Oleh Zin Mahmud
Setakat rencana ini ditulis, tentera Filipina belum dapat menawan
kembali kota Marawi sepenuhnya daripada tangan pengganas Maurte
walaupun seminggu sudah berlalu. Namun begitu, laporan terkini
menyatakan tentera Filipina dapat menguasai kembali kebanyakan tempat di
kota itu. Tetapi pengganas masih ada di tengah-tengah kota.
Menurut
laporan, kota Marawi memang sukar untuk benar-benar dikuasai
sepenuhnya. Keadaan bangunan dan rumah di situ membolehkan militan
bersembunyi dan melancarkan perang gerila. Lebih-lebih lagi mereka yang
berasal dari situ.
Dilaporkan juga bahawa 90 peratus penduduk Marawi
telah dipindahkan bagi memudahkan tentera memburu para pengganas itu.
Menurut Presiden Rodriguez Duterte, beliau mengarahkan supaya tentera
seboleh-bolehnya mengurangkan kerosakan kolateral. Iaitu mengelak orang
awam terbunuh dan harta benda rosak. Ini bagi mengelakkan penduduk
tempatan tidak memusuhi tentera dan kerajaan. Jika penduduk tempatan
memusuhi kerajaan, ia akan menimbulkan masalah lain yang berpanjangan.
Untuk itu, Duterte mengajak anggota kumpulan Islam dan komunis
menyertai tentera Filipina untuk menentang pengganas. Malah beliau
menawarkan gaji seperti tentera sekiranya mereka ikut bersama operasi.
Setakat ini pemimpin Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur
Misuari menyatakan kesediaan pihaknya untuk menentang pengganas itu.
Sementara Murad Ebrahim dari Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) pula
mengatur bantuan kemanusiaan bagi penduduk Marawi yang dipindahkan. Luis
Jalandoni, ketua kumpulan komunis, Barisan Demokratik Nasional (NDF)
juga menyatakan kesediaan untuk menentang para pengganas.
Tentera Filipina menggunakan bom tepat bagi menyasar para pengganas. Bom
tepat atau precision bombings ini diharapkan dapat mengena sasarannya
tanpa menyebabkan kerosakan kolateral yang besar. Tetapi tentera
Filipina tidak cukup memiliki bom seperti ini. Maka mereka terpaksa juga
menggunakan bom biasa. Kesannya berat apabila tanpa sengaja ia
digugurkan pada tempat tentera Filipina sendiri. Pada Khamis lalu 11
orang tentera Filipina terkorban kerana bom sendiri.
Apa yang
menyukarkan peperangan seperti ini, pihak pengganas boleh menyelinap
dalam kalangan orang awam untuk mereka bersembunyi atau lari. Tidak
diketahui berapa orang pengganas Maurte ini. Terdapat anggaran dari 100
hingga 500 orang. Ada yang sudah dibunuh dan ditangkap. Antara yang
terbunuh didapati adalah kalangan orang asing. Ada yang asal Malaysia,
Indonesia, Singapura, Arab Saudi, Yaman dan Chechnya. Maknanya hubungan
Maurte dengan Daesh bukan saja berbentuk baiah tetapi juga dari segi
keanggotaannya.
Bagaimanapun dikatakan bahawa kebanyakan anggota
kumpulan Maurte adalah asalnya orang Kristian yang memeluk Islam.
Menurut Duterte, kumpulan ini diasaskan dua bersaudara Omar dan Abdullah
Maurte yang asalnya adalah bekas pegawai polis Filipina yang terlibat
dengan pengedaran dadah. Menurutnya, mereka mempunyai kilang syabu
terbesar di wilayah Lanao del Sur, yang mana ibu kotanya ialah Marawi.
Daripada keuntungan lumayan penjualan syabu itu, Maurte bersaudara ini
menubuhkan kumpulannya untuk menentang kerajaan. Sebabnya ialah kerajaan
memburu mereka kerana pengedaran dadah itu.
Bagi mengukuhkan
kumpulan itu, Maurte mengundang Isnilon Hapilon dari Abu Sayyaf sebagai
amir atau ketua kumpulan itu yang diisytiharkan sebagai Daesh bagi Asia
Tenggara. Isnilon Hapilon mendapat lantikan daripada ketua Daesh
antarabangsa di Iraq iaitu Abu Bakar Baghdadi. Maka sebab itu Maurte
menggunakan bendera Daesh dan manual kumpulan itu.
Dengan manual
Daesh, kumpulan ini menjadi ganas. Di Marawi itu mereka menculik dan
membunuh. Mereka menahan orang tempatan dan membunuh sesiapa yang tidak
boleh membaca sebarang ayat al-Quran. Mayat-mayat dicampak ke gaung.
Begitulah apa yang dilaporkan.
Kekejaman mereka itu dilihat sebagai
kebiasaan apa yang dilakukan oleh Daesh. Iaitu tiada belas kasihan dan
tidak berperikemanusiaan.
Menyertai
Dalam perang ini,
turut menyertai Maurte ialah anggota Abu Sayyaf yang datang dari wilayah
lain. Begitu juga dengan kumpulan Bangsamoro Islamic Freedom Fighters
(BIFF) yang berpusat di Maguindanao.
Penawanan Marawi oleh
Maurte bukanlah sesuatu yang dirancang. Sememangnya Daesh antarabangsa
mahu bertapak di Filipina sebagai pangkalan paling mudah di Asia
Tenggara kerana keadaannya yang berada di luar kawalan kerajaan. Anggota
Daesh asing sudah pun masuk ke Filipina, malah di Marawi tetapi mereka
tidak membuat sebarang serangan. Walaupun sebelum itu ada serangan di
kota Davao.
Kumpulan Maurte asalnya bergerak di pegunungan dan
pihak tentera sentiasa memburu mereka untuk menangkap Isnilon Hapsilon.
Pada Disember lalu, mereka mengugut kerajaan Filipina. Jika tentera
terus memburu Isnilon, mereka akan turun ke Marawi. Duterte kata: Walang
problema (Tak ada masalah).
Memang rupa-rupanya
kumpulan Maurte
itu memenuhi ugutannya dengan menawan kota Marawi. Mereka ambil alih
lapangan terbang, hospital dan Mindanao State University. Mereka
menurunkan bendera Filipina dan menaikkan bendera hitam Daesh.
Perkembangan ini mengejutkan bukan saja bagi kerajaan Filipina tetapi
juga negara-negara jiran seperti Malaysia dan Indonesia. Ia juga
mengejutkan dunia. Ketika wilayah Daesh di Iraq dan Syria semakin kecil.
Iaitu kota-kota taklukan mereka seperti Mosul di Iraq dan Raqqa di
Syria telah terlepas, tiba-tiba Marawi pula yang tumbang ke tangan
Daesh.
Duterte komited untuk menawan kembali Marawi dan
mengalahkan keganasan di negara itu. Tetapi seperti kenyataan yang
dikeluarkan dari Istana Malacanang, Filipina memerlukan apa saja bantuan
bagi mengalahkan Muarte-Daesh ini, bukan saja dari segi ekonomi tetapi
juga ideologi.
Dalam hal ini rakyat Filipina sendiri diseru
supaya bersatu, tanpa mengira agama atau ideologi. Sama ada Kristian
mahupun Islam, sama ada kiri ataupun kanan, mereka mesti bersatu
menentang pengganas. Ini bukan soal Kristian lawan Islam, atau kerajaan
lawan pemberontak, tetapi ia adalah perlawanan antara keselamatan dan
kekacauan.
Ia bukannya mudah. Ada pelbagai kaedah bagi
mengalahkan keganasan dan perkara ini sudah lama dibincangkan di banyak
tempat. Tengok gayanya Duterte mengambil jalan keras dengan
mengisytiharkan undang-undang tentera yang memberikan banyak kuasa
kepada angkatan bersenjata untuk bertindak apa saja bagi mencapai
matlamat.
Pilihan kaedah keras oleh Duterte tidak mengejutkan.
Sejak menjadi presiden, beliau telah mengambil jalan keras bagi
mengatasi masalah pengedaran dadah. Tindakan polis yang keras itu
menimbulkan kritikan daripada pihak-pihak pemantau hak asasi. Tetapi
Duterte percaya dengan cara itu.
Adakah Duterte akan berjaya
mengalahkan keganasan ini? Tetapi apa yang jelas Daesh tidak akan
berjaya. Ini kerana mereka kejam. Penduduk tempatan Marawi atau Mindanao
keseluruhannya tidak akan menyokong Daesh.
Akhirnya hanya
fahaman nasionalisme Filipina yang jika dilaksanakan secara adil pada
semua rakyatnya akan menyelamatkan negara itu daripada kancah kekacauan
yang selama ini merundung pulau Mindanao.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)

0 comments:
Catat Ulasan