Oleh : Mohamed Hanipa Maidin
Cuba bayangkan jika Rasulullah
s.a.w ditakdirkan Allah masih hidup di zaman ini. Tidakkah kita fikirkan
bahawa Utusan dan Umno mungkin juga akan menemplak tindakan Rasulullah
s.a.w yang membenarkan orang-orang Kristian Najran masuk ke masjid dan
bersembahyang di Masjid Nabi.
Ahli Parlimen DAP Y.B Teo Nie Ching
diserang-serang habis-habisan kerana berkunjung ke Surau Al-Huda Kajang
untuk menyampaikan bantuan membaiki pagar surau tersebut. Beliau telah
dijemput oleh jawatankuasa surau untuk menyampaikan ucapan ringkas.
Insiden itu bagaimanapun dieksploitasi media arus perdana dan Umno
dengan mendakwa ia satu kesalahan dan mencemar imej Islam.
Kerana
seronok memfitnah di bulan Ramadhan , Umno dan Utusan tidak peduli
seerah Rasulullah s.a.w dan para sahabat yang berjaya menonjolkan ruh
tasamuh ( toleransi ) yang amat tinggi apabila berdepan dengan golongan
non muslim . Sebagai satu contoh toleransi yang Rasulullah s.a.w
tonjolkan adalah sepertimana kisah yang dinyatakan oleh Ibn Ishak di
dalam seerah berkenaaan perjumpaan Baginda dengan golongan Kristian
Najran.
Ibnu Ishak meriwayatkan golongan Kristian ini telah
bertemu dengan Rasulullah s.a.w di Madinah dan mereka bejumpa Rasulullah
s.a.w di Masjid Nabi. Apabila tiba waktu asar golongan Kristian ini
bangun ingin menunaikan sembahyang mereka dan ada para sahabat yang cuba
menegah mereka. Rasulullah sebaliknya mengatakan “ Da’auhum ! ( biarkan
mereka ) .
Rasulullah s.a.w membenarkan golongan Kristian itu
bersembahyang mengikut cara mereka di dalam masjid Nabi !! Akhirnya
mereka bersembahyang dengan mengadap di sebelah timur ( lihat buku
tulisan Yusuf Al-Qardhawi “ Religious Minority from Shariah’s
Perspective ). Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat dan Ketua Dewan Ulama Pas,Dato
Harun Taib iaitu mereka yang arif tentang Islam menyatakan tidak salah
orang bukan Islam memasuki masjid.
Jika Rasulullah s.a.w yang
digambarkan oleh Al-Quran sebagai qudwatun hasanah ( role model )
membenarkan orang bukan Islam bersembahyang cara mereka di Masjid Nabi
siapakah Utusan dan Umno yang ingin melarang Ahli Parlimen DAP dari
memasuki surau Al-Huda, Kajang.
Umno dan Utusan mendakwa kononnya
pihak Surau Al-Huda membenarkan Nie Ching memberikan tazkirah sedangkan
beliau adalah orang bukan Islam dan tidak memakai aurat.
Sebenarnya ini hujah makan tuan. Baiklah katakan , untuk tujuan
berhujah, kami terima pendapat Umno bahawa Nie Ching tidak sepatutnya
bertazkirah kerana beliau adalah orang bukan Islam dan tidak menutup
aurat . Jika itu hujah Umno kita juga berhak bertanya kenapakah semasa
Umno menjadi Kerajaan di Selangor dahulu para alim ulama’ seperti Tuan
Guru Nik Aziz, Dato’ Dr Harun Din , Almarhum Dato Ishak Bahrum dan
beberapa alim ulama' yang lain juga dilarang memberikan tazkirah oleh
pemimpin Umno .Bukankah Tuan Guru Nik Aziz, Dato’ Dr Harun Din ,
Almarhum Dato Ishak Bahrum adalah orang Islam dan bukankah mereka juga
menutup aurat !
Umno katakan Nie Ching tidak menutup aurat ketika
bertazkirah . Kita ingin bertanya Umno , adakah hukum atau perintah
menutup aurat hanya untuk orang Islam atau juga terpakai untuk orang
bukan Islam ? Jika menutup aurat hanya wajib untuk orang Islam sahaja
kenapakah kita harus mewajibkan ke atas orang bukan Islam dalam perkara
yang Allah tidak wajibkan ke atas mereka. Bukankah pendirian kita bahawa
orang bukan Islam yang ingin berkunjung ke masjid mestilah berpakaian
sopan. Saya tidak nampak Nie Ching berpakaian tidak sopan hanya kerana
beliau tidak bertudung.
Jika Umno begitu serius tentang isu
menutup aurat mengapakah Umno tidak ambil peduli sebahagian besar isteri
pemimpin Umno dan sesetengah pemimpin wanita dan Puteri Umno yang masih
tidak menutup aurat !
Apabila Ahli Parlimen Selayang, Y.B
William Leong Jee Keen menyampaikan sumbangan kepada wakil Masjid
al-Taqwa, Selayang akhbar Mingguan Malaysia menulis dengan tajuk berikut
“ Ahli Parlimen Selayang pula “ bertazkirah” Kesucian Masjid terus
dinodai” ( Mingguan Malaysia 29/8/2010 m/s 3 ) .
Akhbar itu melaporkan
pengarah JAIS Datuk Mohamed Khusrin Munawi berkata orang bukan Islam
tidak dibenarkan memasuki ruang solat utama kerana mereka tergolong
dalam berkeadaan hadas besar.
Saya tidak pelik jika JAIS
mengambil pendirian begitu kerana bagi saya saki baki pengaruh Umno
masih tebal dalam JAIS. Bukankah JAIS di zaman BN dahulu sibuk mengambil
tindakan kepada AJK masjid yang dilihat tidak cenderung kepada Kerajaan
BN. Saya mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam isu tersebut kerana
saya mewakili lebih kurang 7 buah masjid dan surau yang diganggu oleh
JAIS !
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)

0 comments:
Catat Ulasan