Oleh Subky Latif
APA
takjub politik sekretariat Pakatan Harapan memaklumkan gabungan
parti-parti pembangkang itu tidak membincangkan calon perdana menteri
dalam mesyuarat pimpinannya yang lalu?
Mengapa ia perlu dibincangkan? Ia adalah bukan isu lagi dan tidak perlu dibangkitkan.
Sejak Pakatan Rakyat diwujudkan dulu lagi, sudah dikira Dato’ Seri
Anwar Ibrahimlah calon perdana menteri sekiranya Putrajaya dapat ditawan
oleh muafakat itu.
Sama ada ia pernah dibincangkan atau tidak
dibincangkan sesama pimpinan Pakatan Rakyat, umum bukan sekadar
menganggap, tetapi sudah membuat keputusan perdana menterinya tidak lain
ialah Anwar Ibrahim.
Bahkan ia sudah dicalonkan pada malam perhimpunan besar pembentukan Gerak di Markaz PAS Pusat di Taman Melewar.
Gerak dipengerusikan oleh al- Marhum Ustaz Fadzil Mohd Noor.
Perhimpunan itu adalah kegiatan yang pertamanya sebaik saja Anwar
ditahan setelah disingkirkan dari timbalan presiden Umno dan dilucutkan
sebagai timbalan perdana menteri.
Di depan Ustaz Fadzil, Lim Kit
Siang dan Dr Syed Husin Ali dan keluarga Anwar Ibrahim, seorang
penceramah pro-Anwar dan Reformasi memberitahu dalam rapat raksasa itu
bahawa Anwar Ibrahim adalah calon perdana menteri. Sekalipun tidak
dikomen oleh sesiapa di majlis itu, senyap itu adalah dikira
menerimanya?
Sesudah Anwar dibebaskan, dia mempelopori
pembentukan Pakatan Rakyat yang ketika itu Tuan Guru Haji Abdul Hadi
Awang sudah menggantikan Ustaz Fadzil sebagai Presiden PAS dan semua nya
mengira Anwar Ibrahim adalah perdana menteri.
Sehinggalah Anwar
dipenjarakan semula dan Pakatan Rakyat digantikan oleh Pakatan Harapan,
maka calon perdana menteri itu tidak pernah ditukar. Semua tahu kiranya
Anwar tidak dibebaskan dan tidak menyertai pilihan raya umum ketika dia
masih di penjara, dia tidak akan dijadikan perdana menteri atas idah
penjaranya, tetap calon perdana menteri itu tidak digugurkan.
Sekalipun ada gelombang dalam PAS mengira payahnya dia hendak dijadikan
perdana menteri dengan fitnah yang menimpanya dan dipaksakan kepadanya,
tetapi tidak pernah dikira Anwar ada pencabar lain.
Diakui atau
tidak diakui dalam kalangan PAS tidak mengira Anwar calon yang terbaik.
Tidak ditolak tetapi penerimaan itu tidak bulat. Tiada orang yang
bersedia untuk mencabarnya.
Mungkin pandangan kedua PAS mendorong kalangan tertentu dalam Pakatan Rakyat mencari ganti PAS dalam Pakatan Rakyat.
Bukan kerja mudah ganti PAS boleh disetujui tanpa persetujuan PAS
kerana PAS tidak pernah keluar dari Pakatan Rakyat, maka jalan mudahnya
ialah menggantikan Pakatan Rakyat dengan Pakatan Harapan tanpa
memerlukan persetujuan PAS.
Tidak pernah pakatan ganti itu
menggugurkan Anwar sebagai calon perdana menteri dan keluarga PAS yang
mendukung Pakatan Rakyat pun sudah bersetuju calon perdana menteri itu
bukan yang lain dari Anwar.
Hanya setelah Tun Dr Mahathir Mohamad
dan Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi pembangkang dan diterima sebagai
kerabat baharu Pakatan Rakyat, seolah-olah ada pandangan baharu tentang
siapa calon perdana menteri?
Bersatu sudah diterima sebagai
saudara baharu Pakatan Harapan, tetapi Mahathir belum menerima Anwar
sebagai calon yang diketengahkan. Dia tidak menolak tetapi mahu ia
dibincangkan semula.
Ekoran dari perkembangan baru itu keputusan
lama tentang Anwar sebagai calon PM tunggal seolah-olah tergantung
sekalipun penyokong Anwar tetap mahukannya juga.
Mungkin sudah
berdamai semula antara kedua-duanya. Jika kedua-duanya sudah berdamai,
tetapi ia masih dikira dalam kalimah Inggerisnya dinamakan truce yang
bermaksud perletakan senjata atau damai sementara. Bersekutu dan
berpisah antara kedua-duanya adalah hal biasa.
Pertautan antara
kedua-duanya bermula ketika Anwar masih ketua pelajar universiti dan
Mahathir terpecat dari Umno. Anwar membenarkan para pelajar menyokong
Mahathir dalam demo menggulingkan Tunku Abdul Rahman Putra sebagai
perdana menteri.
Tunku sudah pun digulingkan oleh Tun Abdul Razak
Hussein dan kerajan Mageran selepas 13 Mei 1969, tetapi Tunku masih
jadi perdana menteri yang tidak berkuasa.
Tunku pun meletakkan jawatan dan Mahathir kembali dalam Umno hingga menjadi menteri pelajaran.
Lepas itu kedua-dua Anwar dan Mahathir berseteru. Sekalipun Anwar
adalah aktivis non-partisan dalam politik tetapi Anwar seolaholah musuh
besar politik Mahathir.
Bila Mahathir jadi perdana menteri. Dia
membuat kejutan diumnokannya Anwar dan Anwar pun megah jadi Umno
hinggalah dia jadi TPM dan timbalan presiden Umno.
Kedua-duanya
pun berperang semula. Anwar dipecat dan dipenjarakan hingga cinta Anwar
kepada Umno lebih kecil dari hama melayang.
Sekarang Mahathir
kecewa dengan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Razak dan keluar
Umno kerana Umno cinta Najib tak berbelah bagi.
Cara mudah bagi
membuang Najib ialah bertaut semula de ngan Anwar. Sejak belum dipenjara
semula Anwar kata dia sudah memaafkan Mahathir tetapi Mahathir pernah
rasa bersalah melen sing Anwar dari masyarakat dunia bebas. Sehingga ini
pun dia tidak merasa menyesal atas apa yang dilakukan kepada Anwar.
Anwar kerana terpenjara tidak datang kepada Mahathir tetapi yang
datangg kepada Anwar ialah Mahathir. Mereka nampak seperti berdamai dan
Anwar tidak menuntut Mahathir berkata menyesal atas tindakannya dulu.
Mahathir sudah menandatangani tuntutan membebaskan Anwar tetapi
Mahathir belum menerima Anwar sebagai calon tunggal perdana menteri bagi
menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14. Tuntutan semua mahukan Pakatan
menamakan calon PM. Urusetia Pakatan kata, hal itu belum dibincang. Dua
kemungkinan ia tidak dibincang. Pertama calon tunggal itu kekal hingga
tidak perlu dibincang lagi. Kedua isu itu payah membincangkannya.
Sepatutnya urusetia Pakatan mesti tegas. Ia tidak jadi isu lagi kerana
Pakatan sudah ada calon sebelum Mahathir jadi pembangkang.
Jika
Mahathir datang jadi kerabat Pakatan, dia wajar terima apa yang sudah
tetap. Bersatu wajar terima apa yang sudah diputuskan.
Mungkin
yang timbul ialah Anwar tidak boleh menyertai PRU14. Dengan demikian dia
tidak boleh jadi pengganti Najib sekalipun bukan sekadar BN kalah
bahkan Najib kalah di Pekan. Malaysia tidak boleh perdana menterinya
kosong.
Seorang bukan Anwar mesti dinamakan perdana menteri. Isu
itu sudah lama berbangkit. Tetapi bagi PM sementera yang bukan Anwar itu
seolah-oleh ditentukan Anwar sendiri. Siapa yang Anwar mahu.
Jika Anwar
tidak biarkan PKR dipimpin oleh orang lain melainkan Dato’ Seri Wan
Azizah Wan Ismail, maka Kit Siang tidak pernah pertikai wibawa Wan
Azizah, tentullah dia tidak menolak Wan Azizah jadi PM sementara.
Lain dari Wan Azizah jadi presiden PKR, mungkin Anwar tidak dapat
jaminan PKR tetap dalam kawalannya. Dan jika perdana menteri itu lain
dari Wan Azizah tidak dapat dipastikan dia jadi PM sementara. Dan Kit
Siang sendiri tidak perkenan ada orang lain jadi PM sementera.
Jika lain dari Wan Azizah, Kit Siang tidak membantah ia diberi kepada Nurul Izzah.
Anak saudara saya ketawa memberitahu saya sepuluh tahun dulu, nujum
Cina kata Anwar tidak akan jadi perdana menteri tetapi yang jadi perdana
menteri ialah Nurul Izzah.
Perdana menteri itu tidak ditentukan
oleh nujum. Ia ditentukan Majlis Pimpinan Pakatan yang dalamnya ada
Mahathir atau ia ditentukan oleh Anwar yang masih berada di penjara.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)

0 comments:
Catat Ulasan