BN, Pakatan berlaga bajet, rakyat untung di tengah-tengah

Oleh

BAJET 2018 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Najib Razak adalah bajet terakhir sebelum Pillihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). Sudah pasti kerajaan mahu memastikan semua lapisan masyarakat menikmati agihan pendapatan secara seimbang, seterusnya dapat menyantuni pengundi agar lebih banyak kembali ke pangkuan Barisan Nasional. PRU14 dijangka diadakan pada tahun depan.

Bajet 2018 ialah sebahagian daripada pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-11 yang berpandukan strategi pembangunan nasional yang memberikan tumpuan pada pembangunan ekonomi  berteraskan rakyat dan ekonomi modal dengan pelaksanaan projek pembangunan berimpak tinggi.

Pastinya juga sektor yang terus diberikan perhatian ialah sektor pendidikan, kesihatan, perumahan, belia dan usaha meluaskan pekerjaan. Selain itu usaha menangani kos hidup semasa akan diterapkan melalui pelbagai inisiatif kerajaan melalui bajet 2018.

Justeru Bajet 2018 ini cuba bersifat inklusif kerana daripada bayi yang baru lahir hingga kepada warga emas, juga kelas berpendapatan rendah, sederhana dan tinggi masing-masing memperoleh manfaat daripada bajet ini.

Jadi, sukar untuk menafikan Bajet 2018 ialah serampang pelbagai mata untuk memancing undi selain sebagai bajet tahunan dan sebahagian daripada usaha menjayakan pelaksanaan RMK11.

Bajet penarik undi

Di sinilah strategi melunakkan hati rakyat terserlah tanpa perlu menaikan BRIM. Sebelum ini pembangkang menjangka BRIM akan dinaikkan untuk dijadikan sebagai gula-gula pilihan raya. Namun ramalan pembangkang tidak tepat.

Sebenarnya tindakan PM lebih bersifat strategik dan lunak dalam bajet terakhir sebelum PRU kerana menghala kepada sasaran khusus pengundi secara lebih strategik.

Misalnya, fokus kepada pengundi Felda melalui bayaran insentif khas kepada peneroka sebanyak RM5,000. Begitu juga janji untuk membina 5,000 rumah generasi kedua Felda yang melibatkan RM164 juta.

Strategi menambat hati Orang Asli dapat dilihat melalui bantuan RM3,000 untuk ibu bapa membuat persediaan anak-anak ke institut pengajian tinggi.

Strategi meraih undi warga emas dapat dilihat melalui kenaikan elaun warga emas kepada RM350 sebulan dan melibatkan dana sekitar RM600 juta.

Bantuan kanak-kanak keluarga miskin juga diperuntukkan sebanyak RM245 juta, iaitu suatu angka yang besar untuk melakukan strategi serampang dua mata.

Dalam ilmu sosiologi ia dikenali sebagai fungsi terbuka dan fungsi terpendam (latent). Fungsi terbuka untuk membantu golongan miskin manakala fungsi terpendam pula untuk meraih undi daripada golongan ini.

Politik mikro perlu diberikan perhatian agar dasar kerajaan tidak disabotaj oleh pemimpin bawahan di peringkat kampung. Dengan adanya bantuan khas kepada tok batin dan ketua kampung sebanyak RM1,500, bantuan seumpama menguatkan lagi cengkaman sokongan BN di kawasan luar bandar.

Begitu juga bantuan khas guru Kafa, takmir, imam, bilal dan siak yang diberikan bantuan khas sebanyak RM 1500. Penjawat awam, yang merupakan antara pengundi terbesar, mendapat bayaran khas RM 1500.

Kesemua ini sangat strategik dan memberikan golongan yang khusus dan mampu meraihkan sokongan undi pada PRU tahun depan dengan lebih ampuh.

Persaingan ‘manifesto’ bajet

Selain Bajet 2018 Barisan Nasional (BN) terdapat pula belanjawan alternatif 2018 Pakatan Harapan (PH). Perbandingan ini menarik kerana ia menunjukkan masing-masing mencuba memberikan dan berjanji yang terbaik kepada rakyat.

Tentulah PH dapat mengumumkan dasar dengan lebih ‘mudah lepas’ kerana belum lagi membentuk sebuah kerajaan di peringkat persekutuan. Pada masa yang sama terdapat tuduhan kononnya Barisan Nasional meniru belanjawan alternatif atau manifesto PH.

Misalnya, ketika PH berjanji akan menghapuskan semua tol, bajet BN pula cuma menghapuskan 4 tol. Di kala PH umumkan untuk hapuskan GST, BN pula mansuh GST untuk komik dan beberapa perkara lain.

Ternyata peranan PH penting sebagai pesaing yang memberikan asakan agar pihak kerajaan membuat sesuatu lebih baik untuk kesejahteraan rakyat. Menghapuskan 4 tol misalnya ialah kemampuan yang ada pada kerajaan BN masa kini.

PH juga berjanji memberikan cuti bersalin 120 hari manakala BN pula akan
melaksanakan cuti bersalin 90 hari pada tahun 2018. Begitu juga program TAWAS di
Selangor diperkenalkan 8 tahun lepas manakala hanya melalui Bajet 2018 BN barulah
program Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM 50) hendak dilaksanakan.

Persaingan yang positif dalam dunia demokrasi ini memberikan tekanan kepada kedua-dua pihak untuk menghasilkan yang terbaik untuk kehidupan rakyat. Begitu juga kritikan pembangkang terhadap dasar harga petrol ikut pasaran dan yang tetap sentiasa naik manakala janji PH pula untuk mengembalikan subsidi petrol kepada rakyat.

Ini memberikan dilema kepada BN. Dilema sebagai pemerintah ini difahami kerana ia perlu mempertimbangkan faktor produktiviti, hasil pendapatan negara dan agihan secara adil dan saksama, selain memastikan yang terbaik untuk rakyat dan terperangkap dengan dasar populis untuk menang pilihan raya.

PH pula belum lagi menawan Putrajaya dan boleh sahaja berjanji apa-apa sahaja dengan segala unjuran dan imaginasi politik mereka. Daripada satu segi, persaingan ini menguntungkan rakyat kerana masing-masing cuba memberikan yang terbaik kepada pengundi.

Namun pada satu aspek lain, persaingan ini boleh menjerumuskan rakyat kepada perangkap janji politik dan implikasi pembangunan dalam jangka masa yang panjang.

* Dr Awang Azman Awang Pawi ialah ahli akademik yang percaya dunia akademik melangkaui politik kepartian dan intelektual awam adalah pencetus pencerahan. Selain memberi kuliah beliau juga menjalankan kajian bebas dalam bidang sosio-budaya termasuk budaya politik dan budaya masyarakat.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan