Oleh Abdul Muein Abadi
“Jika bangsa Arab menjadi hina, Islam akan turut dihina” (Hasan al-Banna)
Arab Saudi, Mesir, Emiriyyah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, kerajaan
Yaman dan Libya pro-Saudi, serta terbaru Maldives telah memutuskan
hubungan dengan Qatar. Saham milik Qatar terus jatuh merudum manakala
laluan darat, laut serta udaranya pula dikenakan sekatan.
Sebenarnya
tindakan mengejutkan sebegini bukan kali pertama kerana pada 2014 Arab
Saudi, Bahrain, dan UAE pernah memanggil pulang duta mereka dari
Qatar.
Apakah ‘dosa’ negara kepulauan kecil di sebelah
Semenanjung Arab itu? Mengapa Qatar yang selama ini dilihat antara
sekutu Arab kini tiba-tiba dimusuhi?
Antara tuduhan terhadap
Qatar ialah “menyokong aktiviti keganasan” dan “menggugat kestabilan
serantau” serta memiliki hubungan baik dengan pertubuhan seperti
“Ikhwan Muslimin, ISIS, dan Al-Qaeda”.
Qatar turut dituduh
menyokong agenda Iran dan Syiah di Qatif (Saudi) dan Bahrain. Sebelum
itu ada tuduhan yang telah pun dinafikan kononnya pemimpinnya Emir
Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani menyokong Iran, Hamas, Hezbullah, dan
Israel di samping tidak yakin “berapa lama Trump akan bertahan sebelum
dipecat di Amerika”.
Sememangnya Qatar merupakan salah satu
daripada negara Arab utama yang membentuk Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
Malah Qatar turut menyertai latihan ketenteraan North Thunder anjuran
Arab Saudi pada 2016. Qatar bahkan terkehadapan dalam mengiktiraf
pencerobohan kuasa Barat ke atas rejim Muammar Gaddafi di Libya serta
bersama GCC Arab menentang pemberontakan di Bahrain.
Namun
berbeza dengan negara Arab lain, Qatar mesra Ikhwan Muslimin dan Rusia.
Sama sekali bertentangan dengan Arab Saudi, UAE, dan Mesir yang kini
menganggap pertubuhan tersebut sebagai pengganas, Qatar bukan sahaja
mengadakan hubungan rapat dengan Mesir sewaktu era Morsi, bahkan turut
melindungi kepimpinan Ikhwan. Ilmuan Prof. Yusuf Al-Qaradhawi yang
dianggap pemikir Ikhwan turut diberi suaka politik di Qatar.
Sewaktu kepimpinan Morsi, Qatar dilaporkan mendepositkan sebanyak USD 2
bilion kepada Bank Negara Mesir, meningkatkan pelaburannya sebesar 74
peratus di Mesir.
Doha juga secara umumnya menyokong peristiwa
Arab Spring yang menaikkan kepimpinan bercitra Islamis di rantau Teluk,
sedangkan Arab Saudi, Bahrain, dan UAE kurang selesa dengan
kebangkitan sedemikian.
Malah terdapat dakwaan bahawa sokongan
Qatar telah membantu kejayaan gerakan pro-Ikhwan Muslimin dalam pilihan
raya pasca-Arab Spring di Mesir, Maghribi, dan Tunisia. Ditambah
dengan faktor kewangan yang kuat dan penglibatan aktif Qatar di pentas
antarabangsa telah menjadikannya pesaing yang serius.
Qatar semakin berani mendedahkan urusan di sebalik tabir yang kurang disenangi negara jiran Arabnya.
Terkini pada 2017 baru-baru ini tentang emel kerjasama UAE-Israel.
Laporan stesen penyiaran Qatar, iaitu Al-Jazeera menyatakan bahawa
penggodam telah membocorkan emel Duta UAE ke Amerika iaitu Yousef
al-Otaiba dengan kumpulan pemikir neokonservatif Israel, Foundation for
Defense of Democracies (FDD) yang bekerjasama sejak 2014 lagi untuk
memburukkan imej Qatar di rantau Asia Barat.
Pada 2015
Al-Jazeera turut menyiarkan imej ngeri orang awam yang menjadi mangsa
serangan Mesir selepas Presiden Morsi digulingkan, sekali gus
memburukkan hubungan Qatar-Mesir.
Malah pada 2016 dua pekerja
Al-Jazeera dihukum mati oleh Mahkamah Mesir kerana didakwa membocorkan
dokumen keselamatan sulit Mesir kepada Qatar sewaktu pemerintahan Morsi.
Hasilnya imbangan kuasa di Timur Tengah kini semakin boleh dibahagikan
kepada tiga blok: pada satu sudut, Arab Saudi, Bahrain, Mesir, dan
UAE. Manakala pada sudut yang lain ialah Qatar, Turki, Hamas di
Palestin, Sudan, serta Tunisia dan Maghribi yang lebih lunak dengan
Ikhwan manakala Iran, Syria dan Hizbullah mewakili satu lagi blok yang
berpengaruh. Perkembangan ini bakal mengimpak situasi di Yaman dan
Syria yang masih bergolak.
Di peringkat global pula, meskipun
Qatar mempunyai pangkalan tentera Amerika Syarikat, namun ia juga
semakin rapat dengan Rusia. Amerika bukan sahaja memiliki dua pangkalan
udara dan tentera di Qatar, bahkan turut membekalkan pelbagai aset
ketenteraan seperti helikopter, sistem pertahanan, dan peluru berpandu
kepada Doha.
Namun hubungan Qatar-Rusia makin erat apabila
terkini perjanjian syarikat minyak antara Rosneft (Rusia) dengan Qatar
dan Glencore (Switzerland) ditandatangani, menyusuli pembelian saham
Bank V.T.B. Rusia dan juga pelaburan dalam pembinaan lapangan terbang
Pulkovo St. Petersburg oleh Qatar, sedangkan Rusia berada dalam sekatan
antarabangsa.
Aset Qatar di Rusia kini berjumlah USD 2.5
bilion, suatu perkembangan yang pastinya tidak menyenangkan seteru
Moscow. Kebetulan, Rusia ialah penganjur Piala Dunia 2018 manakala
Qatar pula penganjur Piala Dunia 2022.
Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan