Oleh Abdul Muein Abadi
“Inilah
yang saya tegaskan kepada Duta Besar Amerika Syarikat yang datang ke
pejabat saya pada 28 April 2011 yang lepas, bahawa sepasang selipar pun
tidak boleh dirampas dari tuannya yang berhak, apatah lagi sebuah
negeri yang berdaulat seperti Palestin, lebih-lebih lagi tidak berhak
untuk dirampas oleh Israel…Jika dunia lebih selamat dengan kematian
Osama, adakah dunia juga lebih selamat dengan kewujudan Amerika?”
(Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz, 3 Mei 2011).
Ramadan 2017
kali ini menyaksikan umat Islam terus dibayangi imej dan peristiwa
keganasan. Tepat sepertimana telahan mantan Menteri Besar Kelantan,
Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat enam tahun lalu sewaktu
dikunjungi Duta Besar Amerika Paul W Jones, kematian Osama Bin Laden
tidak semestinya mengakhiri keganasan bersenjata atas nama Islam.
Sebaliknya, selagi mana akar permasalahan yang membawa kepada
keberlangsungan gerakan radikal berkenaan tidak dibanteras, selagi
itulah isu ekstremisme atas nama Islam tidak akan reda.
Semestinya, tindak-tanduk Amerika dan sekutu rapatnya Israel merupakan
faktor yang tidak boleh dinafikan dalam kewujudan gerakan sedemikian
yang semakin hari semakin berkembang. Akan tetapi, terdapat juga tiga
faktor di peringkat setempat yang menyaksikan Amerika tidak boleh
dipersalahkan seratus peratus: fahaman takfiri yakni fahaman yang
menghalalkan darah sesiapa yang tidak sealiran dengan mereka, ketiadaan
tokoh setempat yang boleh mengakomodasi aspirasi perjuangan berteraskan
Islam secara bersederhana (moderate), serta ketiadaan sistem sokongan
demokrasi yang berfungsi membendung fahaman ekstremisme daripada
berevolusi menjadi gerakan bersenjata. Maka, berdasarkan kesemua
perspektif ini, tidak berlebihan untuk dikatakan bahawa Almarhum Nik
Aziz itu sendiri layak untuk dijadikan teladan bagi pihak berkuasa di
Asia Tenggara untuk membasmi gerakan pengganas seperti ISIS.
Kelantan ialah sebuah negeri yang terkenal dengan gelaran Serambi Mekah.
Akan tetapi, Kelantan tidak pula menjadi ‘pengrekrut’ ataupun
‘pengeksport’ pengganas bersenjata atas nama Islam secara besar-besaran
sepertimana wilayah lain di Asia Tenggara. Hal ini berkait rapat
dengan kepimpinan dua dekad Almarhum Nik Aziz itu sendiri, di samping
sistem sokongan demokrasi di Malaysia.
Sebagaimana menurut Prof.
Emeritus Shaharir Mohamad Zain dalam karya beliau ‘Kepemimpinan Tok
Guru Nik Aziz’, Almarhum memenuhi kesemua lapan ‘aksiom’ kepimpinan
unggul: Insaf dengan kematian, mengusahakan nubuwwah dan hukumah
(penegakan risalah Nabi Muhamad saw), adil, berhemat, ulul albab,
berilmu, sakhawah dan ihsan (dermawan dan pemurah hati) serta teguh
dengan wafa’ dan ‘a-hdad (kesetian yang tinggi dan mengotakan janji).
Pemerintahan Almarhum di Kelantan pula mengadunkan politik Islam
dengan demokrasi. Meskipun anak lelaki beliau sendiri, Nik Adli pernah
ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) namun Almarhum
tidak bertindak semberono meniup api permusuhan bersenjata, sebaliknya
terus memanfaatkan sistem demokrasi Malaysia. Kaedah Almarhum Tuan
Guru Nik Aziz ini secara tidak langsung mencegah Islamisme daripada
membarah menjadi gerakan radikal bersenjata. Sebaliknya kaedah
memendamkan permasalahan sebenar yang dihadapi umat Islam di Asia
Tenggara hari ini tidak akan membawa kepada penyelesaian, sebaliknya
ibarat membarakan api dalam sekam.
ASEAN sebagai contoh cukup
‘asing’ dengan naratif Pan-Islamisme seperti isu Palestin-Israel,
campur tangan Amerika Syarikat, jurang sosio-ekonomi, manipulasi
kontrak-kontrak di bumi umat Islam, dan lain-lain. ASEAN kini dalam
proses membina kerjasama yang lebih rapat antara satu sama lain namun
kerangka kerjasamanya kurang komprehensif. Hal ini tidak pula
bermaksud ASEAN perlu mengubah paradigmanya hingga ke tahap menuruti
segala ciri politi Islam seperti Parti Islam se-Malaysia (PAS) Kelantan
di bawah teraju Almarhum Nik Aziz dahulu, sebaliknya cukup dengan
mempertauti aktor-aktor utama pemimpin Islam di peringkat akar umbi.
ASEAN tidak sepatutnya menuruti model Kesatuan Eropah secara total yang
jelas kurang berjaya menangani isu ekstremisme hingga kini. Malah
lebih parah, ASEAN dilihat terlalu melangit dan jauh dari membumi,
tidak ubah seperti kelab elit ekslusif yang diwujudkan hanya demi
kepentingan aktor perniagaan dan pasaran. Bahkan warga kelas menengah
Asia Tenggara sendiri masih terasa ‘jauh’ dengan ASEAN.
Pendekatan ini juga tidak sepatutnya bersifat kosmetik dan sementara.
Sebaliknya para pemimpin ASEAN di setiap peringkat perlu menunjukkan
komitmen yang tinggi: bekerja bersama warga setempat memanifestasikan
Islam sebagai ‘rahmatan lil a’lamin’ yakni rahmat buat sekelian alam.
Pastinya, tauladan Almarhum Tuan Guru Nik Aziz ini merupakan panduan
fleksibel yang boleh dilengkapi dengan pendekatan-pendekatan lain agar
lebih komprehensif.
Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan