Oleh Prof Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak
REVOLUSI Industri, istilah diperkenalkan ahli sejarah terkenal, Arnold Toynbee (1889-1975), adalah fenomena yang dianggap lazim dalam masyarakat moden.
Apa lagi masyarakat perindustrian yang menjadi contoh kejayaan hari ini. Malah, banyak negara ingin jadi masyarakat perindustrian, termasuk Malaysia dengan merangka strategi tertentu seperti Wawasan 2020 dan sebagainya.
Dalam Wawasan 2020, ini disebut dengan jelas sebagai Cabaran Ke-6 berbunyi: "Mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, masyarakat yang mempunyai daya perubahan tinggi dan berpandangan ke depan, yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi juga penyumbang kepada tamadun sains dan teknologi masa depan."
Dengan kata lain, tanpa perkembangan teknologi, agak sukar hendak menggerakkan satu bentuk revolusi industri.
Ambil contoh Revolusi Industri Pertama (1760-1830). Ia bergantung lebih kepada kegunaan air atau wap yang kesudahannya berupaya menggerakkan jentera berasaskan kuasa wap untuk kerja yang tidak terdaya oleh kudrat manusia. Maka terciptalah enjin wap yang turut bawa perubahan besar kepada sistem pengangkutan selain jentera lain yang berupaya pula meningkatkan aktiviti perindustrian.
Beberapa dekad kemudian, ini diikuti dengan perkembangan teknologi seterusnya yang membabitkan kuasa elektrik, lantas mencetuskan Revolusi Industri Kedua sekitar 1870-1914. Kuasa elektrik jelas membawa satu lagi lonjakan status hidup masyarakat melalui pengilangan besar-besaran seperti dialami kini walaupun masih ramai penduduk tidak menikmatinya.
Ekoran itu, Revolusi Industri Ketiga pula menyusul berasaskan teknologi maklumat dan komputer sebagai tonggaknya.
Teknologi automasi
Pada peringkat akhir revolusi ketiga timbul pula teknologi automasi, yakni satu keupayaan teknologi yang tidak perlu babitkan manusia. Mesin dan jentera boleh bergerak serta bekerja dengan sendiri apabila ia dimuatkan dengan program komputer tertentu bagi melakukan sesuatu aktiviti terancang.
Konsep pengilangan lambakan diperkenalkan melalui cara ini pada pertengahan abad ke-20. Ia membawa satu lagi laba amat besar kerana bukan sahaja tenaga manusia tidak diperlukan, bahkan terus dapat hasilan lebih tinggi lagi cekap. Walaupun ini membawa beberapa permasalahan baharu dari segi pekerjaan dan keadilan sosial apabila beberapa jenis pekerjaan dinyahkan komputer berautomasi, isu ini sering dianggap tidak sepenting.
Terbaru kita sibuk pula dengan Revolusi Industri Keempat. Seperti yang lalu; ia adalah kesinambungan versi ketiga dalam peningkatan automasi berserta rangkaian internet dan proses fizikal lain. Hatta muncul pula satu sistem berbentuk siber-fizikal. Melalui sistem ini, kegunaan robot terus meningkat selaras perkembangan kecerdasan buatan (AI) dan kesepaduan Internet Pelbagai Benda (IPB: Internet of all Things), yang merangka pelbagai peranti, perisian dan peralatan.
Maka menyinsinglah Era Kecerdasan Berkait (Connected Intelligence Era), satu titik masa yang meramalkan pertembungan antara alam manusia dengan dunia robot dalam lonjakan industri seterusnya pada abad ke-21. Era seumpama ini dikatakan terjadi sekali dalam lingkungan satu generasi yang belum lagi ditempuhi. Di sinilah letaknya cabaran industri 4.0, satu kenyataan awal yang diperkenalkan di Jerman sebagai 'industri 4.0'. Dalam hal ini, pengalaman 1760 dikatakan akan berulang apabila beberapa cara dan urusan hidup dipugar semula.
Jika dahulunya wadah pertanian berubah kepada industri, kini wadah automasi pula kepada Internet Pelbagai Benda; yang keduanya menyaksikan penyertaan manusia terus mengecil, jika tidak pun semakin pupus pada kali ini. Semuanya bergantung kepada kefahaman kita mengenai Revolusi Industri 4.0 serta bagaimana ia ditangani; sama ada jurang dan perbezaan lampau terus melebar atau boleh dirapatkan, kalaupun tidak dihapuskan.
Sama ada atau tidak satu ekosistem baharu yang lebih adil dan saksama berpaksikan kesejahteraan dapat dibina, sesuai dengan aspirasi dunia baharu yang lebih adil. Apa yang kurang pasti adalah kemungkinan satu ekosistem lain pula yang terbina. Malah berupaya mengubah bukan sahaja cara hidup, masyarakat, nilai dan norma, tetapi persepsi mengenai 'manusia' itu sendiri. Yakni mencabar kesemulajadiannya.
Perbezaan aspek semula jadi manusia dan yang tiruan menjadi bertambah sukar untuk dikesan. Ini dibayangkan oleh istilah 'transhumanisme' berdasarkan teknologi 'transhumanist' sebagai penggeraknya. Rata-rata ini menggambarkan betapa alam manusia mula dirangkumkan bersama dunia robot serta AI dan bioteknologi ekoran ciri serta sifat kemanusiaan itu sendiri dapat dibongkar dan ditiru melalui olahan teknologi hari muka yang lebih mudah menyelinap ke dalam tubuh badan manusia itu sendiri.
Pendek kata, manusia dan kemanusiaan akan tergugat apabila manusia ternyah dengan kebangkitan konsep transhumanisme. Semua ini menjurus kepada kecenderungan manusia bertindak sebagai mesin atau lebih tepat lagi berfungsi seakan-akan peralatan tidak bernyawa bercirikan kepantasan, kecekapan, kecerdasan, tanpa-henti dan sebagainya.
Soal kemanusiaan - keprihatinan, keadilan, kesejagatan, kemesraan, kesejahteraan - ditolak sebelah kerana ia tidak wujud dalam dunia kebendaan, sebuah dunia tanpa 'roh' atau 'hati nurani'. Kita masih alami kemelut itu akibat Revolusi Industri Ketiga apabila manusia tanpa 'roh' bermaharajalela meruntuhkan alam sekitar sesuka hatinya.
Apakah bentuk kerosakan yang akan dibawa oleh Revolusi Keempat menjadi tanda-tanya sekiranya manusia tidak berusaha mengembalikan 'roh' dan 'hati nurani' mereka. Kekhuatiran ini memuncak jika bukan sahaja manusia gagal menginsankan teknologi, sebaliknya mereka pula di'tukar'kan menjadi seolah-olah jentera berautomasi.
Penulis: Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia, Felo Akademi Sains Malaysia dan Felo Akademi Sains dan Sastera Sedunia
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan