Mengapa kita jarang dengar krisis dalaman BN?

Oleh

YANG kerap didengar di media, sama ada massa atau sosial, tentang pembangkang adalah kepimpinan mereka gagal bersatu, sering bergaduh dan tidak sekata. Kemudian disusuli pula reaksi daripada rakan Pakatan Harapan (PH) , sama ada individu atau NGO yang kecewa dengan gelagat pembangkang.

Keadaan itu berulang, berkisar dan berterusan. Malah, semakin hampir pilihan raya umum, semakin menjadi-jadi laporan tentang kegagalan pembangkang untuk bersatu.

Apakah berita dan laporan seperti ini benar? Benarkah keadaan pembangkang terdesak?

Memang ada sedikit sebanyak kebenarannya. Memang pada masa ini pimpinan PH berbalah tentang siapa yang perlu menjadi teraju utama gabungan mereka, dan siapa bakal perdana menteri. Walaupun rakyat tidak pedulikan sangat hal itu, bagi sesetengah pemimpin PH, ia seolah-olah menjadi isu penting.

Sejak berdekad lamanya, rakyat ditanam dengan pemikiran bahawa pembangkang tidak akan bersatu buat selama-lamanya manakala Barisan Nasional (BN) sentiasa sehati sejiwa. Jadi, di kalangan pembangkang sendiri, secara tanpa sedar, mereka seolah-olah bersetuju dengan naratif BN untuk dilihat bersatu, mereka perlu menjadi seperti BN.

Apa maksudnya menjadi seperti BN?

Dilihat dari luar, BN adalah gabungan yang stabil dan tidak banyak karenah. Ia diterajui Umno sebagai abang sulung manakala parti komponen lain hanya mampu senyum simpul. Itu gambaran yang diberikan media.

Sedangkan realitinya amat berbeza. Parti komponen BN sebenarnya tidak selesa dengan dominasi Umno tetapi mereka tidak mampu berbuat apa-apa. Lagi pun, pucuk pimpinan mereka sudah cukup gembira dengan jawatan menteri.

Di pihak PH, tiada abang sulung. Yang ada ialah empat parti bertaraf rakan kongsi setara. Semua keputusan dibuat berasaskan konsensus. Untuk mencapai kata sepakat, perlu berbahas dan bertegang leher dulu. Itu demokrasi namanya.

Memang komponen PH berbeza ideologi. Hari ini ada sosial demokrat, Muslim demokrat, liberal demokrat, dan pejuang hak Melayu yang anti Umno.

Yang menyatukan mereka adalah dasar bersama yang berasaskan platform dipersetuji sewaktu arwah Pakatan Rakyat ditubuhkan pada 2008. Namun, masih ada hal yang perlu diperkemaskan lagi.
Di pihak BN, perbezaan ideologi parti komponennya lebih ketara, malah lebih bertentangan antara satu sama lain.

Umno memperjuangkan ketuanan Melayu dan kini semakin pandai bermain agama sehingga PAS boleh tergoda. MCA dan MIC pula menjaga kaum Cina dan India. Parti di Sarawak dan Sabah pula membawa aspirasi kaum masing-masing. Ideologi Gerakan dan PPP yang dahulunya sedikit progresif kini sudah kabur.

Sepatutnya, mengikut logik media massa, gabungan BN akan tersungkur kerana berbeza ideologi serta tidak sekata dalam isu hak kaum, agama dan negeri. Tetapi kita tidak mendengar semua masalah ini. Semuanya nampak elok dan lancar sahaja.

Mengapa begitu?

Media arus perdana jarang melaporkan pertikaian, perbalahan dan pergaduhan dalaman BN. Media yang dikawal kerajaan ini sentiasa menggambarkan BN sebagai gabungan yang kental dan terbaik untuk Malaysia.

Ia sama seperti skandal mega 1MDB yang tidak pernah disiarkan secara benar, tepat dan jujur dalam media berbahasa Melayu dan Inggeris serta semua siaran berita TV dan radio.

Jika ada mana-mana blog atau media sosial cuba menggambarkan kemelut antara komponen BN dengan Umno, atau sesama mereka, rakyat tidak akan mudah menerima laporan itu walaupun benar.

Ini adalah kerana minda rakyat telah terikat dengan naratif hanya pembangkang suka bergaduh manakala BN sehati sejiwa.

Kejayaan propaganda BN ini memang hebat kerana masih ada segelintir pemimpin Pakatan Harapan yang mahu meniru BN dalam memperlihatkan perpaduan pembangkang, iaitu dengan memastikan Pakatan dipimpinan oleh parti abang sulung, sama seperti Umno. Jika ini berlaku, ia bermakna propaganda dan hegemoni Umno-BN berjaya.

Pimpinan PH perlu menilai semula apa yang sedang mereka fikir dan mahu lakukan. Sepanjang 2008 – 2013, era Pakatan Rakyat membuktikan struktur pembangkang sudah cukup baik. Cuma apabila PAS mula goyah pendirian akibat pujuk rayu Umno, berkuburlah gabungan pembangkang selepas PRU 2013.

PH tidak perlu mencipta semula roda kerana strukturnya sudah ada. Ia juga tidak perlu selalu menoleh ke belakang. Namun untuk mara, ia perlu memastikan tidak terperangkap dengan jerat BN.

Rakyat akan hanya dapat mengetahu hal ehwal politik melalui media. Sudah tentu tiada berita tentang pergaduhan dan pertikaian dalaman BN. Sudah tentu PH akan terus menjadi sasaran media.

Dalam keadaan ini, ia memang satu tugas yang sukar untuk meyakini rakyat terhadap kewibawaan PH sebagai kerajaan alternatif. Semoga pucuk pimpinan Pakatan lebih berhati-hati, bijak dan waras dalam menangani cabaran.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan