Saya dihubungi berkali-kali oleh rakan-rakan media pada Hari Raya Aidiladha mengenai satu laporan yang disiarkan Sinchew Daily
kononnya saya diberi amaran keras oleh Biro Politik kerana memburukkan
nama baik parti dan akan dipecat dari PKR jika terus bersuara.
Berita itu ditulis berdasarkan satu sumber dari Biro Politik yang tidak dinamakan.
Saya ingin mengesahkan bahawa tidak ada sebarang keputusan Biro Politik yang begitu.
Saya tidak diberi sebarang amaran oleh sesiapa dan tiada sebarang
keputusan mengenai tindakan tatatertib dibuat oleh Biro Politik. Sudah
tentu berita yang saya boleh dipecat juga direka-reka.
Semua ini telah disahkan oleh Setiausaha Agung, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.
Saya tidak terkejut dengan perkara ini kerana ia pernah berlaku
beberapa kali sebelum ini setiap kali ada perbezaan pendapat yang ketara
di dalam kepimpinan.
Ada beberapa orang pimpinan PKR yang gemar memberikan gambaran yang
salah kepada pihak media dengan berselindung di sebalik nama “sumber
dalaman parti” untuk memastikan pandangan mereka diambil sebagai
pandangan umum, walaupun itu bertentangan dengan perbincangan atau
keputusan sebenar Biro Politik atau Majlis Pimpinan Pusat (MPP).
Ini pernah berlaku semasa pelantikan menteri besar Selangor
menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim, apabila berita-berita yang tidak
sahih terus dibekalkan kepada pengamal media yang jelas memusuhi PKR.
Walaupun
mesyuarat Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat dengan secara jelas
memutuskan hanya satu calon untuk jawatan menteri besar iaitu Datuk Seri
Dr Wan Azizah Wan Ismail, ada sahaja berita-berita dari sumber tidak
rasmi kononnya ada keputusan yang berbeza.
Perkara yang sama berlaku menjelang Pilihanraya Negeri Sarawak.
Sedang Biro Politik berkali-kali memutuskan untuk mempertahankan
perjanjian pembahagian kerusi yang telah dipersetujui di peringkat
Majlis Presiden Pakatan Harapan, ada segelintir ahli Biro Politik yang
menghantar mesej yang berlainan kepada pimpinan PKR di Sarawak, yang
akhirnya sampai kembali kepada saya sebagai setiausaha agung apabila
mereka (pimpinan akar umbi) mahu mengesahkan berita itu.
Tidak berdisiplin
Selagi dua atau tiga orang ahli Biro Politik ini tidak berdisiplin
dan memberikan maklumat yang salah kepada pihak media dan anggota parti,
keadaan akan terus bercelaru.
Oleh
sebab itulah saya mengambil keputusan (sejurus selepas Pilihan Raya
Negeri Sarawak dan PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar) bahawa masa dan
tenaga saya lebih dimanfaatkan bergelumang dengan kempen PKR dan Pakatan
Harapan di kerusi-kerusi marginal berbanding cuba membetulkan maklumat
yang salah yang disebarkan secara berterusan oleh dua atau tiga orang
ahli Biro Politik ini.
Sebelum ini, saya mengambil keputusan untuk berdiam diri agar perkara
ini tidak sampai ke pihak media tatkala pimpinan-pimpinan yang sama
sedang mengusahakan perbincangan dengan PAS.
Untuk tidak terus bertembung akibat maklumat yang salah disebarkan,
saya mengambil keputusan lebih baik tidak turut serta di dalam mesyuarat
Biro Politik untuk mengurangkan kebarangkalian saya terpaksa
membetulkan versi keputusan Biro Politik yang kerapnya diberikan
tafsiran berbeza.
Kini, kita sudah terlalu dekat dengan Pilihanraya Umum ke-14 dan
sewajarnya kita memberi fokus kepada persediaan PRU14 (bukannya
berita-berita dalaman sebegini).
Saya
mengalu-alukan kenyataan Datuk Seri Azmin Ali untuk patuh kepada
keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan dan saya yakin sebagai
Pengarah Pilihanraya Pakan Harapan, beliau ada ruang besar untuk
menyumbang memperkasakan persediaan Pakatan Harapan menghadapi BN,
walaupun jika berlaku pertembungan tiga penjuru.
Saya juga menyeru keseluruhan pimpinan PKR dari yang tertinggi di
Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat, sehinggalah kepada pimpinan akar
umbi untuk memberi tumpuan kepada persediaan PRU-14 dan tidak melayan
berita politik yang tidak membantu mengalahkan Umno/BN.
Jaga kawasan masing-masing
Saya akan terus turun ke kerusi-kerusi marginal di seluruh negara.
Dalam bulan Julai dan Ogos, saya telah berkempen sebanyak 61 kali
(ceramah dan acara kempen lain) di 46 kerusi marginal di peringkat
Parlimen dan DUN di seluruh negara iaitu sekitar tujuh atau lapan kerusi
DUN/Parlimen setiap minggu tanpa henti.
Jumlah
tontonan terkumpul semua ceramah-ceramah ini di Facebook dan Youtube
telah mencecah 1.1 juta tontonan sepanjang dua bulan ini.
Saya yakin tanggungjawab berjumpa pengundi di bawah dan menyampaikan
maklumat sebegini adalah lebih penting dari melayan berita-berita tidak
sah yang direka oleh sumber-sumber yang tidak berani menerbitkan nama
mereka sendiri.
Maka, saya beranggapan perbezaan pendapat mengenai rundingan kerusi
dengan PAS telah tamat dengan keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan
yang dipersetujui oleh Biro Politik PKR dan dihormati oleh Azmin sendiri
dalam kenyataannya dua hari lalu kepada pihak media.
Oleh itu, ini masa untuk menjaga kawasan masing-masing dan menumpukan
perhatian kepada kempen akar umbi untuk menghadapi PRU-14 yang boleh
dipanggil bila-bila masa dari sekarang.
RAFIZI RAMLI anggota parlimen Pandan merangkap naib presiden PKR.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan