PETALING JAYA: Prof Abdul Aziz Bari berkata keengganan PAS melepaskan
jawatan dalam kerajaan Selangor walaupun selepas memutuskan hubungan
dengan rakan gabungan menjelmakan peribadi sebenar mereka.
Ia hanya menunjukkan PAS pentingkan kedudukan, katanya dalam temubual yang disiarkan secara langsung di Facebook DAP malam tadi.
“Saya tidak terkejut oleh kerana kita bukan hanya bercakap mengenai 3
orang exco tetapi sekitar anggaran 500-600 orang pimpinan PAS yang
terlibat dalam syarikat milik kerajaan, majlis tempatan dan ketua
kampung.
“Ini sebenarnya pendapatan yang agak lumayan jadi mereka tidak sanggup melepaskan jawatan.
“Ini menunjukkan warna sebenar PAS. Mereka bukan bercakap soal agama tetapi soal kedudukan.”
Aziz berkata “hipokrasi” PAS hari ini ketara jika dibandingkan kepada
pimpinan parti terdahulu, yang sedia melepaskan jawatan demi prinsip.
Beliau menyorot perhatian ke 1977, apabila bekas presiden PAS Tan Sri
Asri Muda meletak jawatan dari jemaah menteri persekutuan kerana
membantah pengisytiharaan darurat di Kelantan.
“Asri lebih tegas dengan prinsipnya…sanggup meninggalkan jawatan
menteri persekutuan bersama Datuk Hassan Adli Arshad dan Datuk Mustafa
Ali dan ada juga beberapa pengerusi badan berkanun.”
Perintah darurat diumumkan apabila bekas menteri besar Datuk Mohamad
Nasir dari PAS enggan meletak jawatan selepas tewas dalam undi tidak
percaya di dewan undangan negeri.
Ia berlaku ketika PAS berada dalam Barisan Nasional, yang menyertainya pada 1973.
“Tetapi inilah PAS (hari ini). Mereka yang merobohkan pakatan, tetapi
tak malu-malu untuk duduk di situ (dalam kerajaan). Mereka kata ‘mandat
rakyat’. Mandat apa? Ini bukan soal mandat.
“Dalam prinsip Westminster soal mandat tidak relevan sebab kerajaan
dibentuk oleh parti yang terima sokongan majoriti dan mereka tolak parti
yang terima majoriti itu.
“Kalau terima soal mandat pun, tidakkah kemenangan PAS pada PRU-13
yang lalu itu disebabkan manifesto Pakatan Rakyat. Jadi mereka sudah
tolak manifesto itu, jadi apa asas moral untuk mereka kekal dalam
kerajaan negeri? Ini yang saya katakan hipokrasi.”
Awal bulan ini PAS secara rasmi memutuskan kerjasama dengan PKR,
apabila Majlis Syura Ulama memutuskan langkah itu perlu demi
mempertahankan agenda Islam PAS.
PAS menuduh PKR melanggar syarat kerjasama, gagal menyokong PAS dalam
agenda Islam, dan menentangnya pada pilihan raya kecil di Kuala Kangsar
dan Sungai Besar tahun lalu.
Walaupun PKR mengarahkan semua lantikan politik parti berundur dari
kerajaan Kelatan, PAS memutuskan 3 exco mereka kekal di Selangor
sehingga pilihan raya umum akan datang.
Tiga exco berkenaan ialah Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan
Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abdul Samad; Exco Pendidikan,
Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi dan Inovasi; Datuk Dr Ahmad
Yunus Hairi serta Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan
Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib.
Sementara itu, Aziz meramalkan PAS akan mengalami kerugian besar pada Pilihan Raya Umum ke-14 walaupun berjaya pada 2013.
Ini kerana PAS ketika itu mendapat sokongan padu daripada orang Cina
yang mengundi mereka sebagai komponen PR, katanya. Tetapi memandangkan
PAS sekarang bukan lagi sekutu PKR dan DAP, mereka sangat bergantung
kepada undi Melayu sahaja.
“Kita belum pasti setakat mana isu agama dapat menarik perhatian
masyarakat Melayu…sesuatu perkara itu mungkin popular tetapi belum tentu
populariti itu menentukan ia akan disokong,” kata Aziz.
Dewan Negeri Selangor kini mempunyai 14 wakil rakyat DAP, 13 dari
PKR, 13 dari PAS, 11 dari Umno, 2 dari Amanah dan 2 wakil rakyat bebas.
Kerusi DUN Sungai Ayer Tawar kosong berikutan kematian wakil rakyat BN.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan