Oleh SYED IBRAHIM SYED NOH
Sementara rakyat digalakkan untuk jimat berbelanja di bulan Ramadan ini
terdapat dua kes “pemborosan” berlaku yang didakwa melibatkan pemimpin
nombor satu negara.
Pertama, dakwaan bahawa Pejabat Perdana
Menteri pernah melantik bekas pembantu Presiden Trump untuk melobi
Kerajaan Amerika Syarikat dengan bayaran sebanyak RM1.125 juta (atau
USD250,000) dan kedua, wang berjumlah RM 9.5 juta dari syarikat SRC
International Sdn Bhd telah didakwa disalur Dato' Seri Najib Razak ke
dalam akaun peribadi peguam UMNO Tan Sri Shafee Abdullah.
Dalam
kes pertama, walaupun terdapat penafian terhadap lantikan pelobi oleh
Pejabat Perdana Menteri, namun menurut Rafizi Ramli, Naib Presiden
KEADILAN, dokumen pengisytiharan tambahan yang telah difailkan oleh
firma pelobi 45 Group mengesahkan sebaliknya.
Persoalan utama
yang timbul ialah apakah 45 Group telah berbohong apabila menamakan
Perdana Menteri sebagai pegawai Kerajaan Malaysia yang berurusan
dengannya dan dari mana datangnya dana RM1.125 juta (atau USD250,000)
untuk membayar 45 Group bagi kerja-kerja melobi bagi pihak Kerajaan
Malaysia?
Kemungkinan ini satu kes pemborosan amat membimbangkan,
terutama jika ia melibatkan dana rakyat, malah ia lebih “berat nanang”
jika ada elemen penyelewengan. Sehingga sekarang, belum kedengaran
penjelasan oleh Perdana Menteri atau 45 Group.
Dalam kes kedua,
Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Pembangkang dan Presiden
KEADILAN, dalam kenyataannya bertarikh 4 Jun 2017 melahirkan rasa kesal
beliau kerana Dato’ Seri Najib dan Tan Sri Shafee belum menjawab atau
memberi reaksi terhadap dakwaan wang berjumlah RM 9.5 juta dari syarikat
SRC International yang telah disalur Perdana Menteri Dato' Seri Najib
Razak ke dalam akaun peribadi peguam UMNO Tan Sri Shafee Abdullah.
“Setakat ini, rakyat Malaysia hanya mendengar alasan remeh yang diberi
menteri Dato' Seri Nazri Aziz. Ini amat tidak memadai, kerana persoalan
pokok tidak terjawab, iaitu mengapa dana dari SRC International ini
berada di dalam akaun peribadi Dato' Seri Najib dan mengapa RM 9.5 juta
dipindahkan ke dalam akaun peribadi Tan Sri Shafee,” ujarnya.
Menurutnya, dakwaan ini menimbulkan tanda tanya apakah dana ini berkait
kes Fitnah 2 terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan apakah ada mana-mana
individu berkait dengan kes Fitnah 2 yang menerima wang daripada Dato’
Seri Najib serupa seperti yang diterima Tan Sri Shafee. Malah menurut Dr
Wan Azizah, dakwaan ini menimbulkan persoalan sekiranya Dato’ Seri
Najib telah melanggar Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA 2014).
Terdahulu, Anwar Ibrahim melalui kenyataan ringkasnya pada 2 Jun 2017
juga menganggap dakwaan Sarawak Report itu sebagai dakwaan yang amat
berat.
“Perkara ini perlu disiasat pihak berkuasa pada kadar
segera. Apakah tujuan dana besar ini disalur oleh Najib kepada akaun
peribadi seorang peguam swasta yang dilantik oleh kerajaan Najib untuk
mengendalikan pendakwaan terhadap saya?” tegas beliau.
“Yang
menjadi persoalan lebih serius: siapa lagi yang turut menerima duit dari
SRC International melalui akaun peribadi Najib?” tambahnya.
Persoalan saluran dana dari SRC International, bekas anak syarikat
1Malaysia Development Berhad (1MDB) ini masih berselirat dan melibatkan
berpuluh juta ringgit.
Pada Januari 2016, Peguam Negara, Tan Sri
Mohamed Apandi Ali, telah membersihkan Dato’ Seri Najib daripada
sebarang kesalahan berhubung kes SRC International dan dana RM2.6 bilion
atas alasan Perdana Menteri tidak sedar kemasukan dana berkenaan dan ia
merupakan sumbangan peribadi daripada keluarga diraja Arab Saudi yang
telah diberikan tanpa sebarang balasan.
Malah menurut Tan Sri
Apandi, wang sejumlah USD620 juta (RM2.03 bilion) telah dikembalikan
semula oleh Najib kepada keluarga diraja Arab Saudi kerana dana tersebut
tidak diguna pakai.
Walau bagaimanapun, ternyata skandal
penyaluran dana SRC International, yang kini milik Kementerian Kewangan,
belum selesai meskipun cuba ditutup oleh Peguam Negara.
Sekarang keluar satu demi satu, penerima kepada wang yang masuk ke dalam akaun peribadi Dato’ Seri Najib.
Soalan oleh Anwar Ibrahim berkenaan siapa lagi yang turut menerima wang
dari SRC International melalui akaun peribadi Dato’ Seri Najib belum
terjawab.
Ia boleh dijawab sekiranya kertas siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didedahkan kepada awam.
Bahkan, pada pendapat saya, ia wajib dimaklumkan dengan telus oleh
institusi yang bebas dan berintegriti seperti SPRM supaya dana rakyat
dapat dipertanggungjawabkan, tidak diselewengkan atau dibazir dan
diboroskan, malah ditangkap mereka yang terlibat.
SPRM, PDRM dan
lain-lain institusi bebas wajar bertanggungjawab meletakkan keutamaan
kepada kepentingan rakyat, bukan kepentingan peribadi pemimpin apatah
lagi melindungi mereka jika berlaku penyelewengan yang memudaratkan
rakyat dan negara. Amatlah jelas melalui pelbagai laporan berwibawa
bahawa dana 1MDB (melalui SRC International) telah dialirkan kepada
akaun peribadi Dato’ Seri Najib dan kemudian dialir keluar kepada pihak
lain.
Rafizi telah dengan berani mendedahkannya satu persatu
bermula April lalu. Beliau nekad mahu menarik perhatian rakyat kepada
isu dan skandal yang besar yang melibatkan dana dan tabung rakyat,
khususnya wang Tabung Haji dan dana pencen Kumpulan Wang Amanah
Persaraan (KWAP) berjumlah RM4 bilion atau RM4 ribu juta.
Sejak
beberapa tahun lalu, Rafizi dan Tony Pua, Setiausaha Publisiti DAP telah
cuba membangkitkan isu berkenaan suntikan dana daripada KWAP kepada
1MDB dan kemudian SRC. Malah Anwar Ibrahim juga telah membawanya ke
Parlimen sejak 2014.
Menurut Rafizi, penerima terbesar aliran
wang dari tabung rakyat melalui SRC International yang mendapat dana
dari KWAP ialah Jho Low.
Lain-lain penerima ialah Dato’ Dr
Nasharuddin Mat Isa, bekas Timbalan Presiden PAS; mereka yang ada kaitan
dengan UMNO dan/atau BN atau Dato’ Seri Najib atau syarikat-syarikat
pembekal; pengamal media dan syarikat media sosial untuk propaganda.
Kini, tersenarai juga ialah Tan Sri Shafee.
Yang dipersoalkan
ialah mengapa wang tabung rakyat dan pencen itu masuk ke SRC
International dan keluar kepada mereka yang tiada kaitan langsung dengan
rakyat? Bukankah ini boleh dianggap penyelewengan, pembaziran dan
pemborosan terbesar?
Ia menjadi tindakan yang lebih menjijikkan
apabila rakyat dibebankan dengan cukai GST yang menyebabkan harga barang
naik dan kos sara hidup tinggi.
Wang rakyat dengan mudah
disalurkan secara peribadi tanpa persoalan sedangkan rakyat digesa,
diperah dan ditekan setiap hari supaya bekerja keras mencari pendapatan
dan berjimat cermat. Peniaga diminta tidak menaikkan harga. Pentadbir
diarah berhemah dalam perbelanjaan. Bajet dipotong sana sini termasuk
peruntukan penyelenggaraan bangunan seperti sekolah.
Ini
amalan-amalan yang baik jika tidak berlaku penyelewengan dan pembaziran.
Namun kalau pimpinan tertinggi sendiri menunjukkan contoh buruk apakah
rakyat masih perlu tunduk patuh?
SYED IBRAHIM SYED NOH
Ketua Penerangan
Parti KEADILAN Rakyat
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan