Memahami Faktor2 Utama Di Luar Kawalan Pembangkang Dalam PRU 14



Oleh  HAYAR HASSAN.

Ada beberapa perkara menarik yang boleh dibawa pulang seusai menghadiri Wacana Rakyat,  Halatuju Blok Pembangkang Untuk PRU 14 yang telah diadakan pada 29 Oktober 2016 di SP Arena Bandar Seberang Jaya, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang.

Dalam Wacana Rakyat tersebut, Dato’ Saifuddin Nasution Ismail (DSNI), Setiausaha Agong PKR telah melontarkan beberapa perkara menarik yang sewajarnya diambil perhatian oleh  pimpinan Pakatan Harapan(PH). DSNI yang cukup berpengalaman dari sudut strategi penyertaan Pilihan Raya Umum(PRU) telah mendedahkan Empat Faktor Utama Di luar Kawalan Pembangkang Dalam Menyertai sebarang PRU.

Saya berpendapat empat faktor-faktor tersebut adalah rahsia umum yang telah dimaklumi oleh pemimpin-pemimpin Kerajaan dan pembangkang. Cumanya ianya agak sensitif untuk diperbincangkan secara terperinci.

Hatta orang ramai yang telah memberanikan diri untuk turut serta dalam perhimpunan-perhimpunan BERSIH selama ini pun pastinya amat termaklum akan rahsia umum ini dan kesannya terhadap keputusan PRU 14 nanti. Masalahnya, amat sukar bagi parti-parti pembangkang untuk menanganinya kerana kesemua faktor-faktor tersebut adalah di luar kawalan pembangkang.  Untuk memperhalusinya, marilah kita berkongsi dan meneliti faktor-faktor tersebut:-

Faktor 1 – Dikhabarkan Wujud  400,000.0 Undi Awal.

Dikhabarkan terdapat sekitar 400,000.0 undi awal untuk PRU ke 14. Yang dimaksudkan “Undi Awal “  ini adalah pengundi-pengundi yang akan membuang undi mereka lebih awal daripada tarikh sebenar PRU. Dikhabarkan “Undi Awal” adalah daripada pengundi-pengundi berdaftar yang berkhidmat dalam Polis DiRaja Malaysia(PDRM), Angkatan Tentera Malaysia(ATM) dan petugas-petugas PRU sendiri.

Jumlah kerusi Parlimen yang akan dipertandingkan adalah 222. Kerusi Parlimen Sabah adalah 25(11.0%). Kerusi Parlimen Sarawak adalah 31(14.0%). Semenanjung Malaysia Barat mempunyai 166(75.0% kerusi. Untuk memenangi PRU Ke 14 akan datang dengan majoriti mudah, BN/Blok Pembangkang perlu memenangi sekurang-kurangnya 112 kerusi Parlimen.

Secara teori, untuk kawasan-kawasan Parlimen yang 50-50, secara mudahnya undi awal berkenaan yang dikhabarkan boleh dimanipulasikan oleh pihak yang berkuasa, mungkin boleh disalurkan sekitar  3,500 kepada setiap kerusi Parlimen atau DUN. Hasilnya, ia mungkin memberikan kemenangan kepada pihak yang mampu memanipulasikannya!. Kerjanya cukup mudah kan! Tidak memerlukan dana, kempen, ceramah, sogokan dan rayuan undi yang berlebihan.

Di atas kertas ianya dilihat sesuatu yang mudah. Namun ianya masih menjadi teka-teki yang sukar diberikan jawapan oleh semua pihak. Persoalannya, adakah ianya telah pernah dilaksanakan dalam PRU-PRU yang lalu dan mungkin kah ianya juga akan dilaksanakan dalam PRU 14 nanti?

Dikhabarkan wakil-wakil calon yang bertanding tidak dilibatkan untuk memantau undi awal ini atas alasan keselamatan. Wakil-wakil calon parti-parti yang bertanding sesuatu kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri(DUN) dikhabarkan tidak dibenarkan memasuki kem ATM dan Ibu Pejabat Polis Daerah dimana proses membuang undi awal dijalankan.

Alasan yang diberikan, tempat-tempat pengundian awal itu dijalankan adalah merupakan kawasan-kawasan keselamatan. Bagaimana undi-undi awal itu dilaksanakan penuh misteri. Hanya Allah SWT dan pengundi-pengundi berdaftar itu yang tahu !

Cerita-cerita yang dikutip daripada anggota-anggota PDRM dan ATM yang telah bersara dari perkhidmatan adalah pelbagai, bersimpang siur dan banyak mengejutkan orang awam. Ada yang mendakwa , sepanjang dalam perkhidmatan,  mereka tidak pernah pun melihat kertas-kertas undi! Dalam perkhidmatan beruniform dan juga Perkhidmatan Awam, jarang sekali orang bawah mempertikai arahan pegawai atasan. Semua akur dengan slogan “ Saya Yang Menurut Perintah”.

Faktor 2 – Wujudnya Penempatan FELDA Dan Kem Tentera.

Dikhabarkan,  kem-kem tentera dan Rancangan-Rancangan FELDA terletak di 69 kawasan Parlimen diseluruh Malaysia. Ini adalah merupakan 30.0 % daripada jumlah keseluruhan kerusi-kerusi Parlimen. Seperti yang termaklum, pemimpin-pemimpin pembangkang tidak dibolehkan memberi ceramah-ceramah dalam kem-kem tentera atas alasan keselamatan Negara. Ceramah-ceramah di rancangan FELDA pula perlu mendapat kebenaran daripada Pengurusan FELDA. Impaknya parti-parti pembangkang sekali lagi disukarkan untuk berkempen kepada anggota keselamatan dan warga FELDA.

Faktor 3- Sabah Dan Sarawak.

Seperti yang termaklum, 25% daripada jumlah keseluruhan kerusi-kerusi Parlimen Malaysia adalah daripada Sabah dan Sarawak. Umum mengetahui bahawa untuk bertanding dalam PRU di Sabah dan Sarawak memerlukan dana yang banyak, petugas-petugas yang kental semangat dan tidak mudah disogok dengan wang ringgit.

Kemudahan pengangkutan yang pantas adalah suatu faktor utama untuk memasuki kawasan-kawasan pendalaman. Semuanya memerlukan dana. Pihak mana yang mempunyai dana yang banyak tentulah mempunyai kelebihan. Sabah dan Sarawak tidak mempunyai sistem jalanraya yang baik seperti Semenanjung Malaysia Barat.

Disamping itu, kelihatannya pemimpin-pemimpin parti pembangkang Sabah dan Sarawak sukar sekali untuk membentuk kerjasama dan persefahaman yang kental antara mereka. Masing-masing mempunyai agenda tersendiri.

Faktor 4 – Persempadanan Semula Kawasan Pilihan Raya.

Telah banyak diperkatakan betapa proses yang sedang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR) ini adalah tidak memihak kepada pembangkang. Ada agenda yang tersirat disamping yang tersurat. Parti-parti pembangkang sekadar hanya boleh membuat bantahan-bantahan. SPR tidak menjanjikan semua bantahan itu akan diterima.

Menurut DSNI, dalam sejarah PRU di Malaysia, setelah Persempadanan Semula Kawasan Pilihan Raya dijalankan, ianya akan disusuli oleh kemenangan besar bagi pihak UMNO-BN !

Setelah meneliti faktor-faktor di atas, adalah jelas bahawa Perhimpunan BERSIH 5  yang telah diadakan pada 19 November 2016 lalu adalah suatu yang amat relevan dan cukup mendesak untuk kelangsungan amalan demokrasi di Negara tercinta ini. Tidak menghairankan kalau UMNO-BN cukup tidak senang akan sebarang program BERSIH. Kita cuma dapat berharap agar  tuntutan-tuntutan BERSIH itu diberikan perhatian oleh pihak berwajib.

Lima Tuntutan-Tuntutan Bersih 5 tersebut adalah wajar dan amat didambakan oleh seluruh rakyat agar rakyat dapat memilih pemimpin-pemimpin yang punya intergriti dan berkaliber untuk terus mentadbir Negara ini. Tuntutan-tuntutan tersebut, 1. Pilihanraya Bersih- dituntut sejak 2007 supaya hak rakyat dalam memilih parti yang bakal memerintah akan terpelihara. 2. Kerajaan Yang Bersih- pengasingan kuasa eksekutif,perundangan dan kehakiman demi mengelak salahguna kuasa oleh pihak yang berkepentingan. 3. Perkukuh Demokrasi Parlimen- wakil Kerajaan dan pembangkang perlu diberi ruang dan peluang yang sama untuk berdebat dan memberikan cadangan. 4. Hak Untuk Membantah dan Menyuarakan Rasa Hati – tanpa diganggu oleh Akta Polis 1967, Kanun Keseksaan,Akta Keterangan 1950, Akta Hasutan 1948, SOSMA, POCA. 5. Memperkasa Sabah dan Sarawak.

Temubual khas wartawan Akhbar Mingguan Amanah bilangan 33 dengan mantan Pengerusi dan Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR) Tan Sri Rashid Abdul Rahman(TSRAR) baru-baru ini cukup menarik dan perlu diteliti oleh semua pihak. Semoga pengalaman dan pandangan TSRAR itu dapat memperkukuhkan lagi persediaan Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia(PPBM) dalam menghadapi PRU ke 14.

Sekurang-kurangnya rakyat dan pengundi-pengundi dapat diingatkan bahawa terlalu banyak kepincangan-kepincangan yang berlaku dalam amalan pilihanraya Negara ini. Jika dibandingkan dengan negara jiran, Indonesia, mereka lebih terkehadapan daripada kita. Amalan demokrasi mereka lebih subur.

Rakyat Indonesia, sepertinya benar-benar diberikan hak untuk memilih pemimpin-pemimpin yang baik tanpa sebarang manipulasi. Dari segi ekonomi dan pembangunan, Indonesia sudah bergerak dengan pantas daripada kita. Jangan lah kita terkejut kalau dalam beberapa waktu lagi, Indonesia akan meninggalkan kita dalam banyak hal.

Sekian, Terima Kasih.

HAYAR HASSAN.

Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan