Oleh Shahbudin Husin
Naib Presiden Pas, Idris Ahmad
nampaknya mengeluh mengenai apa yang didakwanya sebagai pilih kasih
tentang hubungan parti itu dengan UMNO berbanding pemimpin DAP berbuat
perkara yang sama.
Kata beliau, jika ada pemimpin Pas bergambar atau minum teh bersama pemimpin UMNO, ia segera dituduh mereka mahu masuk UMNO.
Tetapi, tambahnya, jika pemimpin DAP berpegang tangan dengan pemimpin
UMNO, tidak pula timbul tuduhan mereka itu bersekongkol dengan UMNO.
"Pantang lihat gambar pemimpin kerajaan Kelantan bersama dengan
kerajaan pusat terus mengatakan PAS sudah bersama dengan UMNO. Jika ada
pemimpin DAP, bukan sekadar minum malahan berlaga perut dan berpegang
tangan pun tidak ada masalah," kata Idris lagi.
Alahai Idris...mengeluh atau buat-buat tak faham?
Perbezaan penilaian itu bukan bermakna adanya pilih kasih, tetapi beza antara kedua-duanya memang nyata.
Memang ada pemimpin DAP hadir bersama pemimpin UMNO dalam program atau
majlis tertentu, tetapi ia lebih melibatkan hubungan antara kerajaan
dengan kerajaan atau program berkaitan kerajaan saja.
Selalunya
pula, selepas berakhir majlis itu, ia habis di situ saja. Bermakna, baik
pemimpin DAP atau pemimpin UMNO yang hadir bersama itu, mereka sedar
keberadaan mereka adalah semata-mata kerana tugas sebagai pemimpin
kerajaan semata-mata.
Perkara yang sama juga pernah berlaku
ketika Pas Kelantan dipimpin oleh Nik Aziz Nik Mat dahulu. Ketika itu,
atas kapasiti sebagai Menteri Besar, beliau memang beberapa kali hadir
bersama Perdana Menteri dalam program-program kerajaan.
Namun,
sama seperti seperti kehadiran pemimpin DAP bersama pemimpin UMNO tadi,
kehadiran Nik Aziz itu tidak pernah sekali pun dispekulasi macam-macam
oleh orang ramai.
Kenapa?
Sebabnya, sebagaimana yang
terzahir oleh tindakan pemimpin DAP itu, Nik Aziz juga tahu batas dan
peranannya sebagai pemimpin kerajaan bila berurusan dengan pemimpin
UMNO.
Kenapa pula kehadiran pemimpin Pas sekarang bersama pemimpin UMNO ditafsir berbeza?
Jawabnya, lihatlah gelagat pemimpin-pemimpin Pas hari ini.
Pemimpin Pas sekarang, sebaik saja dapat bergambar bersama, minum teh
bersama, berbaju merah jambu bersama, berjubah putih bersama atau ke
London mencari teh tarik bersama, mereka nampaknya jadi tunduk, layu dan
terkulai atas segala kemungkaran, salah laku dan penyelewengan yang
berlaku dalam kerajaan atau melibatkan pemimpin utama UMNO.
Kemudian menyusul pula kenyataan-kenyataan seperti ingin menjadi
penasihat kerajaan, tidak mahu berebut kuasa dengan UMNO, jangan
bermusuh dengan UMNO sampai ke akhirat, tidak pernah menganggap UMNO
musuh sesama Islam, tidak lagi mahu berkasar dan "bom" UMNO serta
sebagainya lagi.
Sudahlah tidak lagi menegur, sebaik saja dapat
bergambar atau minum teh bersama, nada suara juga jadi berubah
seolah-olah UMNO yang pernah dikafirkan dulu, tiba-tiba sudah jadi lebih
mulia meskipun diketahui mereka itu dilingkari skandal kewangan yang
bertahap mega.
Kecuali Tuan Ibrahim Tuan Man yang kekal lantang
bersuara, menegur dan mengkritik, pemimpin-pemimpin Pas yang lain,
termasuk Idris sendiri pun, hampir tidak lagi bercakap mengenai salah
laku, pembaziran, penyelewengan dalam kerajaan pusat, UMNO dan yang
berkaitan Najib Razak.
Hadi Awang sendiri, sebagaimana yang
pernah didedahkan oleh Rafizi Ramli, hanya sekali pernah menyebut
mengenai 1MDB di Parlimen dan setelah tampil sedondon, terus tidak
bersuara lagi mengenai skandal kewangan yang diperkatakan di seluruh
dunia itu.
Ia berbeza dengan pemimpin DAP, meskipun ada
pemimpinnya bergambar, berpegang tangan atau berlaga perut dengan
pemimpin UMNO, namun mereka kekal konsisten dan tidak berubah dari segi
menegur, mengkritik atau membongkar penyelewengan dalam kerajaan dan
demi kepentingan rakyat.
Jadi, sebelum Idris terus mengeluh,
belilah dulu sebuah "cermin besar" untuk melihat perubahan
pemimpin-pemimpin Pas sejak mereka dapat peluang berbaik-baik dengan
Najib dan UMNO ini serta membandingkannya dengan pemimpin DAP dalam
konteks yang sama.
Di situ pasti Idris dengan mudah dapat jawapannya
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan