PETALING JAYA: Dilihat sebagai usaha mengimbangi
‘kegusaran’ dalam Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu
pakatan pembangkang itu mengekalkan tradisi konsensus dan pada masa yang
sama “memanfaatkan kedudukan dan peranan Tun Dr Mahathir Mohamad.”
Dalam kenyataan media dikeluarkan hari ini, Anwar berkata, PH perlu
mengekalkan tradisi konsensus seperti mana pengalaman Pakatan Rakyat
sebelum ini.
Anwar, Ketua Umum PKR berkata, semua ketua parti mempunyai kedudukan
yang sama dengan presiden atau pengerusi masing-masing hanya sebagai
penyelaras manakala segala persiapan atau agenda mesyuarat dikendali
oleh Sekretariat Bersama mewakili semua parti.
PH menggantikan Pakatan Rakyat yang terkubur 2 tahun lalu. Dua bulan
lalu, PH menerima PPBM sebagai anggota gabungan yang keempat.
Anwar juga berkata, usul PPBM untuk merombak struktur PH dengan
pimpinan utama parti tersebut menguasai jawatan pengerusi dan presiden
dalam struktur baharu dikhuatiri akan merombak kerangka pakatan itu
menjadikannya mirip Barisan Nasional.
“Maka kesediaan semua pihak dalam PH untuk meneliti semula dan
meminda cadangan tersebut dengan mengekalkan muafakat asal Pakatan
Harapan adalah dialukan,” kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan
menjelang pengumuman rasmi mengenai struktur PH.
Pada Jun lalu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
berkata, PH sudah mempersetujui senarai kepimpinannya yang akan
diumumkan dan didaftarkan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia
(RoS) selewat-lewatnya minggu depan.
Katanya, senarai itu disepakati kepimpinan keempat-empat parti komponen gabungan itu.
Beliau yang juga presiden PKR yakin barisan kepimpinan yang akan menerajui PH mampu membawa perubahan kepada politik negara.
Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menafikan bapanya
dilantik sebagai pengerusi, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi presiden
dan Anwar sekadar penasihat PH berdasarkan senarai struktur organisasi
PH yang tersebar.
Dalam kenyataan media hari ini, Anwar berkata, dengan hasrat
merangkul semua kekuatan dalam 1 pasukan mantap menentang Umno-BN adalah
dirasakan wajar memastikan penyertaan semua pimpinan secara berkesan.
“Ini termasuk memanfaatkan kedudukan dan peranan Tun Mahathir. Agak
kurang bijak untuk membuat sebarang andaian sebelum semua pimpinan parti
menyatakan sikap dan usul tersebut dimuktamadkan,” kata beliau yang
merupakan timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno semasa
kepimpinan Dr Mahathir sebagai perdana menteri.
Anwar berkata, sepertimana yang disepakati Pakatan Rakyat dan kini
PH, “kita menggagaskan pembaharuan dan mengusung idea politk baru.”
“Kita berpaksikan prinsip luhur Perlembagaan termasuk kedudukan
Islam, hak keistimewaan Melayu-Bumiputera, bahasa, dan Raja-raja Melayu.
“Kendati begitu, kita menolak asas politik perkauman, disebaliknya
komited untuk menegakkan amalan demokrasi dan prinsip keadilan.”
Katanya, keutamaan dasar menjurus kepada kebajikan rakyat dengan menolak kerakusan kuasa dan rasuah.
“Laungan kita tidak terbatas kepada perubahan pimpinan tetapi sistem
lapuk yang diwarisi yang mengizinkan segala pelanggaran hukum dan rasuah
oleh pemimpin tanpa kawalan dan tindakan,” kata Anwar.
Malah tegas Anwar, PH harus terpancang kepada dasar negara, kebobrokan sistem dan ke arah kemenangan PRU14.
“Isu pinggiran lainnya, muslihat perebutan kuasa dan kedudukan atau
keterlanjuran kata kurang sopan dalam PH tidak harus diizinkan,” kata
beliau.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan