Oleh RAFIZI RAMLI
2
minggu lalu, kerajaan Barisan Nasional dengan gah mewar-warkan
bagaimana pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.6% dalam suku pertama 2017
sebagai bukti kejayaan pentadbirannya. Ada yang mendakwa segala skandal
yang bersabit 1MDB hanyalah dakyah politik kerana ia tidak mempunyai
kesan pun kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Ramai yang
sering bertanya kepada saya mengapa mereka tidak dapat merasakan
keadaan ekonomi yang baik meskipun Malaysia mencatatkan kadar
pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setiap tahun. Jika
ekonomi Malaysia dikatakan begitu baik seperti angka pertumbuhan KDNK
yang diumumkan, mengapa ramai rakyat yang menghadapi kekangan kewangan
dalam menjalani kehidupan seharian.
Perkara ini perlu diberi yang
lebih supaya rakyat dapat menilai bahawa bukan semua pertumbuhan
ekonomi itu mengalirkan kebaikan ekonomi kepada rakyat. Ada yang hasil
ekonominya dipusatkan di kalangan beberapa pihak sahaja, ada yang
ekonomi berkembang kerana lebih banyak pekerjaan bergaji murah yang
diwujudkan.
Secara mudahnya, pertumbuhan KDNK negara merujuk
kepada ukuran bagaimana ekonomi negara menghasilkan lebih banyak
barangan dan perkhidmatan. Ini boleh dicapai dengan dua cara – menambah
pekerjaan atau menambah produktiviti.
Majikan boleh mengambil
lebih ramai pekerja untuk menghasilkan lebih banyak barangan dan
perkhidmatan tetapi pekerja dibayar gaji yang sama kerana kerjanya
sama. Atau majikan boleh menggunakan teknologi atau menambahbaik proses
untuk menghasilkan lebih banyak barangan/ perkhidmatan dengan bilangan
pekerja yang sama atau kurang; tetapi pekerja kini melakukan kerja
yang bernilai lebih tinggi dan wajar dibayar lebih tinggi.
Di
bawah pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi, pertumbuhan KDNK lebih
didorong oleh produktiviti. Walau bagaimana pun, semasa pentadbiran
Datuk Seri Najib Razak (2011-2015), pertumbuhan yang didorong oleh
produktiviti menurun (dari 59.07% kepada 34.80% daripada jumlah
pertumbuhan KDNK) manakala pertumbuhan yang didorong pertambahan
pekerjaan meningkat dengan ketara (daripada 40.93% kepada 65.2%
daripada jumlah pertumbuhan KDNK ).
(Rujuk mukasurat 5, Laporan Produktiviti Negara 2015/2016 yang dilampirkan bersama).
Ini diterangkan dengan lebih baik oleh carta yang saya sertakan dari laporan tersebut.
Ini bermakna jika pihak majikan mengambil lebih ramai pekerja, mereka
bukannya meningkatkan produktiviti pekerja untuk menghasilkan lebih
banyak barangan atau perkhidmatan (seterusnya meningkatkan pertumbuhan
KDNK). Sebab itu pertumbuhan KDNK yang diumumkan kerajaan perlu
diperhalusi untuk menentukan sama ada pertumbuhan itu hanya dipacu oleh
lebih banyak pekerja yang dibayar gaji yang murah untuk menambah
pekerjaan; atau pertumbuhan itu berpunca dari kerja-kerja yang lebih
bernilai tinggi dan dibayar gaji yang lebih tinggi.
Dalam tempoh
yang sama bagi tahun 2011 hingga 2015, kita telah melihat beberapa
rekod pekerja asing yang berdaftar melonjak naik iaitu daripada 1.82
juta orang (2010) kepada 2.14 juta orang (2015). Menurut Persekutuan
Majikan Malaysia, anggaran jumlah pekerja asing yang berdaftar dan
tidak berdaftar adalah sekitar 6 juta orang pada 2016, ini bersamaan
dengan kira-kira 40% daripada jumlah tenaga kerja di negara ini.
Oleh itu, walaupun saiz ekonomi dilihat semakin meningkat, tetapi ia
turut dikongsi bersama lebih ramai orang yang kebanyakannya pekerja
asing.
Sebaliknya, jika pertumbuhan KDNK negara ini didorong
oleh produktiviti, setiap pekerja akan mendapat imbuhan yang lebih
besar kerana jumlah pekerja tidak perlu ditambah dengan mendadak
(dengan membawa pekerja asing) dan hasil ekonomi dikongsi dengan lebih
adil.
Rujuk carta di bawah dari mukasurat 5 Laporan Produktiviti
2015/16 yang secara jelas menunjukkan di bawah pentadbiran Dato’ Seri
Najib, kadar kenaikan jumlah imbuhan kepada pekerja (dalam bentuk gaji,
caruman dan pampasan) sebenarnya telah menurun dari 5.3% (2011) kepada
3.8% (2015).
Oleh itu, pertumbuhan KDNK yang didorong oleh
pekerjaan berkemahiran rendah akan membantu mewujudkan peluang
pekerjaan tetapi tidak meningkatkan tahap gaji. Kebelakangan ini
fenomena ini berleluasa dengan peningkatan pekerjaan berkemahiran
rendah yang dibayar gaji yang rendah kerana diisi oleh pekerja asing.
Keadaan ini menerangkan kenapa angka pertumbuhan KDNK nampak baik di
atas kertas tetapi tidak memberi manfaat kepada rakyat biasa yang
terpaksa bekerja setiap hari dengan kadar pertumbuhan upah yang rendah
dan tidak sepadan dengan kenaikan kos sara hidup.
Pertumbuhan
gaji sebenar (selepas ditolak inflasi) bagi 2017 dijangka jatuh pada
kadar terendah di rantau Asia (bagi ekonomi yang setanding dengan
Malaysia) iaitu sekitar 2.30%. Bulan lepas (April 2017), kadar inflasi
telah pada tahap 5.1% iaitu tahap tertinggi dalam 8 tahun.
Oleh
sebab itulah, saya akan terus mengacau Khairy Jamaluddin untuk
menjawab soalan-soalan ini sebelum beliau sibuk menjelajah negara
menjual mimpi pada tahun 2050. Kalau beliau boleh memilih untuk tidak
menjawab soalan dari Malaysiakini dengan kasar, beliau tidak boleh
terus mendiamkan diri mengelak soalan-soalan saya mengenai isu
pekerjaan dan kos sara hidup.
Saya masih menunggu jawapan
daripada Khairy Jamaluddin mengenai peluang untuk berdialog dengan 300
orang pimpinan pembangkang dalam sesi TN50 untuk saya tanyakan soalan
yang paling mudah: apa tindakan Dato’ Seri Najib sekarang untuk
mengatasi masalah pertumbuhan ekonomi yang tidak sampai manfaatnya
kepada rakyat?
Lampiran boleh didapatkan di link:
http://rafiziramli.com/…/ekonomi-berkembang-tetapi-kadar-k…/
RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan