Najib lebih prihatin ‘jalan kampung’ menuju Putrajaya

Oleh Dr Dzulkefly Ahmad 
  
SAYA bersedia mengakui Bajet 2018 bersifat menyeluruh dan mungkin juga inklusif. Untuk melakukan itu PM Najib terpaksa berbelanja besar mencecah RM280 bilion, berbanding dengan RM260 bilion pada tahun 2017, menambah RM20 bilion. Usah bicara tentang nisbah pembangunan dan pengurusan yang semakin menngecil. Najib persetankan.

Dengan jumlah sebesar ini, Najib berpeluang menangani kritikan kronik ahli ekonomi ke atas beliau.
Apa dia? Isu peruntukan pembangunan berbanding pengurusan. Sangat penting menaikkan peruntukan perbelanjaan pembangunan berbanding Pengurusan kerana pembangunan yang merangsang pertumbuhan ekonomi dan menjana kekayaan negara dan rakyat! Apakah dilakukan Najib dalam ‘Bajet Terbaik’nya? Jawapannya tidak?

Perbelanjaan Pembangunan RM46 bilion dan Perbelanjaan Mengurus RM235.25 bilion. Bermakna hanya 16.4% sahaja dari Bajet 2018 diperuntukkan untuk Pembangunan. Ini juga bermaksud Najib menurunkan atau memotong peruntukan pembangunan kerana peruntukan pembangunan adalah 17.3% pada 2017 dan 16.7% pada 2016.

Dengan kata lain, Najib sekali lagi meminjam dengan jumlah yang lebih besar untuk seluruh pembangunan yakni 88% akan dibiayai dari pinjaman. Namun Bajet Terbaik Najib gagal untuk membawa sebarang isyarat komitmen ‘penambahbaikan’.

Akibat dari Bajet Defisit selama 23 tahun berturut-turut ini, pembayaran ansuran hutang (debt sevices) di segi bunganya sahaja setiap tahun telah mencecah RM30.88 bilion untuk tahun 2018! Rakyat memang tak tahu bahawa setiap ringgit yang dijana negara, 13 sen digunakan untuk membayar hutang. Ini sudah hampir dengan pembayaran hutang menggunakan kad kredit!
Sebenarnya Najib tidak punya pilihan. Dengan bajet sebegini ‘komprehensif’ pun tidak ada jaminan beliau akan ‘survive’ untuk membentang Belanjawan 2019!

Tetapi Najib tidak pula tambah pemberian BRIM dan kekal maksima RM1,200. Dia juga gagal atau lebih tepat lagi, tidak mampu membayar walau sebulan bonus pun. Hanya RM1,500 sebagai bantuan khas dan itu pun dua kali bayaran. Kenapa lekeh sangat. Sah tak boleh bubar parlimen macam ini!

Namun meneliti lebih mendalam mendedahkan perhitungan licik Najib. Memang sengaja dia lakukan sedemikian. Ada 7 juta penerima BRIM. Dan belum pasti mengundi Umno-BN. Buat apa belanja besar, tambah BRIM?

Begitu juga penjawat awam. Mentelah ramai yang menderita akibat barang naik dan kos hidup yang semakin membeban. Mereka marah dan juga bosan hidup susah. Tidak bijak kalau Najib tambah secara ‘borong atau blanket’ macam itu. Yang jelas, “jalan ke Putrajaya” hakikatnya, masih melalui jalan kampung dan luar bandar.

Maka Najib tala pendekatannya. Sasaran Najib sememang nak pastikan sokongan tegarnya tidak lari bahkan hendak menambah sedikit lagi bagi menampung kehilangan sejak PBBM atau parti 3M terus subur. Najib menyasarkan pemberian kepada kelompok yang akan memenangkannya. Perhatikan kelompok berikut:

a) Peruntukan paling besar dalam sejarah kepada pesawah, petani, peladang, nelayan, pekebun kecil dan penoreh getah sebanyak RM6.5 bilion (RM2.3 bilion untuk baja dan input pertanian, tanam semula getah dan kelapa sawit, saliran air, termasuk bayaran RM200 sebulan untuk pesawah selama 3 bulan menanti padi dituai).

b) Orang Asli mendapat RM60 juta.

c) Warga Felda RM60 juta peruntukan tanam semula dan RM43 juta Cess dan RM160 juta rumah generasi ke-2.

d) RM1,500 bantuan khas tok batin dan ketua kampung.

e) RM1,500 bantuan khas guru KAFA, takmir, imam, bilal dan tok siak.

Bagi menggembirakan pihak ATM, diperuntukkan RM14 bilion termasuk RM40 juta menaik taraf 5 hospital, 4 poliklinik dan hospital untuk pesara tentera atau veteran. Sementara PDRM menerima RM9 bilion dan Maritim RM900 juta dan banyak lagi ‘kumpulan sasar’ Najib termasuk cubaan menyantuni golongan wanita.

Di segi itu nampak bijak atau licik Najib ini. Dia lebih fokus dan terarah. Najib tahu dia kena ‘berhemah’ kerana dia tidak punya “ruang fiskal” untuk berbelanja besar. Hutang sudah mencecah ‘had statutori’. Agensi penarafan memantau bejatnya. Fitch Rating telah bersuara. Silap haribulan penarafan atau ‘rating’ negara boleh diturunkan. Buruk buat Najib, khasnya impak ke atas posisi ‘kedaulatan negara’ dan nilai ringgit.

Lalu ini yang termampu Najib lakukan. Kaedah “Bajet Memberi Habuan Depan” atau dengan istilah “Front-Loaded Cash Budget”. Beri sebanyak yang boleh di awal tahun. Suntik dan cetuskan ‘rasa sedap’ (feel good) kepada kumpulan sasaran.

Beban bayaran pembiayaan mengurus serta pembangunan bahkan perbelanjaan mengurus kemudian! Ya, selepas dia menang pilihan raya. Itu pun kalau menang.

Yang penting Najib mesti umumkan. Lebih besar dan lebih banyak lebih baik dan menyuntik ‘rasa sedap’. Semua pihak mesti digembirakan Najib dan jangan ada yang tertinggal. Itu sebabnya ‘inklusif’.

Justeru jangan ditanya dari mana sumber hendak membiayai semua projek ‘big ticket items’ ini. Lazimnya juga projek-projek ini adalah ‘Perbelanjaan Luar-Bajet’ atau ‘Off-Budget Spending’.

Kerap juga Najib akan memasukkan dalam anggaran belanjawan tambahan atau ‘Supplementary Budget’. Najib adalah PM yang tidak pernah gagal memohon ‘Bajet Tambahan’ sejak 2009. Berbilion RM setahun dan lazimnya juga dua kali setahun.

Lebih culas lagi, dia belanja dahulu dan ‘paksa’ parlimen luluskan. Memang ‘celaka’ cara macam ini kerana berlawanan dengan disiplin fiskal yang pruden.
Bila nak kawal defisit fiskal? Sasaran 2020 kononnya nak bentang ‘Bajet Berimbang’ (Balanced Budget). Peruntukan ‘Perbelanjaan’ sama dengan ‘Pendapatan’. Sampai kiamat pun tak boleh kalau tabiat buruk ini berterusan. Sebab itu rakyat kena ‘pencenkan’ Najib dan kerajaan BN.
Najib umumkan program mega seperti MRT2 dengan kos RM32 bilion, MRT3 atau ‘Circle Line’, projek LRT3 menghubungkan Bandar Utama ke Johan Setia, Klang dan West Coast Highway menelan RM5 bilion dan banyak lagi.

Nah, kalau dihitung apakah munasabah untuk mengekalkan angka defisit sebanyak 2.8% nisbah KDNK? Biar betul Najib. Jangan kong kali kong! Bank Dunia mengingatkan Malaysia supaya lebih berhati-hati. Mereka meramalkan defisit yang lebih tinggi sebab pendapatan akan terjejas kerana ekonomi dunia akan sedikit gawat, China dan Eropah.

Sememang Najib bertujuan memikat dan mengikat pengundi sasarannya. Namun apakah pengundi dan rakyat boleh dibeli dengan pemberian yang tidak seberapa ini? Marah rakyat kepada MO1 dan penyangak Jho Low belum reda. Ketirisan ekonomi, prestasi produktiviti dan peluang bekerja masih belum digarap. Lebih ramai menganggur dan diberhentikan.

Derita rakyat kerana GST tidak terjawab sementara kenaikan gaji dan pendapatan ditelan inflasi dan kenaikan kos hidup.

Memetik sepatah kritikan Tan Sri Kamal Saleh, mantan Penasihat Ekonomi era Pak Lah, Bajet Najib “gagal menangani pengupayaan sebenar Kelompok B-40. Langkah-langkahnya semacam 50 tahun dulu…” tegas beliau. Hanya keputusan PRU kayu-ukur dan jawapan segala tanda-tanya. Rakyat kini punya pilihan.
_____________________
Dr Dzulkefly Ahmad ialah Pengarah Strategi Parti Amanah Negar
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan