Undi Melayu semurah sebungkus kurma

Oleh Rahman Imuda

“Saya imam”- dua perkataan yang cukup untuk menjadikan individu yang menghalau petugas Pakatan Harapan di sebuah bazar di Kluang, Johor menjadi tular.

Ini bukanlah insiden yang pertama petugas dari blok pembangkang dihalau dan dihalang untuk memberikan sedekah kepada orang awam di bazar Ramadan.

Apa yang lebih menarik, kejadian seperti ini pernah berlaku pada tahun 2014, melibatkan orang yang sama tetapi memakai karakter yang berbeza ketika itu.

Membincangkan individu tersebut tidak membawakan kita apa-apa manfaat, kecuali mengundang ketawa kecil. Saya melihat ada beberapa perkara yang kita boleh kita selami daripada insiden “saya imam” ini.

Berbangsa Cina

Sayang sekali kita tidak dapat melihat keseluruhan video “pengusiran” ini, saya hanya menjumpai video pendek ketika “aksi panas” sedang berlaku.

Mengapa petugas-petugas ini dihalau? Apa yang membuatkan pak imam itu bertukar menjadi ganas ketika bulan Ramadan?

Jawapan yang paling logik yang mampu saya keluarkan adalah pak imam takut penerima-penerima kurma akan mengundi parti yang memberikan kurma.

Jika itu merupakan sebab terjadinya insiden ini, persoalan saya yang seterusnya; adakah undi rakyat yang negaranya dua bulan lagi mencapai kemerdekaan yang ke-60 mampu dibeli dengan sebungkus kurma? Saya tidak rasa begitu.

Jika kita beralih kepada sebab yang paling lazim dalam insiden pergaduhan yang melibatkan seorang imam dan isu politik, iaitu si pemberi adalah berbangsa Cina dan menentang Islam, saya masih juga tertanya-tanya.

Pertama, adakah orang yang tidak beragama Islam tidak dibenarkan sama-sekali untuk melakukan kebaikan kepada orang yang sedang berpuasa? Atau dapatkah mata kita menembusi hati seseorang untuk melihat niatnya?

Okay, andainya saya bersetuju dengan premis DAP tidak menyokong perkembangan Islam di Malaysia.

 Adakah menggunakan taktik kekerasan untuk menghalau petugas-petugas yang ingin melakukan kebaikan itu selari dengan ajaran Islam?

Apa perasaan tok imam dan kawan-kawan jika ahli politik yang mereka sanjungi dihalau secara “keras” ketika mengedarkan limau semasa perayaan Tahun Baru Cina? Saya pasti mereka juga akan terkilan.

Golongan tua konservatif

Bagi mereka yang rajin memberi soalan-soalan panas kepada golongan agamawan tua yang bersifat konservatif, saya fikir jawapan seperti “jangan nak cerita pasal Islam, saya imam” merupakan antara jawapan yang popular.

Kita harus menghargai golongan agamawan tua konservatif ini, pastinya mereka mempunyai jasa yang banyak dalam mengembangkan agama di negara ini.

Namun, seperti manusia biasa, sekali-sekala mereka mungkin akan melakukan kesilapan atau tidak mempunyai pengetahuan yang luas tentang isu-isu generasi baharu.

Golongan muda pada hari ini pula didedahkan dengan pelbagai maklumat yang banyak, proses untuk mencernakan maklumat ini memerlukan bantuan daripada ahlinya.

Lambakan maklumat yang diterima oleh golongan muda ini melahirkan soalan-soalan yang mungkin tidak pernah ditanya oleh generasi sebelum ini.

Sekali-sekala soalan ini bersifat terlalu “sensitif” sehingga menimbulkan kontrovesi dalam kalangan sarjana agama.

Apabila soalan-soalan seperti ini diajukan kepada golongan tua konservatif, kebanyakan mereka tidak mempunyai jawapan yang boleh memuaskan hati si penyoal.

Lebih malang lagi, jika ada yang marah atau meletakkan label kepada mereka yang bertanya.

Saya percaya soalan-soalan yang dilemparkan oleh golongan muda pada hari ini mempunyai jawapan yang rasional menurut nas agama.

Moga-moga para agamawan lebih gigih dalam mencari jawapan-jawapan ini untuk memberi pencerahan kepada masyarakat, kerja pak imam bukan marah-marah, tapi memberi pencerahan kepada masyarakat.

Negara idaman tak muncul dengan sebiji kurma

Saya percaya kebanyakan mereka yang terlibat dalam insiden “saya imam” merupakan golongan muda.

Apabila kita berbicara tentang golongan muda, hal pertama yang terlintas di fikiran saya adalah perkataan “harapan”. Bukan Pakatan Harapan, tapi pada tangan anak mudalah terletak “harapan” untuk menjadikan negara kita lebih baik.

Baru-baru ini Pilihan Raya United Kingdom (UK) menyaksikan impak yang boleh diberikan oleh golongan muda kepada keputusan pilihan raya.
Anak muda pada hari ini harus sedar, “negara idaman” tidak muncul dengan hanya berbaring atau memberikan kurma semata-mata, ia memerlukan pengorbanan dan kesungguhan.

Membaca keratan akhbar Metro bertarikh 3 Mac 2017 yang mengkhabarkan seramai 4.1 juta rakyat Malaysia belum daftar mengundi seperti menampar tepat ke muka mereka yang mempunyai cita-cita untuk melihat negara ini menjadi lebih baik.

Majoriti daripada mereka yang belum mendaftar ini merupakan golongan muda.
Kesedaran politik perlu ditanam dan dibaja serapinya pada hati setiap anak muda yang ada di negara ini.
Biarlah insiden tok imam ini menjadi insiden yang terakhir memaparkan masih ada anak mudak yang tidak “pandai” berpolitik. Politiknya ganas dan rasis.

Biarlah pendirian “tidak bersetuju” dinatijahkan dalam bentuk keputusan pilihan raya. Sekuat mana pun kita menjerit, sederas mana pun kita memukul, tapi jika aksi-aksi ini gagal memberi apa-apa impak pada keputusan pilihan raya, ianya cuma sia-sia.

Moga pak imam dan kawan-kawan menyedari kesilapan.

Setiap orang pasti melakukan kesilapan, dan moga mereka menyedari “politik ganas tidak bertempat” bukanlah sesuatu yang diajarkan oleh agama.

Moga-moga juga parti politik yang ada di luar sana mengerti bahawa undi rakyat Malaysia tidak mampu dibeli dengan sebungkus kurma. Sebungkus kesungguhan dan komitmen adalah kunci kepada “kepercayaan” rakyat.

RAHMAN IMUDA adalah seorang aktivis mahasiswa dan mantan naib yang dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) salah sebuah universiti awam.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan