesalahan jenayah Islam; minum arak, qazaf dan zina dihukum menurut al-Quran dan sunnah.
"Iaitu masing-masing 40, 80 dan 100 rotan dan meningkatkan hukuman bagi pelbagai lagi kesalahan takzir daripada hanya terikat kepada tiga tahun penjara, RM5,000 denda dan enam kali sebatan kepada maksima 30 tahun penjara, RM100,000 denda dan 100 kali sebatan syarie.
"Adapun isu pelaksanaan sama ada melibatkan syarat yang membolehkan hukuman dilaksanakan, itu adalah prosedur melibatkan akta atau enakmen keterangan untuk menjatuhkan hukuman," jelasnya yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus.
Mengulas lanjut, Khairuddin berpendapat persoalan Dr Asri tidak berbangkit pada masa ini.
"Itu peringkat pelaksanaan di Mahkamah Syariah. Setiap undang-undang ada prosedur keterangannya di mahkamah. Ia dibincangkan dalam konteks Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah di negeri-negeri," katanya lagi.
Pembentangan pindaan RUU 355 berkaitan Akta Mahkamah Syariah, Bidang Kuasa Jenayah 1965 itu bagaimanapun akan diambil alih pihak kerajaan seperti diumumkan Presiden Umno, Najib Razak pada perhimpunan agung parti tersebut, Disember tahun lalu.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan