Oleh Zin Mahmud
Kenangan. 1982. Suatu hari di Dewan Rakyat. Aku berada di Galeri
Akhbar, Press Gallery untuk membuat liputan sidang Dewan Rakyat.
Dari tempat duduk aku, aku dapat lihat ahli-ahli parlimen mengambil
tempat masing-masing. Masa itu tidak ada lagi liputan Dewan Rakyat
secara langsung di televisyen. Ahli pembangkang jangan harap dapat masuk
televisyen.
Pada hari berkenaan pula adalah pertama kali sidang Dewan Rakyat
diadakan selepas berlaku krisis dalam PAS. Datuk Asri Muda dan
penyokong-penyokongnya telah keluar PAS dan menubuhkan Hizbul Muslimin
Malaysia (Hamim). Yang Dipertua Agung PAS yang baharu ialah Yusof Rawa.
Asri dan Yusof tidak ada kerusi di Dewan Rakyat.
Dalam Dewan Rakyat ada lima wakil PAS. Empat ahli parlimen PAS ialah
pengikut Asri dan telah melompat ke Hamim. Hanya seorang yang tetap
bersama PAS iaitu Nik Aziz Nik Mat dari Pengklan Chepa.
Pada hari itu berlaku pengundian. Aku tak ingat sama ada Belanjawan atau Rang Undang-undang tertentu.
Apabila mengundi, semua wakil rakyat Barisan Nasional menyokong.
Sementara pembangkang termasuk DAP dan PAS menentang. Aku lihat Nik Aziz
mengangkat tangan menentang. Tapi semua wakil rakyat Hamim mengundi
berkecuali.
Tidak beberapa lama selepas itu Hamim memohon menyertai Barisan
Nasional. Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad menerima kemasukan Hamim. Pada
mulanya Berjasa yang ada dalam Barisan Nasional membantah kemasukan
Hamim. Tetapi kemudian mereka menerima juga. Ketika itu Ketua Dewan
Ulama Berjasa ialah Mahmood Zuhdi dan Ketua Pemuda Berjasa ialah Ibrahim
Ali.
Ibrahim Ali kemudian menyertai UMNO. Datuk Asri cuba membubarkan
Hamim tetapi cadangannya ditolak oleh ahli Hamim. Datuk Asri kemudian
menyertai UMNO.
Berjasa dan Hamim kemudian menyertai Angkatan Perpaduan Ummah bersama PAS dan Semangat 46.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan