OIC tidak lagi diyakini umat Islam

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

 KOTA BHARU: Pertubuhan Negara- negara Islam (OIC) dianggap tidak lagi diyakini umat Islam biar pun ratusan persidangan dianjurkan badan itu.

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob menyifatkan agensi itu seperti halimunan sehingga orang Islam sudah hilang keyakinan.

“Walaupun penubuhan asal agensi itu bagi mengangkat suara umat Islam di seluruh dunia termasuk aspek politik, ekonomi dan sebagainya namun isu membabitkan umat Islam tidak pernah selesai. “Oleh itu Ijtimak Kelantan dianggap sebagai titik permulaan bagi umat Islam di rantau Asia  untuk membentuk kesatuan serta bertindak selari acuan syariat,” katanya pada ucapan perutusan khas sempena perasmian Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Rantau Asia di Dataran Stadium Jumaat lepas.

Ijtimak itu dirasmikan Naib Pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Hadir sama Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Hashim Jasin, Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, Speaker Dun Kelantan, Dato’ Abdullah Ya’kub, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Faudzi Che Mamat, anggota Exco kerajaan negeri dan wakil gerakan Islam dari 27 negara.

Ustaz Ahmad berkata, sepatutnya OIC menjadi agen pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam di negara-negara Islam melalui pertukaran teknologi.

“Contohnya negara kita mempunyai lambakan pakar dalam pelbagai bidang tetapi kurang pakar dalam biokimia,” jelasnya.

Beliau berkata usaha tersebut dilihat mampu meningkatkan keyakinan umat Islam terhadap OIC yang mempunyai peranan begitu besar.

Menurutnya apa yang lebih penting OIC perlu berperanan sebagai orang tengah sebagai pendamai terhadap konflik dicetuskan Amerika dan sekutunya.

“OIC perlu tegas serta telus dengan mengenal pasti siapa kawan dan siapa lawan Islam dan membantu negara Islam membentuk dasar luar yang baik,” katanya.

Katanya juga peranan media yang perlu dijadikan saluran utama bagi menyampaikan mesej Islam kepada masyarakat dunia wajar digunakan oleh badan berkenaan.

Begitu juga media sosial perlu digunakan untuk menunjukkan keburukan Amerika dan sekutunya serta mengangkat suara Islam yang tertindas seluruh dunia. Beliau juga berkata, golongan mustakbirin dan musuh sentiasa berusaha menjatuhkan pemerintah Islam sehingga kini.

Menurutnya, kuasa besar dunia sejak dahulu berjaya mengubah peta dan sempadan negara Islam bagi meneruskan kelangsungan ideologi mereka dalam politik.










Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan