Oleh Diyana Ibrahim
WALAUPUN sudah lebih 18 bulan sejak bekas menteri besar Kedah Mukhriz
Mahathir dipaksa meletakkan jawatan, MB baharu yang menerajui negeri
itu pada masa ini masih berdepan masalah untuk memenangi hati pengundi
muda.
Dan selain Mukhriz, MB daripada Barisan Nasional (BN), Ahmad Bashah
Md Hanapiah terpaksa berdepan dengan bekas perdana menteri Dr Mahathir
Mohamad yang juga anak jati Kedah dan kini mengetuai Bersatu dan
gabungan pembangkang, Pakatan Harapan (PH).
Tidak cukup dengan faktor penolakan itu, Umno juga tidak boleh
bergantung harap kepada perpecahan undi pembangkang jika berlaku
pertandingan tiga penjuru – antara BN, PH dan PAS kerana penyokong parti
Islam itu cenderung mengundi Amanah dan Bersatu, dua parti yang
membentuk PH bersama PKR dan DAP.
mengeluh kerana Umno Kedah kini
ketandusan pemimpin yang berwibawa dan boleh mereka percaya.
"Siapa pemimpin BN dan Umno yang boleh diharapkan," kata seorang anak muda yang hanya mahu dikenali sebagai Bob.
Beliau menyebut beberapa nama pemimpin Umno negeri dan menceritakan
satu demi satu dakwaan salah laku dan skandal serta gaya hidup yang
mencolok mata dan jadi buah mulut orang di Kedah.
“Pemimpin begini yang kita nak pilih sedangkan rakyat hidup susah.
"BN kalau letak calon apa sekali pun tidak akan dapat memenangi hati
rakyat di Kedah lagi. Memang sekarang sangat jelas dan nampak
pemberontakan dalaman ini," katanya yang ditemui di sebuah gerai di
Kampung Langgar, Bedong, Kedah, baru-baru ini.
Protes senyap
Bob, 30, yang membuka perniagaan komputer, berkata protes dalaman
senyap-senyap terhadap Umno ini bermula sejak Mukhriz tersingkir
daripada jawatan menteri besar pada Februari 2016.
Katanya, rasa tidak puas hati itu semakin memuncak dari hari ke hari
selepas rakyat melihat perbezaan antara Mukhriz dengan penggantinya,
Ahmad Bashah.
"Kita boleh tengok jurang yang ditinggalkan Mukhriz semasa beliau
jadi menteri besar dan kemudian diganti Ahmad Bashah, terlalu besar.
"Tengok pembangunan di Kedah. Masa Mukhriz dulu walaupun cuma pegang
jawatan sekejap tapi pelbagai program dan pembangunan dilakukan. Beliau
sangat pandang ke depan," katanya memberikan contoh projek tebatan
banjir semasa pentadbiran Mukhriz.
"Tapi ketika Ahmad Bashah, beliau tahu masalah pemuda di sini ialah
untuk membeli rumah, tapi mana skim rumah pertama yang dijanjikan untuk
rakyat Kedah?
"Ia tidak pernah berlaku," kata anak jati Kedah itu.
Mukhriz menjawat menteri besar Kedah antara 2013 hingga 2016. Beliau
dicalonkan sebagai menteri besar Kedah dalam strategi Umno menawan
semula Kedah selepas kalah kepada PAS pada PRU12.
Selepas bapanya, Dr Mahathir lantang menyerang Perdana Menteri Najib
Razak bersabit skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Mukhriz
didesak meletak jawatan kerana beliau juga cenderung tidak
mempertahankan perdana menteri.
Kemuncaknya, Ahmad Bashah mengetuai sekumpulan pemimpin Umno Kedah
menyatakan secara terbuka hilang percaya kepada kepimpinan Mukhriz pada
20 Januari, 2016. Dua minggu kemudian, Mukhriz letak jawatan selepas sah
beliau hilang kawalan terhadap Adun.
Apa kata kaji selidik?
Ilham Centre, sebuah badan yang membuat kajian politik, mengakui
adanya sentimen protes dalaman terhadap Umno di Kedah, berdasarkan
kajian lapangan yang dibuat di negeri itu.
" Umno negeri lemah dan menteri besarnya, Ahmah Bashah tidak popular dalam kalangan rakyat Kedah mahupun orang Umno.
"Protes dalaman Umno akan berlaku, dan ia akan menguntungkan PH,"
kata Pengerusi Eksekutif Ilham Center Hisomudin Bakar
Menerusi kaji selidik di Kedah yang dijalankan pada Mei, Ilham Centre
mendapati antara kawasan di mana Umno berdepan protes dalaman ialah
Langkawi, Jerlun, Kubang Pasu, Alor Setar, Pokok Sena, Kuala Kedah dan
Merbok.
Katanya, protes turut berlaku di Sik, Baling dan Padang Terap tetapi
pada tahap minimum. Manakala di Sungai Petani, Padang Serai dan Kulim
Bandar Baru di daerah selatan Kedah, rekod menunjukkan pengundian
ditentukan oleh pengundi kaum Cina.
"Saya rasa (Umno dan BN) ada penilaian tersendiri untuk mengukur
keupayaannya di Kedah. Kalau mereka tidak dapat kesan sentimen ini,
maknanya memang Umno bermasalah," katanya.
Bagaimanapun, katanya sentimen menolak BN saja bukan jaminan yang
selesa untuk PH kerana ia mesti memberikan tawaran yang lebih baik
kepada rakyat
PAS pun sokong Mukhriz
Di Kampung Langgar, Bedong, dalam kawasan Parlimen Pokok Sena, Umno
berdepan cabaran yang lain juga. Kawasan itu majoriti penduduknya
penyokong tegas PAS.
Namun ada dalam kalangan penyokong PAS itu, apabila ditanya tentang
Mukhriz, berkata anak Dr Mahathir itu seorang pemimpin yang baik semasa
jadi menteri besar.
Muhammad Nasri, 53, berkata Mukhriz tidak pilih bulu dan menjaga kebajikan rakyat walaupun mereka tidak menyokong Umno dan BN.
"Saya rasa kalau Mukhriz bertanding, kalau dia yang gerakkan PH di
Kedah, kemungkinan mereka menang adalah besar sebab kawasan sini semua
ahli Umno dah hilang arah.
"Saya ini kalau benda betul, saya cakap betul, saya tak sorok," katanya.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan