Oleh Teh Kean Kiat
Masyarakat Cina bakal menyambut perayaan Qing Ming – membersihkan kubur nenek moyang atau saudara mara, 4 April ini.
Bagi mengelakkan kesesakan di tanah perkuburan, amalan membersihkan
kubur biasanya dilakukan 2 minggu sebelum Qing Ming. Ada yang berbuat
demikian dua minggu selepas itu.
Selain lilin, colok, buah-buahan dan kuih-muih, barang buatan kertas
merupakan satu kemestian untuk dibakar bagi kegunaan si mati di akhirat.
Seiring kemajuan dunia hari ini, pelbagai replika kertas dihasilkan,
daripada wang kertas, pakaian, patung menyerupai pembantu rumah, banglo
bertingkat sehinggalah telefon bimbit, komputer dan tablet.
Replika kertas dibakar untuk si mati supaya mereka dapat menikmati “kehidupan lebih baik dan mewah” di akhirat.
Baru-baru ini, seorang pembuat replika berusia 26 tahun di Sungai
Petani, Kedah, menerima tempahan mega – sebuah Lamborghini berharga
RM16,800.
Lim Zhao Wei, dipetik Sin Chew Daily berkata, beliau mendapatkan
bantuan seorang rakannya untuk mereka bentuk kereta mewah itu
menggunakan perisian komputer.
Mereka berdua menggunakan masa sebulan untuk menyiapkan Lamborghini
berwarna kuning yang berukuran 5 meter (15 kaki) panjang dan diperbuat
daripada kertas serta kain sutera itu.
Rupa-rupanya Lamborghini bernombor pendaftaran “DATO 11” itu ditempah
keluarga Datuk Ong Teik Kwang yang terbunuh selepas ditembak pengawal
peribadinya di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu pada 1 Disember 2016.
Kemunculan replika mega itu di kubur Ong yang terletak di sebuah
tanah perkuburan Cina di Relau, Pulau Pinang, pada pertengahan Mac lalu
mencuri tumpuan ramai yang turut membersihkan kubur ketika itu.
Menurut laporan China Press, Lamborghini itu diletakkan di atas
timbunan wang kertas yang dilipat berupa jongkong emas purba dengan
sepasang “pakaian Datuk” menyerupai baju seragam putih dipakai Ong
ketika dianugerahkan darjah kebesaran itu dan sebuah songkok untuk
dibakar.
Lain orang lain cara. Bagi yang berkemampuan, begitulah cara mereka memperingati pemergian orang tersayang.
Dari segi seni dan kraf tangan tradisional pula, ia adalah satu cara
untuk mendedahkan generasi muda dan memperkenalkan kepada kaum lain
tradisi serta adat warisan masyarakat Cina.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan