Yang seangkatan saya hampir pupus

Oleh Subky Latif 

BILA saya hadir pada perasmian Muktamar Tahunan PAS Kali ke-63 PAS di Kota Sarang Semut, Alor Setar, Kedah hujung April lalu lebih separuh dari saf pimpinan di atas pentas saya tidak kenal. Lebih 80 peratus dari mereka tidak ada di situ selama lebih 20 tahun saya menjadi anggota Jawatankuasa PAS Pusat.

Yang memang lama bersama saya yang masih ada Presiden, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Dato’ Mustafa Ali dan Dato’ Wan Mutalib Embong. Semasa saya masuk kumpulan tertinggi pimpinan PAS itu ketiga-tiganya sudah ada.

Yang datang kemudian-kemudian sedikit dari saya Tuan Guru Mursyidul Am Hashim Jasin. Dan yang datang pada tempoh akhir saya di situ Dato’ Dr Mahfodz Mohamad yang sekarang Ketua Dewan Ulama. Jika tidak silap masuk sekejap sebelum saya keluar Ustaz Idris Ahmad, naib presiden sekar Yang lain yang saya kenal beberapa orang saja. Yang tidak kenal lebih ramai. Pada hal bukanlah lama sangat saya mengosongkan kerusi pimpinan itu, baru 10 tahun saja.

Orang-orang yang seangkatan saya dulu ramai yang sudah mati dan ada yang belum mati tetapi melarikan diri, ibarat berniaga membuat perniagaan sendiri dalam bidang yang sama yang mereka pelajari semasa dalam PAS dulu. Ada uzur dan sakit tua seperti Ustaz Halim Arshad dan Dato’ Abdul Halim Abdul Rahman, tidak berupaya untuk memberi tenaga lagi.

Yang tidak diketahui sakitnya dan masih boleh memberi tenaga seadanya tetapi benar-benar warga emas ialah Dr Daeng Sanusi Daeng Mariok. Dia seperti saya juga dapat menghadirikan diri dalam majlismajlis parti khusus yang memerlukan pengkisahan parti dan pandangan orang lama.

Ada satu yang dipecat dan ada satu lagi dipecat kerana selesa dipecat. Dan ada satu membuka jalan supaya dipecat tetapi belum terbuka hati parti memecatnya.

Dalam ramai-ramai itu baru seorang saja meninggalkan PAS kerana masuk Umno. Itu pun akhirnya keluar pula dari Umno. Ertinya Umno itu bukan tempat perpindahan yang baik untuk orang PAS. Ada juga yang baik dengan pimpinan Umno tetapi PAS tidak peduli pun tentangnya.

Dan selepas muktamar ini Dato’ Mustafa Ali minta dibebaskan dari pimpinan pusat setelah berada di situ sejak awal separuh kedua tahun 1970-an. Ketiadaannya menimbulkan spekulasi orang luar dan orang dalam, kerana dia adalah seorang yang penting sejak zaman Dato’ Asri Muda dan orang rapat dengan semua presiden PAS selepas itu.

Boleh dikira dia meninggalkan satu kekosongan dalam PAS dengan ketiadaan dalam barisan pimpinan. Sekalipun dia banyak berbeda pandangan dengan Dato’ Asri tetapi kehadirannya sebagai ketua Dewan Pemuda dalam pimpinan PAS dikira penting.

Apabila dia mengosongkan jawatan ketua Dewan Pemuda, Haji Yusof Rawa dan Ustaz Fadzil Mohd Noor bersetuju menjadikannya bendahari agung supaya dia boleh berada dalam Jawatankuasa Harian parti.

Apabila percubaannya untuk menjadi timbalan presiden tidak berjaya PAS tidak melantiknya ahli jawatankuasa yang dilantik pre-siden kerana ia tidak meletakkannya dalam Jawatan Kuasa Harian.

Bagi membolehkannya duduk dalam Jawatankuasa Harian PAS meminda perlembagaan mewujudkan jawatan pengarah Urusan Pilihan Raya, satu jawatan dalam Jawatan Kuasa Harian. Ia diwujudkan untuk menjadikannya berada dalam Jawatan Kuasa Harian.

Hingga orang di luar PAS seperti Ketua Polis Negara masa itu, Tan Sri Abdul Rahim Nor memerhatikannya pimpinan sebenar PAS pada zaman Haji Yusof Rawa dan Ustaz Fadzil Noor.

Dia lebih dulu dari Tuan Guru Haji Hadi berada dalam Jawatan Kuasa Pusat dan orang paling lama di situ sekitar lebih kurang 40 tahun.

Apabila berita pertama tentang ketiadaannya dalan jawatan kuasa pusat dikatakan dia digugrkan, saya tidak percaya. Pertama, 10 tahun dulu dia pernah memberitahu media hendak berundur. Kedua, semasa saya bertemu dengannya bersatu Tuan Guru Haji Hadi di muktamar Kota Sarang Semut, dia memberitahu saya dia sakit lutut ke bawah. Di atas dari lutut semuanya okey.

Tuan Guri Hadi maklum atas sakit lututnya. Itulah masalah saya berundur dari pimpinan PAS sepuluh tahun dulu. Serangan gout tujuh minggu terbaring di katil kedua belah kaki dari lutut ke bawah. Dari lutut ke atas normal. Alhamdulillah saya tiada masalah kencing manis, jantung dan darah tinggi dalam kawalan.

Dia tanya saya tentang gout saya. Sudah 10 tahun, syukur tiada serangan lagi. Apa ubatnya? Kata saya, semua yang dikatakan ubat saya makan.

Sekarang untuk cergas semula tiada masalah.

Kata Tuan Ibrahim, Cikgu Pa berunding dengan Tok Guru supaya dikecualikan dia dalam pimpinan sekarang.

Dengan ketiadaan orang-orang seangkatan saya tinggal Presiden dan Mursyidul Am Tuan Guru Hashim Jasin. Dato’ Wan Mutalib yang dipanggil semula dua tahun lalu, tiada namanya dalam senarai baru. Dia memberitahu saya dua bulan, dia memang nekad untuk berundur. Kalau boleh dia dibenarkan pencen seperti Dr Daeng Sanusi.

Pimpinan yang saya kenal dalam muktmar lalu Tuan Guru Hashim Jasin, Tuan Guru Haji Hadi, Mustapa Ali, Wan Mutalib dan Dr Mahfodz. Berada di tengah pemimpin yang lain seolah-olah saya datang dari masyarakat luar. Terpaksa menghafal nama mereka dan berusaha mengecam muka mereka supaya bila bertemu selepas ini saya ingat mereka.

Bukanlah yang lain dari angkatan saya itu orang baru dalam PAS.

Mereka rata-rata sudah lama, tetapi proses dalam masa 10 tahun berturut- turut yang lama digantikan oleh yang baharu. Masa saya rasa singkat, tetapi tidak sedar dalam masa 10 tahun saja PAS tahun 1980-an sudah digantikan oleh orang-orang baharu.

Jika saya tidak mengenali mereka adalah kerana saya mengikuti PAS itu sebagai orang bertapa. Saya ikuti perkembangan sekadar maklumat yang tiba kepada orang bertapa.

Mungkin saya tidak jauh dari PAS, tetapi kerana saya bertapa di rumah saja saya tidak dapat mengenal semua
.
Ada juga yang muda-muda datang ziarah saya. Ia membantu saya mengenali PAS yang terkini.
Tetapi pesan saya kepada mereka masing-masing buatlah apa yang diperlukan oleh PAS sekarang.
Melawat orang tua, orang sakit atau orang bertapa, memang baik tetapi tumpukan yang lebih penting dulu.

Saya banyak mudanya dari Dr Mahathir tidak akan menjauhkan diri dari PAS kalau orang PAS tidak cukup masa untuk singgah berjumpa orang lama kerana terpaksa membuat kerja PAS yang sebenarnya amat banyak. Jika semua bekerja 24 jam sehari pun masih banyak lagi kerja PAS yang tidak dapat dibuat.

Sesudah orang PAS tidak banyak kerja hendak dibuat, datanglah jumpa saya. Kalau kerja masih bertimbun dulukan kerja.

Oragn tua PAS jangan kecil hati dan merajuk kalau orang PAS tidak sempat ziarah. Jangan buat perangai macam budak, merajuk bila tak dikunjungi. Orang tua merajuk huduh rupanya. Saya suka pada mereka yang tidak menjenguk kerana utamakan kerja PAS. Ia seperti menolong saya membuat kerja yang saya tidak dapat buat.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan