Oleh Ustaz Ahmad Awang
Perlu difahami di Malaysia penentuan dasar dan sistem pemerintahan
tidak berlaku disebabkan calon, tetapi kebersamaan parti yang
memerintah. Lantikan seseorang calon untuk menjadi pemimpin adalah
berdasarkan kepada persetujuan Parti tersebut. Di sini kita dapat
melihat ada dua parti yang akan dominan sama ada Barisan Nasional
ataupun Pakatan Harapan. Sekarang ini yang sering dimainkan oleh
musuh-musuh politik mengenai ayat al-Quran yang melarang melantik orang
bukan Islam sebagai pemimpin dalam surah al-Nisaa ayat 139.
"(Iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi AWLIYAA
dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Tidaklah patut mereka
(orang-orang munafik) mencari kekuatan dan kemuliaan di sisi orang-orang
kafir itu, kerana sesungguhnya kekuatan dan kemuliaan itu semuanya
ialah milik Allah, (diberikannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya)"
Menurut Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi, larangan mengambil orang-orang
kafir sebagai AWLIYAA (iaitu pendamping atau penaung) adalah berdasarkan
sifat mereka sebagai satu golongan khusus dengan agama, kepercayaan,
pemikiran dan syiar mereka, iaitu dengan sifat mereka sebagai Yahudi
atau Kristian atau Majusi dan seumpamanya. BUKAN di atas sifat mereka
sebagai jiran atau rakan atau warganegara (Al-Qaradawi, Ghayr
al-Muslimin fi al-Mujtama’ al-Islamiy, m.s. 69, Maktabah Wahbah, 1984)
Maka larangan dalam ayat itu bukanlah larangan memberi undian kepada
calon non-muslim ketika dalam pilihanraya atau larangan melantik
pemimpin parti orang bukan Islam yang memenangi pilihanraya sebagai
menteri atau lain-lain pangkat eksekutif, sebaliknya larangan mengambil
orang-orang kafir yang telah memusuhi Rasulullah SAW dan orang-orang
beriman dengan menghalau mereka dari negeri mereka. ‘Illah atau sebab
larangan ini disebutkan dengan jelas dalam ayat 1 Surah al-Mumtahanah.
"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil musuhku dan
musuh kamu menjadi teman rapat, dengan cara kamu sampaikan kepada mereka
(berita-berita rahsia orang-orang mukmin) dengan sebab hubungan baik
dan kasih mesra yang ada di antara kamu dengan mereka, sedang mereka
telah kufur ingkar terhadap kebenaran (Islam) yang sampai kepada kamu"
Ketika menjawab persoalan berkenaan fatwa mengatakan haram mencalonkan
non-muslim sebagai wakil dalam parlimen, Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi
berkata: “Sekiranya non-muslim adalah penduduk Negara Islam atau dengan
ungkapan moden: warganegara bagi Negara Islam; maka tidak terdapat
larangan syarak untuk memberi mereka tempat dan memasuki dewan
perwakilan rakyat dengan nisbah tertentu bagi mewakili golongan mereka
selagi mana majoriti besar dewan itu adalah orang-orang Islam”
(Al-Qaradawi, Min Fiqhi d-Dawlah fil Islam)
Maka harus diingatkan
kepada sekalian umat Islam agar tidak menjadikan ayat-ayat Allah swt
berlaga-laga di antara satu sama lain. Jika perkataan AWLIYAA dalam
ayat-ayat yang melarang itu diterjemahkan sebagai sesiapa sahaja orang
bukan Islam yang menjadi calon pilihanraya, maka seolah-olah haram
mengundinya. Fahaman ini bercanggah dengan suruhan berlaku adil kepada
orang-orang bukan Islam yang tidak memusuhi Islam dan tidak menghalau
orang Islam dari tempat tinggal mereka.
Hendaklah kita waspada
terhadap amaran daripada Rasulullah saw yang bermaksud: “Sesungguhnya
umat sebelum kamu hanyalah musnah kerana mereka melaga-lagakan
sebahagian ayat kitab Allah dengan ayat yang lain. Sesungguhnya Allah
hanya menurunkan kitabNya yang saling membenarkan antara satu sama lain,
maka janganlah kamu berdusta dengan sebahagian ayat ke atas sebahagian
yang lain” (Hadis Sahih riwayat Ahmad dalam al-Musnad 4/495, al-Bukhari
dalam Khalqu Af’al al-‘Ibad no. 123 dan ‘Abd al-Razzaq dalam al-Musonnaf
no.20367)
Ustaz Ahmad Awang
Penasihat Umum Parti Amanah Negara (AMANAH)
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)

0 comments:
Catat Ulasan