Oleh Muhammed Abdul Khalid
KERAP kali kita mendengar rintihan pekerja di negara
ini mengenai kenaikan gaji yang rendah, dan bagaikan jatuh ditimpa
tangga, kos sara hidup pula makin meningkat. Namun, pada masa yang sama,
kita diberitahu bahawa negara makin bertambah kaya. Pada bulan lepas,
Idris Jala berkata bahawa negara makin menghampiri status negara
berpendapatan tinggi. Yang mana betul dan yang mana silap?
Menurut laporan terbaru Gaji dan Upah 2016 yang
dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia di bawah Unit Perancang Ekonomi,
Jabatan Perdana Menteri, gaji penengah pekerja di Malaysia naik
sebanyak 6.2% tahun lepas berbanding tahun sebelumnya. Ini pertumbuhan
yang baik, tetapi, mengapa pekerja Malaysia masih mengeluh?
Keluhan mereka bukan tidak bertempat. Menurut laporan
yang sama, gaji penengah pekerja Malaysia (tidak termasuk pekerja
asing) hanya meningkat tiga peratus sahaja pada tahun lepas. Ini
bermakna, pertumbuhan gaji warga asing mengatasi pekerja warga tempatan.
Malahan, jika ditolak kadar inflasi, peningkatan gaji
penengah pekerja warganegara Malaysia tidak sampai pun satu peratus.
Dalam erti kata lain, ini bersamaan dengan peningkatan gaji bulanan lebih kurang RM17 sahaja!
Benarlah keluhan mereka yang acapkali kita baca di
media sosial tentang gaji tidak mencukupi untuk menampung kenaikan kos
sara hidup yang begitu membebankan.
Mengapa peningkatan gaji begitu kecil sekali?
Jawapannya mudah, kebanyakkan pekerja di Malaysia
masih bergaji bulanan yang rendah, gaji penengah bulanan pekerja
warganegara Malaysia tahun lepas hanyalah RM2,000 sebulan!
Ya, negara mungkin menghampiri tanda ukur negara
kaya, tetapi ini tidak semestinya bermakna pekerja juga kaya. Nah, jika
gaji tidak pun sampai RM2000 sebulan, dan jika peningkatan hanyalah satu
peratus, sudah tentu kenaikan gaji tidak pun sampai RM20.
Jika dibandingkan gaji mengikut kaum, rata-rata kita
semua bergaji rendah. Walaupun gaji penengah bulanan kaum Cina mengatasi
kaum yang lain, ianya juga masih rendah, hanya RM2,350. Ini bermakna
separuh dari pekerja kaum Cina di negara kita mendapat gaji kurang dari
angka ini. Ini tidak berapa banyak berbeza dengan kaum Bumiputera
(RM1,931) mahupun kaum India (RM1,790).
Malah, majoriti pekerja di setiap negeri di Malaysia
mendapat gaji yang rendah, termasuk di negeri yang maju seperti KL,
Johor, dan Pulau Pinang. Walaupun Kuala Lumpur boleh dikategorikan
sebagai negeri yang sudah mencapai status negara maju yang
hampir setaraf dengan negara Korea Selatan, jika diukur mengikut skala
Bank Dunia, separuh daripada pekerja di Kuala Lumpur hanya mendapat gaji
tidak sampai pun RM3000 sebulan.
Kekayaan negara tidak mengalir ke dompet pekerja yang
masih membawa pulang gaji yang rendah setiap akhir bulan. Hanya di
Putrajaya sahaja gaji penengah melepasi tahap RM3000 sebulan.
Soalnya, mengapa gaji para pekerja dibayar rendah?
Adakah adil kalau kita mengatakan bahawa para pekerja
kita ini malas atau tidak produktif. Sudah tentu tidak. Masakan boleh
bergerak segala mesin dan jentera serta tertulisnya segala laporan yang
diperlukan majikan tanpa adanya pekerja yang mengendali dan menyiapkan
tugasan.
Pekerja kita bukannya tidak produktif.
Data terbaru dari Perbadanan Produktiviti Negara menunjukkan bahawa produktiviti tenaga buruh naik tahun lepas ,
pada kadar 3.5%, lebih tinggi dari tahun sebelumnya iaitu 3.3% pada
tahun 2015 (kita tidak ada maklumat mengenai produktiviti pekerja
tempatan berbanding pekerja asing).
Membayar gaji pekerja yang kecil sebegini tidak ubah
seperti suatu bentuk perhambaan di zaman moden. Pada masa yang sama,
pihak atasan menerima gaji yang lebih lumayan, tidak hairanlah ada
laporan ada laporan menunjukkan bahawa jurang gaji di antara pekerja
bawahan dan pihak atasan di Malaysia adalah yang terlebar di rantau ini.
Situasi makro ini sebenarnya sudah dijangka penganalisis dan tidak memeranjatkan.
Pertumbuhan ekonomi makin menurun, dari enam peratus
pada tahun 2014 ke lima peratus pada tahun 2015, dan terus menurun ke
paras 4.2% pada tahun lepas. Pasaran korporat juga tidak
memberangsangkan. Sejak tahun 2014 dan akhir tahun lepas, pasaran saham
Bursa Malaysia (FBMKLCI) menguncup sebanyak 13%. Prestasi pendapatan
syarikat syarikat yang tersenarai juga banyak yang merudum. Ini memberi
kesan kepada peluang pekerjaan, dan seterusnya pendapatan bagi
pekerja-pekerja.
Impaknya jelas, pasaran buruh terus lemah. Pada tahun
lepas, jumlah mereka yang tidak bekerja bertambah sebanyak 12%
berbanding tahun sebelumnya. Kadar pengangguran juga naik sedikit.
Apabila makin ramai yang menganggur dan di tambah pula dengan keadaan
ekonomi yang tidak begitu memberangsangkan, peningkatan gaji sukar
berlaku.
Bagaimana pula untuk tahun ini?
Bolehkan pekerja mengharapkan kenaikan gaji yang
lebih baik berbanding tahun yang lepas? Hasrat ini juga mungkin sukar
dicapai berdasarkan berapa penunjuk ekonomi.
Pasaran buruh masih lemah, jumlah mereka yang tidak
bekerja masih signifikan, seramai 511,900, dan jatuh hanya sedikit
(0.4%) sepanjang empat bulan pertama tahun ini, walaupun ekonomi
berkembang pada paras yang lebih tinggi pada suku pertama tahun ini.
Yang lebih menyukarkan pekerja mendapat gaji bersih
yang lebih tinggi adalah kadar sara hidup yang makin meningkat. Jika
pada tahun lepas kadar inflasi hanyalah 2.1% sahaja, ianya sudah
mencecah 4.3% secara purata pada suku pertama tahun ini.
Dalam erti kata lain, gaji pekerja haruslah naik
lebih dari tahap ini sekiranya kita mahukan peningkatan gaji yang
positif dan kuasa beli yang lebih tinggi. Jika tidak, usaha untuk
menjana permintaan domestik untuk memacu pertumbuhan ekonomi pasti
terbantut jika gaji pekerja tidak mampu mengatasi kenaikan kos hidup.
Fokus kita haruslah kepada pertumbuhan inklusif seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke Sebelas. Kebajikan dan kesejahteraan pekerja, seperti skim insurans pekerja yang bakal dilaksanakan tahun depan dan sistem upah yang dikaitkan dengan produktiviti, haruslah diberi penekanan dan diteruskan, kerana ini secara langsung akan memacu ekonomi.
Usahlah kita ‘syok sendiri’ ataupun berangan-angan menggenggam status negara yang mungkin menjadi negara berpendapatan tinggi yang langsung tiada ertinya.
Lebih cepat kita insaf dan jujur akan arah dan tujuan yang patut kita ambil, makin cepatlah upaya kita menggubal dasar yang bertepatan dan seterusnya melaksanakannya
0 comments:
Catat Ulasan