Oleh Arif Atan
Berlalu sudah seminggu tragedi kebakaran ngeri melayangkan 23 nyawa
di pusat tahfiz di Kampung Datuk Keramat, yang hanya 8.6km dari KLCC.
“Tak nak fikir panjang benda sudah jadi” yang diucap pengetua pusat
tahfiz itu, rupa-rupanya itulah rumusan sikap sebahagian masyarakat
Melayu.
Melayu marah sungguh apabila isu kebertanggungjawaban pengetua yang sentiasa tampil berjubah dan berkopiah itu dipersoal.
Dituduhnya, orang yang sekaum dan seagamanya sebagai “memanjangkan cerita” sehingga melarat kepada “sudah tidak percaya takdir”.
Walaupun pengetua itu menayangkan pusat tahfiz yang didakwanya
diubahsuai sebanyak RM750,000 sampai 2 halaman penuh di akhbar Harian
Metro pada 19 September lalu, tetapi tidak ramai terfikir satu perkara:
Mengapa di asrama yang diinap lebih 30 kanak-kanak di bangunan yang
dikatakan “sementara” itu tidak dilengkapi ciri-ciri keselamatan
sewajarnya?
Bahkan, sejurus didedahkan bahawa lokasi nahas itu adalah asrama
“sementara”, padam sudah sebahagian suara yang mempertikai sikap sambil
lewa dalam aspek keselamatan.
Padahal, hatta satu hari “sementara” pun, isu keselamatan berkait
dengan kebakaran tidak harus dikompromi kerana menyebabkan soal nyawa.
Begitu juga apabila tular di media sosial gambar berserta butiran 7
suspek remaja yang membakar asrama di tingkat 3 bangunan di Jalan
Keramat Ujung tersebut.
Padam lagi suara yang mulanya marah tidak dapat menerima puluhan
murid ditempatkan di ruang padat dengan hanya satu pintu keluar.
Ikutkan logik, apabila didedahkan modus operandi dari mengusung 2
tong gas sehingga ke tingkat 3 tanpa disedari itu sebenarnya boleh
dibaca sebagai begitu longgar tahap keselamatan pusat tahfiz itu.
Situasi mangsa yang rentung akibat terperangkap sudah padam daripada
ingatan sebahagian orang Melayu apabila mereka menjadi jurucakap pula
kepada pusat tahfiz itu.
Tidak memiliki sijil kelayakan menduduki bangunan bahkan mengubah
suai tidak mengikut pelan asal yang diserah kepada bomba bukan lagi
kesalahan pengurusan pusat tahfiz itu.
Masyarakat terus mencurah memberi wang atas nama sumbangan pada
ketika pemilik pusat tahfiz boleh didakwa mengikut Seksyen 304A Kanun
Keseksaan menyebabkan kematian secara cuai.
Reaksi orang Melayu termasuk keluarga mangsa lebih kepada bermain seputar emosi semata-mata.
Sikap orang Melayu yang dapat dilihat jalur fikirnya di media sosial
hanya mengitar semula pandangan apa yang sudah terjadi sebagai takdir
seolah-olah pihak yang menuntut supaya pengetua itu didakwa pun menerima
takdir.
Hanya takdir yang berlaku turut diiringi dengan usaha menegakkan
keadilan kepada mangsa termasuk yang cedera. Begitu juga halnya dengan 2
pelajar yang masih terlantar di ICU Hospital Kuala Lumpur.
Kalau 21 nyawa pelajar yang pergi itu “difatwakan” awal-awal
pengetuanya sebagai mati syahid, bagaimana dengan 2 murid yang sedang
bertarung nyawa dengan alat bantuan pernafasan?
Dua warden yang turut diragut nyawanya, apa pula jaminan pengelola pusat tahfiz sebagai penghuni syurga?
Hal berkaitan takdir Allah tiada siapa pun bagi penganut Islam
persoal. Apa yang dibangkitkan adalah padamnya nilai akauntabiliti
pentadbir pusat tahfiz itu sendiri dalam hal berhubung nyawa pelajarnya.
Api marak menjelang Subuh pada 14 September lalu nampaknya masih
belum cukup mencelikkan akal sebahagian Melayu untuk keluar dari zon
selesa dengan menganggap individu yang mengendalikan pusat tahfiz
sebagai maksum.
Institusi dan budaya tahfiz itu amat baik tetapi yang padam daripada
ufuk fikir masyarakat Melayu adalah nilai tanggungjawab pentadbir pusat
pengajian Islam tersebut.
Lebih-lebih lagi pusat tahfiz persendirian dan swasta yang buat masa
ini percambahannya tidak dapat dikawal secara berkesan bukan sahaja dari
segi keselamatan bahkan pengajaran.
Keramat akal Melayu padam apabila seolah-olah menghidap alergik untuk
menegur isu akauntabiliti pihak yang berkaitan dengan institusi agama
akan pulih.
Adakah mereka walaupun gagal menjiwai prinsip menjaga nyawa yang
menjadi elemen penting maqasid syariah terlalu sakral untuk ditegur?
Reaksi netizen yang emosional dan berterusan mendesak supaya “usah
panjangkan cerita” dengan motif memihak kepada pentadbir pusat tahfiz
yang culas memastikan premisnya memiliki ciri keselamatan barangkali
lupa pesanan Hamka:
“Bukanlah menuhankan seorang manusia, mensucikan dan yang lain
bersedia menjadi hambanya, dan menurut apa yang diaturnya, dan beliau
tidak boleh disalahkan, dan dipandang tidak pernah bersalah!”
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan