Oleh Zin Mahmud
Tun Dr Mahathir Mohamad menyambut hari jadi ke-92
dalam kesihatan yang baik dan masih aktif berpolitik dengan
pemikirannya jelas dan hujah yang bernas.
Jawatan politik beliau kini ialah pengerusi Parti Pribumi Bersatu
Malaysia (PPBM) dan aktif berkempen bersama parti lain dalam Pakatan
Harapan (PH) untuk berdepan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya
umum ke-14 akan datang.
Antara kecergasan beliau yang terserlah ialah lawatan ke luar negara
memenuhi undangan bagi menyampaikan ucapan. Kalau orang berusia lebih
muda, aktiviti itu dipanggil kegiatan.
Tetapi bagi tokoh yang sudah “nonagerian” atau berusia 90-an, ia patut disebut sebagai kecergasan.
Tidak lama dahulu melalui media sosial, para pemerhati dapat melihat
beliau menyampaikan syarahan di Tokyo, Jepun. Pandangan beliau mengenai
keadaan dunia masih dipinta dan diminta. Dr Mahathir dapat membincangkan
isu semasa dan harapan masa depan. Beliau tidaklah terperangkap dengan
masa lalu.
Beberapa hari selepas Hari Raya Aidilfitri, terjelma gambar Dr
Mahathir melawat Grenfell Tower, rumah pangsa London yang terbakar dan
mengorbankan 80 nyawa tidak lama dulu. Kelihatan beliau berdiri
menghadap bangunan itu dengan beberapa jambangan bunga penghormatan di
depannya.
Persoalan kepada mereka yang melihat gambar itu ialah, apakah yang
dilakukan oleh pengerusi PPBM di Britain itu? Mungkinkah beliau ke sana
untuk satu cuti Hari Raya seperti mana sering yang dilakukan oleh orang
kenamaan dan hartawan negara ini?
Selang beberapa hari kemudian, keluar pula gambar beliau memberi
syarahan di Oxford Centre for Islamic Studies di Universiti Oxford. Maka
dikaitkan betapa kehadiran bekas perdana menteri di Britain adalah
untuk memenuhi undangan pusat itu bagi menyampaikan syarahan.
Pada usia 92 tahun, kegiatan beliau dalam acara ilmiah mengkagumkan
banyak rakyat Malaysia. Dalam usia sebegitu emas, beliau bukan saja
bertenaga untuk terbang dari Kuala Lumpur ke London tetapi juga masih
mempunyai pemikiran jelas mengenai perkembangan semasa, baik dalam
negeri, antarabangsa ataupun masalah ummah.
Tempat pemimpin Malaysia bersyarah
Saya pernah membuat liputan pada satu syarahan Dr Mahathir di
Universiti Oxford lama dulu pada 1985. Ketika itu beliau berusia 60
tahun, belum lagi memberi kesan kepada dunia Islam hingga begitu
dihormati seperti mana pada tahun 1990-an. Oxford Centre for Islamic
Studies ditubuhkan pada tahun itu.
Pada 1993, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memegang jawatan timbalan
perdana menteri turut menyampaikan syarahannya di Universiti Oxford.
Setelah Dr Mahathir melepaskan jawatan perdana menteri, Tun Abdullah
Ahmad Badawi menggantikan beliau pada 2003. Setahun kemudian, BN di
bawah pimpinannya menang besar. PKR kalah teruk dan hanya mampu
mempertahankan kerusi Permatang Pauh di Dewan Rakyat. Itupun dengan undi
yang sedikit. Beliau juga pernah menyampaikan syarahan di pusat Oxford
itu.
Tidak lama selepas itu, Anwar bebas daripada penjara. Pada awalnya
beliau banyak menghabiskan masa di luar negara. Antara destinasinya
ialah Amerika Syarikat, Qatar, Jerman dan Britain. Beliau turut pernah
mengajar di Universiti Oxford.
Menjelang pilihan raya 2008, Anwar pulang dan memimpin kerjasama
pembangkang terdiri daripada PKR, PAS dan DAP. Mereka dapat menang 5
negeri dan menafikan majoriti dua pertiga BN.
Abdullah mengalami tekanan
khususnya daripada Dr Mahathir. Beliau melepaskan jawatan dan Datuk
Seri Najib Razak menggantikan beliau.
Pada 2011, saya membuat liputan lawatan Najib ke Britain, di mana
beliau menyampaikan syarahannya mengenai umat Islam di Universiti
Oxford. Pada lawatan yang sama, beliau turut melawat bangunan pusat
Islam Oxford itu yang sedang dibina. Beberapa negara Islam termasuk
Malaysia turut memberi sumbangan dalam pembinaan bangunan pusat Islam
itu.
Isu calon PM selesai?
Tetapi kehadiran Dr Mahathir di pusat yang kini sudah siap itu adalah
lebih daripada acara penyampaian syarahan. Dunia hanya mengetahuinya
bila beliau diwawancara oleh sebuah akhbar arus perdana Britain, iaitu
The Guardian.
Dalam wawancara itu beliau menyatakan kerajaan baharu selepas pilihan
raya akan datang patut berusaha mendapatkan pengampunan diraja bagi
membolehkan Anwar dibebaskan, menyertai politik, bertanding pilihan raya
dan menjadi perdana menteri.
Beliau berada di Britain bukan sekadar melawat Grenfell Tower dan
menyampaikan syarahan di Oxford. Pokok kehadirannya di Britain adalah
berbincang dengan naib presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.
Dalam wawancara itu, beliau dibayangkan tidak membantah jika Anwar
menjadi perdana menteri sekiranya PH menang pilihan raya umum ke-14.
Malah laporan The Guardian turut membayangkan Dr Mahathir membuat
pembelaan terhadap Anwar.
Maknanya isu siapakah yang menjadi perdana menteri sekiranya PH
menang sudah selesai. Tidak ada pertembungan antara PKR dan PPBM. Anwar
yang akan menjadi perdana menteri.
Dalam hal ini, tiada masalah bagi DAP dan Amanah. PH sudah bersatu.
Pada peringkat ini pula, usaha yang perlu dilakukan oleh PH ialah
memenangi pilihan raya umum.
Namun rasa gembira di kalangan penyokong pembangkang dalam
perkembangan ini hanya seketika apabila Sabtu lalu, laporan media
memetik Dr Mahathir menafikan beliau menyokong Anwar sebagai perdana
menteri.
Katanya, Anwar masih dalam penjara dan tentunya tidak boleh
bertanding dalam pilihan raya. Untuk menjadikan Anwar sebagai perdana
menteri, mesti ada perdana menteri sementara apabila PH menang.
Jadi mana yang betul? Mungkinkah penyokong Anwar di Britain
menjadikan The Guardian membuat laporan sebegitu? Atau akhbar arus
perdana Malaysia berusaha mencari berita supaya laporan The Guardian itu
dapat disanggah?
Orang ramai tidak akan ketahui mekanisme dan kegiatan di balik tabir
dalam percaturan politik negara ini. Dalam laporan The Star misalnya,
buku apa yang dilancarkan oleh Dr Mahathir pun tidak disebut.
Namun jika diteliti, kedua-dua laporan itu tidak bercanggah.
Sememangnya Dr Mahathir tidak menyokong Anwar sebagai perdana menteri.
Beliau hanya tidak membantah. Anwar tidak boleh jadi perdana menteri
kerana beliau dalam penjara, itu fakta jelas, dan usaha untuk
membebaskannya pun bukan mudah. Untuk menang pilihan raya pun sukar.
Masih banyak cabaran
Tetapi bagaimanakah jalan untuk mencapai matlamat itu? Siapakah yang
akan menjadi perdana menteri sementara usaha dilakukan supaya Anwar
dibebaskan?
Tanggungjawab itu terletak pada Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan
Azizah Wan Ismail. Itulah jalan yang akan dilalui oleh Malaysia
sekiranya PH menang. Beliau akan menjadi perdana menteri sementara bagi
pihak Anwar. Setelah Anwar bebas dan proses membenarkan beliau menyertai
politik terus dimulakan hinggalah beliau menjadi pilihan raya.
Bagi DAP dan Amanah, perkara ini tidak menjadi masalah kerana dari
awal lagi penubuhannya, mereka mahu Anwar menjadi perdana menteri. Yang
masalah adalah pada Dr Mahathir dan PPBM.
Setakat ini, kenyataan itu hanya dikeluarkan oleh Dr Mahathir.
Rundingan yang dibuat di London itu antara pengerusi PPBM dan Nurul
Izzah. Secara rasmi ia belum dibincangkan oleh Majlis Kepimpinan atau
Dewan Presiden PH yang terdiri daripada Wan Azizah, Lim Guan Eng,
Mohamad Sabu dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Perjalanan PH masih penuh cabaran. Lebih-lebih lagi PAS enggan
bekerjasama dengan PH dan DAP sendiri menghadapi masalah dengan
Pendaftar Pertubuhan (ROS).
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan