Penduduk Pulau Pinang kecewa wakil rakyat DAP tak hadir majlis dialog

Oleh Looi Sue-Chern 

PERSATUAN-persatuan penduduk di Pulau Pinang hari ini kecewa apabila sebahagian besar wakil rakyat mereka tidak hadir ke majlis dialog bagi membincangkan masalah banjir dan pembinaan di kawasan bukit.

Tidak sampai 10 orang wakil rakyat yang hadir ke majlis yang dianjurkan oleh sebuah gabungan bukan kerajaan, Penang Forum yang dihadiri kira-kira 200 orang di Persatuan Teochew, Pulau Pinang.

Antara ahli dewan undangan negeri yang kelihatan ialah Jahara Hamid (Teluk Air Tawar), Muhammad Farid Saad (Pulau Betong) dan Shah Headan Ayoob Hussain Shah (Teluk Bahang) dari Barisan Nasional (BN); dan Cheah Kah Peng (Kebun Bunga), Dr Norlela Ariffin (Penanti) dan Lee Khai Loon (Machang Bubok) dari PKR.

Yap Soo Huey (Pulau Tikus) satu-satunya Adun DAP yang hadir, manakala ahli Parlimen yang hadir hanya Sim Tze Tzin (Bayan Baru). Selain itu, ahli DAP lain yang hadir ialah Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang Syerleena Abdul Razak.

Hadir sama ialah Ketua BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow, beberapa pemimpin Gerakan dan Patrik Ooi dari Penang Front Party.

Jahara berkata wakil BN di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang akan membentangkan usul mendesak semua projek di bukit dan cerun dihentikan.

"Kami di sini bukan untuk menuding jari, tetapi ia perlu ditujukan kepada pihak berkuasa," katanya.
Norlela yang merupakan salah seorang wakil PKR yang paling lantang mengenai isu-isu
pembangunan negeri berkata, beliau berharap Pakatan Harapan (PH) dan BN akan mengetepikan perbezaan politik mereka bagi menyelesaikan masalah banjir dan pembangunan di negeri itu.

Norlela salah seorang daripada lima penyokong kerajaan PKR yang enggan mengundi menolak usul BN berkenaan penambakan tanah ketika persidangan Dewan Undangan Negeri pada November 2015.

DAP memegang paling banyak kerusi di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang iaitu 19 daripada 40 kerusi. Manakala PKR-10, PAS-1 dan Umno-10.

Dalam satu sidang akhbar pada minggu lepas selepas kejadian tanah runtuh di Tanjung Bungah yang mengorbankan 11 nyawa pekerja binaan, beberapa wakil persatuan penduduk memberi amaran kepada kerajaan negeri yang ia mungkin akan kehilangan undi jika ia terus membenarkan pembangunan di kawasan bukit serta tidak mengendahkan bantahan rakyat.

Pada majlis dialog hari ini, wakil persatuan penduduk Bandar Baru Ayer Itam K. Suthakar berkata Lebuhraya Thean Teik telah menjadi "sungai" semasa banjir buruk bulan lepas.

"Mengapa mereka menjadi wakil rakyat? Kerana mereka mahu berkhidmat untuk rakyat, selesaikan masalah mereka. Tetapi, selepas pilihan raya, mereka tak kelihatan selama tiga atau empat tahun. Rakyat meminta pertolongan tetapi anda tiada masa untuk datang," katanya.

Pengerusi Persatuan Penduduk Tanjung Bungah Meenakshi Raman juga berkata dia menjangkakan lebih daripada 10 wakil rakyat akan hadir.

"Kami kecewa kerana ramai tak dapat hadir. Kami mengharapkan untuk lihat lebih ramai wakil DAP," katanya.

Difahamkan pada masa yang sama DAP mempunyai program parti di tanah besar sebagai persediaan untuk kongres parti pada 12 November ini bagi pemilihan semula jawatankuasa kepimpinan pusat.

Meenakshi berkata persatuan peduduk serta kumpulan sivil lain yang baru-baru ini mengkritik kerajaan masih bersedia untuk berbincang dengan kerajaan negeri walaupun tidak mendapat balasan terhadap surat yang dihantar kepada semua Adun dan ahli Parlimen Pulau Pinang atas desakan menyelesaikan maslaah banjir kilat.

"Kami orang biasa, tiada apa-apa bantahan kepada mereka. Tetapi sesetengah (pemimpin) menuduh kami bongkak. Wakil rakyat mesti bertanggungjawab. Tiada salahnya rakyat meminta kerajaan negeri dan YB apa yang mereka buat," katanya


Perubahan cuaca

Sementara itu, pakar dalam sistem maklumat geografi, Dr Kam Suan Pheng pada majlis dialog itu berkata banjir di Pulau Pinang berpunca daripada cuaca dan aktiviti manusia, dan tambahnya keadaan ini akan menjadi lebih buruh disebabkan perubahan iklim.

"Sejak 2003, corak taburan hujan kian meningkat. Banjir kilat akan lebih kerap berlaku, iaitu pada ambang hujan lebih rendah.

"Dengan perubahan cuaca, kita boleh jangkakan hujan yang lebih lebat," katanya. Tambahnya lagi, sistem saliran bandar Pulau Pinang tidak dirancang dengan baik untuk mengelakkan banjir.

Perunding berpengalaman lebih 30 tahun dalam bidang alam sekitar, kesihatan dan keselamatan di dalam dan luar negara, Aziz Noor berkata Pulau Pinang perlu menjadikan kejadian tanah runtuh di Lembah Permai sebagai 'wake-up call'.

"Kawalan perundangan lebih dari mencukupi tetapi jarang dipatuhi. Penguatkuasaan lemah," kata pengarah urusan firma perunding yang berpangkalan di Pulau Pinang, Zeezy Global itu.

Seorang peguam yang turut serta dalam majlis dialog itu, Agatha Foo berkata mengikut undang-undang, kerajaan negeri harus menghentikan pembangunan di tanah sensitif-ekologi melebihi 76m di atas paras laut dan cerun melebihi 25 darjah.

Pihak berkuasa juga katanya, boleh mengenakan penguatkuasaan lebih ketat dan memohon hukuman penjara terhadap pengarah syarikat yang melanggar undang-undang kerana ia lebih berkesan daripada denda.

























Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan