Adakah Isa Samad gali kubur sendiri?

Oleh

ADAKAH Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) Isa Samad menggali kuburnya sendiri dengan penggantungan jawatan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Zakaria Arshad hari ini, soal pemimpin pembangkang.

Pengarah Strategi Amanah Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ini kerana tindakan Isa itu akan membenarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk masuk memulakan siasatan terhadap FGV.

“Apakah Isa menggali kuburnya sendiri dengan memaksa Zakaria untuk bercuti?

“Jika SPRM masuk, kita harap dia akan siasat semua urusniaga meragukan dalam FGV, bukan sahaja berkenaan dengan urusniaga antara Delima Oil Products (DOP) dan Safitex,” kata bekas ahli Parlimen Kuala Selangor itu

Dzulkefly berkata, pencapaian Zakaria yang merupakan anak peneroka Felda sepanjang berkhidmat dengan FGV sejak 1 April 2016 agak membanggakan.

“Pemerhati agak kagum dengan reformasi yang dilakukan Zakaria sejak memimpin FGV. Reformasi itu juga sudah menampakkan hasilnya,” kata Dzulkefly.

“Kita juga mendesak Pengerusi Felda Shahrir Samad agar tidak hanya senyap dan segera campur tangan.”

Hari ini FGV membuat kejutan apabila meminta Zakaria dan tiga yang lain untuk bercuti dengan serta merta.

Pada sidang media tergemparnya di Menara Felda di Kuala Lumpur hari ini Isa mengatakan empat orang yang dipaksa bercuti ialah Zakaria; Ketua Pegawai Kewangan Ahmad Tifli Mohd Talha; Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products Kamarzaman Abd Karim dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading, Ahmad Salman Omar.

Isa juga mengalu-alukan SPRM untuk melakukan siasatan terhadap FGV.

Sementara Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar menyifatkan tindakan FGV menggantung Zakaria dan tiga yang lain amat mengejutkan.

“Berita tentang Zakaria Arshad dipaksa bercuti agak mengejutkan apatah lagi apabila FGV sendiri yang melantik beliau untuk memimpin tahun lalu.

“Oleh itu, Parlimen perlulah diberikan penerangan segera berhubung perkara ini,” kata ahli Parlimen Lembah Pantai itu.

Nurul Izzah berkata, rakyat Malaysia sebagai “pemegang saham utama” wajib untuk mengetahui apa yang sebenarnya berlaku dalam FGV.

“Sebagai sebuah syarikat berhad, FGV perlulah menyatakan apakah yang sebenarnya berlaku kepada pemegang saham mereka,” katanya.

Zakaria merupakan anak peneroka Felda pertama dilantik menerajui konglomerat perladangan dan syarikat pengeluar minyak sawit mentah utama dunia itu.

Pelantikan Zakaria, 57, berkuat kuasa pada 1 April 2016 itu bagi menggantikan Mohd Emir Mavani Abdullah yang tamat kontrak selepas berkhidmat lebih tiga tahun.

Zakaria yang juga anak peneroka Felda Palong 1, Negeri Sembilan sebelum itu memegang jawatan sebagai Naib Presiden Eksekutif/Ketua Kluster Hiliran Sawit di FGV.

Beliau yang berkhidmat dengan Kumpulan Felda sejak 1984 memiliki Ijazah Sains Sosial (Ekonomi) dari Universiti Sains Malaysia dan menyertai kursus perniagaan eksekutif di Fakulti Perniagaan Harvard dan Pembroke College, Universiti Cambridge
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan