PETALING JAYA: Seorang pemimpin Amanah hari ini meluahkan rasa tidak
yakin pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang
mencetuskan kekacauan semalam di sebuah forum anjuran PPBM di Shah Alam,
dan mempersoalkan sikap perdana menteri yang tidak mengutuk serangan
disasarkan ke atas Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Sikap berdiam diri dan tidak mengecam tindakan dalam kes keganasan
ke atas Tun Mahathir seolah olah merestuinya seperti Donald Trump tidak
mengecam keganasan di insiden perhimpunan anti perkauman di Amerika
semalam di mana seorang terbunuh,” kata Ahli Parlimen Kuala Terengganu,
Datuk Raja Bahrin Shah.
Katanya, sikap “berdiam diri” Datuk Seri Najib Razak sama seperti
pendirian samar Trump susulan tindakan puak haluan kanan berkulit putih
di Virginia, Amerika Syarikat yang menyerang sekumpulan penunjuk
perasaan aman.
Semalam, kekecohan tercetus di forum “Nothing to Hide” anjuran Pemuda
PPBM. Ia selepas beberapa objek dilontarkan ke pentas di mana Dr
Mahathir berucap, sebelum keadaan bertukar kelam kabut dengan puluhan
pemuda terlibat dalam aksi tumbuk menumbuk dan membaling kerusi.
Penganjur turut menahan 3 remaja berusia antara 17 dan 19 tahun sebelum mereka diserahkan kepada polis untuk disiasat.
Raja Bahrin berkata beliau tidak yakin dengan siasatan polis kerana
serangan sebelum ini terhadap rajan sejawatnya dari Shah Alam, Khalid
Samad diambil ringan, malah pesalah hanya dijatuhkan denda RM100.
“Begitu murahnya nilai keselamatan nyawa seorang wakil rakyat pembangkang.
“Soalan utama sekarang adalah berapa ratus ringgit pula nilai ancaman
keselamatan nyawa ke atas seorang lagi ahli pembangkang bernama
Mahathir Mohamad walaupun beliau seorang bekas perdana menteri Malaysia.
Mengikut sejarah silam, keselamatan ahli pembangkang hampir tiada
nilainya kepada pihak berkuasa,” kata Raja Bahrin.
November lalu, sekumpulan pemuda menyerang Khalid di luar bangunan
Parlimen selepas pemimpin Amanah itu terlibat dalam perang mulut bersama
wakil rakyat Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman di Dewan Rakyat.
Antara kumpulan penyerang itu termasuk 2 anak Tajuddin, Faizal dan
Firdaus Tajuddin.
Raja Bahrin berkata berdasarkan pengalamannya, pihak berkuasa mengambil sikap “tidak acuh” terhadap keganasan seperti itu.
“Kami pernah juga membuat aduan tentang àncaman pihak tertentu dengan
ungkapan halal darah, wajib dihapuskan dan berbagai lagi dakwaan
takfiri,” katanya, dipercayai merujuk kenyataan seorang mufti negeri
yang mengundang reaksi keras dari pembangkang.
“Kenapa kerajaan terus membisu atas isu-isu ini seolah-olah merestui perbuatan tersebut?” soalnya.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan