Oleh
Media Malaysia perlu lebih bertanggungjawab untuk tidak melaporkan
berita-berita mereka yang terkena loteri bernilai berjuta ringgit.
Berita-berita sedemikian hanya membantu meningkatkan pendapatan
syarikat-syarikat menjual nombor ekor kerana lebih ramai yang
berangan-angan untuk menjadi kaya sekelip mata akan terjebak di dalam
aktiviti judi.
Hakikatnya, peluang untuk memenangi loteri ini teramatlah tipis.
Umpamanya judi nombor 4 ekor yang melibatkan pembelian nombor 4
angka. Kaki judi boleh bertaruh pada apa-apa nombor bermula daripada
0000 ke 9999. Hanya 23 nombor sahaja yang akan memberikan pulangan
hadiah, dengan hadiah pertama bernilai RM2,500 hingga RM3,500 untuk
setiap RM1 pertaruhan.
Daripada sudut lain, syarikat-syarikat yang menjual nombor ini
mengaut keuntungan dengan menawarkan 9,977 nombor untuk dijual tanpa
sebarang pulangan kepada kaki judi.
Jika mengikut peratusan, setiap nombor yang dipertaruhkan oleh kaki judi hanya mempunyai 0.23% untuk terkena hadiah.
Hari ini, syarikat-syarikat nombor 4 ekor telah mempelbagaikan produk
mereka yang menawarkan hadiah berjuta-juta nilainya, dengan menawarkan
lebih banyak nombor yang tidak memberikan pulangan untuk dijual kepada
para kaki judi yang bermimpi menjadi jutawan.
Produk paling popular hari ini ialah Jackpot 4D, di mana hadiah
minimum loteri bernilai RM2 juta ke atas akan diberikan kepada mereka
yang berjaya membeli 2 set nombor 4 ekor yang muncul sebagai hadiah
pertama, kedua dan ketiga pada mana-mana cabutan.
Ini bermakna terdapat 10 juta kombinasi nombor yang dijual kepada
para kaki judi yang terkial-kial mengejar hadiah utama yang hanya
mempunyai peluang kemenangan sekadar 0.00006% untuk setiap kombinasi dua
set nombor 4 ekor yang dibeli.
Dengan peratusan serendah ini, dan jikalau kaki judi dapat melihat
daripada perspektif ini, sudah tentu mereka tidak akan membazirkan duit
mereka.
Di Malaysia, cabutan pada wajib hanya berlaku 3 kali seminggu iaitu pada setiap Rabu, Sabtu dan Ahad.
Syarikat-syarikat 4 ekor juga boleh mengadakan cabutan ‘extra’ pada
hari Selasa tertentu jika mendapat kelulusan kerajaan, dan setakat
Oktober ini, cabutan ‘extra’ telah berlaku lebih daripada 15 kali bagi
tahun ini.
Selain menggalakkan media tidak menyiarkan berita-berita mereka yang
terkena loteri, pihak kerajaan juga harus mengurangkan kekerapan cabutan
‘extra’ diadakan.
Ini kerana terlalu banyak pendapatan boleh guna rakyat telah
dibazirkan untuk aktiviti judi ini yang hanya menguntungkan
syarikat-syarikat 4 ekor ini. Jangan kerana kerajaan menginginkan sumber
pendapatan yang lumayan daripada sektor perjudian, maka kerajaan
menutup mata masalah sosial yang datang bersama-sama aktiviti judi.
Meskipun judi “dibolehkan” untuk orang bukan Islam (bukan kerana
agama membenarkannya), tapi ini tidak bermaksud judi tidak mendatangkan
kerosakan kepada keluarga dan masyarakat bukan Islam, terutamanya
apabila ada ahli keluarga yang mempunyai ahli yang terlalu gian berjudi
sehingga sanggup meminjam dari Ah Long dan juga mengabaikan keluarga.
Diharap selepas penerangan ini, media dapat mengambil sikap yang
lebih proaktif untuk mendedahkan kerosakan daripada aktiviti judi
daripada mewar-warkan bagaimana seorang yang termimpi nombor bertuah
lalu terkena loteri berjuta ringgit tanpa menceritakan betapa banyak
duitnya yang sudah terbazir sebelum ini di dalam aktiviti judi.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan