Oleh HAYAR HASSAN
Dalam sistem demokrasi, di mana-mana dunia pun ,matlamat utama
parti-parti politik yang menyertai sebarang pilihanraya umum adalah untuk menang
dan membentuk Kerajaan berdasarkan kepada polisi-polisi sesebuah parti atau
gabungan beberapa buah parti yang membentuk sebuah pakatan.
Begitulah juga di
Malaysia, negara tercinta ini. Kalau sekadar hanya untuk menang beberapa buah
kerusi dan menjadi pembangkang dan membuat riuh rendah di Parlimen atau Dewan
Undangan Negeri(DUN), itu adalah cara berpolitik yang sudah ketinggalan
zaman.
Di Pulau Pinang, Kerajaan Perikatan/BN telah menerajui pemerintahan
Kerajaan Negeri selama 51 tahun, ia itu semenjak merdeka hinggalah ke tahun
2008. Tempoh tersebut adalah terlalu panjang. Semestinya rakyat negeri Pulau
Pinang telah terlalu arif dan faham akan gaya dan cara pemerintahan
Perikatan/BN. Kejayaan dan kelemahan Kerajaan Perikatan/BN sudah diketahui
umum.
Selepas PRU ke 12, pada tahun 2008, Pakatan Rakyat(PR) telah berjaya
membentuk Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan memenangi 30 kerusi DUN daripada
jumlah 40 kerusi DUN, suatu kemenangan yang amat selesa bagi Kerajaan PR untuk
terus memerintah tanpa bimbang ditumbangkan seperti Kerajaan Negeri Perak Darul
Ridzuan.
UMNO/BN cuma memenangi 10 kerusi DUN. Pada PRU ke 13 pula, UMNO/BN
telah kehilangan 1 lagi kerusi DUN Seberang Jaya kepada PR. Kali ini PKR telah
memenanginya setelah meletakkan Dr Afif Bahardin yang kemudiannya dilantik
sebagai Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan
Kesihatan. Seandainya PAS tidak meletakkan calonnya di DUN Sungai Acheh,
UMNO/BN hanya akan menang 9 kerusi DUN sahaja. Sekarang ADUN-ADUN UMNO adalah
berperanan sebagai pembangkang yang rancak membuat riuh rendah di dalam dan
luar Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.
Persoalannya, adakah wajar dan tepat pengundi-pengundi Melayu /Islam
Pulau Pinang memberikan undi-undi mereka kepada ADUN-ADUN UMNO hanya untuk membuat
bising di dalam dan di luar Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang?
Bagi saya, ini adalah suatu pembaziran undi dan kesilapan besar
pengundi-pengundi Melayu /Islam Pulau Pinang. Sepatutnya ADUN-ADUN Melayu/Islam
turut terlibat secara aktif dan berkesan dalam membangunkan dan memajukan
masyarakat Melayu/Islam Pulau Pinang. Kalau sekadar untuk menjadi pembangkang,
orang-orang sekarang kata, “ Buat habis
beras saja, buat kerja-kerja Lebai Malang”.
Pada waktu ini hanya terdapat tiga orang Exco Melayu/ Islam dalam
barisan Exco-Exco Kerajaan PH Pulau Pinang. Ini adalah wajar kerana cuma
terdapat enam orang ADUN Melayu/Islam dalam Kerajaan PR Pulau Pinang.
Seandainya ADUN-ADUN Melayu/Islam PH bertambah menjadi 16 ,tentulah bilangan
Exco-Exco Melayu/Islam akan bertambah. Sekurang-kurangnya Exco-Exco
Melayu/Islam boleh menjadi 5 orang. Itu lah sifir mudahnya.
Sebenarnya Ketua Menteri Kerajaan Negeri Pulau Pinang sekarang ini,
YAB Tuan Lim Guan Eng adalah seorang yang terbuka dan adil. Beliau ternyata
tidak mengamalkan budaya kerja yang mendahulukan partinya dan ahli-ahli DAP,
walau pun beliau boleh sahaja melaksanakannya kerana DAP mempunyai 19 ADUN
dalam DUN Pulau Pinang.
Sebagai Ketua Menteri Kerajaan Negeri Pulau Pinang, YAB Tuan Lim
Guan Eng boleh sahaja membuat lantikan-lantikan beberapa jawatan penting dalam
badan-badan penting Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan orang-orang
kepercayaannya, tetapi beliau tidak melakukannya demi menjaga kepercayaan dan
sentimen orang-orang Melayu. Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang
{Penang Development Corporation}(PDC), Datuk
Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang(MBPP) (Georgetown
Mayor), Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai(MPSP) dan
Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang(PBAPP) adalah masih disandang oleh orang
Melayu/Islam.
Seandainya YAB Tuan Lim Guan Eng, seorang yang mengutamakan kaumnya,
beliau boleh sahaja melantik ahli-ahli DAP berbangsa Cina menerajui empat
jawatan utama itu kerana hak untuk membuat perlantikan jawatan-jawatan tersebut
adalah berada pada Ketua Menteri. Namun demikian, beliau memilih untuk tidak
merosakkan kepercayaan pengundi-pengundi Melayu /Islam. Dato’ AR Rosli Jaafar,
seorang arkitek bertauliah masih kekal menjadi Pengurus Besar PDC.
Baru-baru ini, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Dato’ AR
Patahiyah Ismail telah bersara wajib. Penggantinya adalah Dato’ Maimunah Mohd
Sharif masih seorang Melayu/ Islam. Sebelum itu Dato’ Maimunah Mohd Sharif
adalah Yang di-Pertua MPSP. Tempat Dato’ Maimunah Mohd Sharif itu pula telah
ambilalih oleh Dato’ SR Rozali Mohamud, masih seorang Melayu/ Islam.
Dato’ Ir Jaseni Bin Maidinsa pula dilantik menjadi Ketua Pegawai
Eksekutif@CEO Perbadanan Pekalan Air Pulau Pinang(PBAPP).
Jelasnya tuduhan bahawa Kerajaan PH Pulau Pinang menyekat
pegawai-pegawai Melayu Islam yang berkaliber, profesional dan berintegriti
menjawat jawatan-jawatan penting dalam Kerajaan Negeri Pulau Pinang adalah
tidak berasas sama sekali. Tuduhan-tuduhan tersebut adalah fitnah semata.
Seperkara lagi yang ingin saya ulas adalah berkaitan dengan isu pengambilan
tanah bermilik di Pulau Pinang. Kerajaan Negeri Pulau Pinang seperti Kerajaan
Negeri lain berkuasa untuk membuat pengambilan tanah milik rakyat untuk
kegunaan atau kepentingan awam. Seingat saya, kali terakhir Kerajaan Negeri
Pulau Pinang melaksanakan proses pengambilan tanah milik rakyat adalah
pengambilan tanah untuk pembangunan Bandar Baru PERDA, Bukit Mertajam, Bandar Baru Cassia, Batu Kawan dan Taman Ilmu
Nibong Tebal, Seberang perai Selatan. Semua pengambilan tanah milik rakyat itu
dibuat semasa BN menerajui Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Sebaliknya, Kerajaan PH Negeri Pulau Pinang telah berusaha dalam
bidang kuasa mereka yang ada untuk membantu penduduk-penduduk dua kampong
tradisional, Kampong Tok Subuh dan Kampong Melayu Tanjung Bungah diusir keluar
dari rumah mereka oleh pemilik tanah dua kampong tradisional berkenaan.
Berdasar kepada dua sebab utama di atas, adalah wajar dan tepat bagi
pengundi-pengundi Melayu/Islam memberikan undi mereka dalam PRU ke 14 nanti
kepada calon-calon PH agar masa depan masyarakat Melayu Islam akan lebih
terbela kerana kita bakal mempunyai wakil yang lebih dalam Kerajaan Negeri
Pulau Pinang . Zaman berpolitik sekadar untuk membangkang dan menaikkan
sentimen perkauman sudah tidak sesuai lagi dengan peredaran masa. Semoga
pengundi-pengundi Melayu Islam Pulau Pinang akan lebih bijaksana dalam PRU ke
14 nanti. Nasib orang-orang Melayu Islam akan lebih terbela lagi seandainya
kita memmpunyai lebih ramai ADUN Melayu/Islam dalam Kerajaan Negeri.
Usah lah mempercayai kepercayaan karut bahawa hanya UMNO/BN sahaja
yang mampu membela Agama Islam dan orang Melayu di Pulau Pinang. Marilah kita
gunakan akal yang sihat dan rasional dalam membuat pertimbangan. Usah didengar
suara-suara sumbang penoh emosi yang hanya ibarat guruh di langit sebelum
hujan. Sebenarnya titisan hujan dari langit itulah yang akan menyuburkan
pepohonan dan bunga. Sebenarnya guruh di langit itu hanya gah pada bunyinya
sahaja.
0 comments:
Catat Ulasan