Oleh Arif Atan
Belum bentang lagi tetapi sudah minta sokongan. Ada peluang bentang,
hanya sekadar baca kemudian minta pula ditangguhkan huraian. Bukan
sekali tetapi dua kali Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berbuat
demikian pada tahun lalu.
Isu RUU 355 atau lebih tepat "usul Hadi" tidak lebih sekadar
sandiwara Pas untuk memainkan sentimen agama.
Mula-mula pada 26 Mei 2016
iaitu 10 hari sebelum penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Dewan
Undangan Negeri (Dun) Kuala Kangsar dan Sungai Besar.
Sekali lagi, Abdul
Hadi pada 24 November minta tangguh bukannya terus menghuraikan pindaan
terhadap usul asalnya itu.
Akhirnya, tarik tali "usul Hadi" itu direntap Najib dalam ucapan
dasarnya pada Perhimpunan Agung Umno 2016, 1 Disember lalu apabila
memberitahu pindaan Akta 355 akan diambil alih pihak kerajaan lantaran
ia adalah usul persendirian yang akan dikaji pihak kerajaan.
Walau bagaimanapun, menjelang himpunan RUU 355, Pesuruhjaya Pas
Perak, Razman Zakaria misalnya, sudah menyindir keras. Sesiapa yang
tidak turun Himpunan Rang Undang-undang (RUU) 355 di ibu negara hari ini
dituduhnya sebagai Ahok. Selamba Basuki Tjahja Purnama iaitu Gabenor
Jakarta pertama daripada keturunan Cina dan beragama Kristian itu
dijadikan sebagai kambing hitam.
Perlambangan Ahok itu sebenarnya mengulang apa sudah ditegaskan Abdul
Hadi pada penangguhan usul RUU 355 kali kedua apabila memberi amaran
kepada ahli-ahli politik bukan Islam yang mempersoalkan RUU 355 supaya
jangan berlagak menjadi Ahok.
Demikianlah gembar-gembur Pas
tentang RUU 355 sehingga hari ini yang bakal menyaksikan tidak kurang 20
pidato bermula pukul 2 petang hingga 11 malam di Padang Merbok.
Jadi, adakah majoriti rakyat terlalu naif untuk faham bahawa tingkah
laku Abdul Hadi berhubung pindaan Akta 355 yang kemudiannya menyaksikan
ramai pemimpin Pas tersengih lebar bersama Najib di atas kapal misi
bantuan ke Myanmar baru-baru ini tidak lebih hanya memancing pengundi
Melayu?
Apa makna himpunan bertemakan warna ungu itu kalau bukan hanya
melengkapkan kitaran hubungan mesra Pas-Umno? Bahkan akhbar Utusan
Malaysia mutakhir ini sudah jauh lebih lantang menjadi jurucakap Pas
mengalahkan Harakah sebagai akhbar lidah rasmi parti tersebut.
Semalam misalnya, pengarang kanan akhbar yang memusuhi semua parti
pembangkang kecuali Pas itu menyebut himpunan RUU 355 sebagai lanjutan
daripada program ceramah etnik Rohingya di Stadium Titiwangsa, 4
Disember 2016 yang menyaksikan Abdul Hadi dan Najib Razak sepentas
diikuti pelancaran kapal misi bantuan ke Myanmar pada 3 Februari lalu.
"Lambang solidariti ummah" pada tajuk tulisan pengarang Utusan
Malaysia itu hanya topeng ketika tidak pula melibatkan pemimpin Islam
dari Amanah, PKR mahupun DAP.
Hari ini pula, akhbar sama menyiarkan artikel bertajuk, "RUU 355 dan
mereka yang masih jumud" oleh peguam Siddiq Azani sekaligus
menggambarkan sokongan pihak Umno terhadap usul yang mulanya konon Abdul
Hadi mahu bawa.
Abdul Hadi pada sidang media di lobi Parlimen selepas kali kedua
mengumumkan penangguhan usul menyebut partinya akan mengadakan "himpunan
aman raksasa". Kebetulan, lokasi himpunan bernama Merbok yang merujuk
pada tanah rendah bunyinya menyamai merbuk, sejenis burung yang bersuara
merdu.
Wujud pertentangan ketara antara ciri raksasa dan merbuk yang berimej
harmoni dan sering dilihat berpasangan itu. Sampai bila pendekatan Pas
yang garang dan memperalat emosional dengan polemik RUU 355 akan terus
menghanyutkan kerasionalan masyarakat untuk fokus dan sedar tentang
usaha mengatasi masalah sebenar mereka yang ditindas rangkaian kejahatan
kleptokrasi rejim Umno-BN?
Mungkinkah merbuk terbang lari bertempiran lantaran kehadiran
banyaknya raksasa hari ini? Cukup cukuplah untuk masyarakat tidak terus
dikusutkan oleh Pas dengan isu RUU 355 ketika penyelesaiannya sudah
terang lagi bersuluh ada di tangan kerajaan Umno-BN sendiri!
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan