Oleh NURUL IZZAH ANWAR
Pelbagai laporan dapat dibaca pada minggu ini, khususnya berhubung perbincangan dalaman dan perkembangan terkini PKR.
Saya sudah tentu amat menghargai semangat demokrasi yang utuh dan perdebatan sihat yang berlangsung dalam parti.
Ia memperingatkan saya tentang tujuan asal saya menyertai sebuah
parti yang komited kepada agenda reformasi demi menegakkan pentadbiran
berteraskan keadilan sejak 1999.
Saya turut berterima kasih kepada pihak yang memberi nasihat tentang kepentingan berpegang pada prinsip asal parti.
Saya mempunyai keyakinan yang teguh dengan kemampuan kepimpinan PKR
dalam berpaut pada tanggungjawab demi menggembleng tenaga untuk
kesejahteraan masyarakat Malaysia - kerana kita hanya relevan selagi
mengangkat isu dan nadi rakyat.
Tatkala kita semakin menghampiri pilihan raya umum, masih banyak
perkara yang samar-samar. Sebagai Pengarah Pilihan Raya Bersama PKR,
boleh saya katakan di sini bahawa sejumlah besar model pertarungan
menghadapi BN mampu terjadi sudah diteliti dengan rapi.
Oleh itu, kita perlu bersikap terbuka dan mengetepikan sebarang
sentimen perasaan dalam menilai data yang ada untuk mencapai kata akhir.
Misi PKR jadi panduan
Tetapi sekali lagi saya ingatkan, ia tidak seharusnya bertentangan
dengan prinsip yang dibawa PKR mahupun Pakatan Harapan (HARAPAN).
PKR juga sedang menambah baik dan menyebarkan perisian pilihan raya
kami, SPERA (yang dibangunkan dengan kerjasama Institut Darul Ehsan)
agar rakyat Malaysia diberi peluang memelihara undi mereka, dan kekal
bekerjasama dengan INVOKE untuk melibatkan kepakaran mereka dalam
persediaan menghadapi cabaran Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Jelas, pada saat mencabar ini, saya mendesak penglibatan penuh
pimpinan Biro Politik - dengan memanfaatkan proses dan platform sedia
ada demi mengutarakan dan menyelesaikan pelbagai isu.
Di samping itu, semua pemimpin perlu menghormati kata sepakat yang
dicapai sekiranya ahli parti mahukan kongres parti diadakan - jikalau
syarat-syarat yang ditetapkan dapat dipenuhi.
Walau bagaimanapun, kita harus menumpukan fokus dan keutamaan
memenangi pilihan raya umum yang kian menghampiri, demi menegakkan hak
rakyat Malaysia serta menjanjikan masa depan yang lebih bersih dan
gemilang buat negara.
Perlu
diingat, Majlis Presiden HARAPAN memuktamadkan panduan prinsip dalam
memacu rundingan parti-parti terlibat menjelang PRU14.
Juga, pada bulan Zulhijjah yang mulia ini, saya menggesa semua
penentang ketidakadilan dan rasuah untuk mempertahankan kesatuan dan
mengelakkan unsur yang boleh membawa kepada perpecahan, dengan memaafkan
insan sekeliling dan mengotakan janji serta tindakan untuk mengutamakan
rakyat.
Segala apa yang dilakukan harus berpandukan misi PKR dan HARAPAN yang ingin memperlihatkan kemakmuran kepada rakyat Malaysia.
Berkenaan topik merayu sokongan yang tersebar baru-baru ini, ingin
saya katakan di sini: bagi sesiapa yang bencikan pencurian harta
daripada golongan yang kurang berkemampuan, kepada mana-mana pihak yang
bersimpati terhadap rampasan hak daripada yang tidak mampu bersuara,
saya merayu kepada anda, berdirilah bersama kami demi menegakkan
keadilan dan seterusnya, menumbangkan kerajaan kleptokrat BN dalam
PRU14.
Pastinya, pucuk pimpinan semua parti perlu memainkan peranan dalam
memacu agenda reformasi dan keadilan bagi seluruh rakyat Malaysia.
Sekiranya ada sebahagian pemimpin yang terpengaruh dengan pujukan
golongan pemerintah, saya berharap agar ahli berhaluan kanan bagi semua
parti dapat mengambil tindakan yang sewajarnya demi mempertahankan
kesejahteraan dan kemuliaan negara - melalui konsep keadilan, hikmah dan
ihsan yang ditekankan oleh Islam.
Saya dapat merasakan rakyat Malaysia tahu (jauh di hati mereka), ini bukanlah realiti di bawah kepimpinan BN pada masa kini.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan