SKMM kenal pasti sumber bocor data peribadi

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sudah mengenal pasti sumber yang mungkin menyebabkan kebocoran data peribadi, kata Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Menteri komunikasi dan multimedia itu berkata, ia hasil perbincangan agensi itu dengan syarikat telekomunikasi semalam.

“SKMM telah mengadakan perbincangan dengan semua syarikat telekomunikasi berkenaan kebocoran maklumat ini. Perkara ini sedang disiasat SKMM dan polis.

“Bagaimanapun, kita kenal pasti daripada sumber-sumber mana kemungkinan kebocoran maklumat ini berlaku,” katanya di luar Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau percaya siasatan mengenai kebocoran itu dapat diselesaikan secepat mungkin.

FMT difahamkan posting asal yang membuat tawaran menjual data peribadi di forum Lowyat.net bulan lalu dipercayai menggunakan alamat Internet Protokol (IP) dari luar negara.

Pengasas Lowyat.net, Vijandren Ramadass sebelum ini dilaporkan berkata, pihaknya menyiarkan artikel berhubung kecurian data besar-besaran di laman webnya kerana tiada respons daripada agensi penguat kuasa internet tempatan.

Katanya, pihaknya sudah memaklumkan SKMM selepas menyedari posting “penjual” yang mempromosikan jualan data terbabit secara agresif pada 18 Oktober lalu.

Salleh menerusi sesi perbahasan di Dewan Rakyat sebelum ini berkata, perselisihan faham antara Lowyat dan SKMM di peringkat permulaan menyebabkan artikel pendedahan itu ditarik balik.
Pada 19 Oktober lalu, laman web rasmi Lowyat.net menerusi satu artikel mendedahkan lebih 50 juta rekod pelbagai syarikat telekomunikasi dijual dalam talian dan siasatan lanjut mendapati ia mungkin salah satu kecurian data terbesar dalam sejarah Malaysia.

Ia termasuk nama, alamat surat-menyuarat, nombor telefon bimbit, nombor kad sim, jenis telefon bimbit dan juga kad pengenalan pelanggan.

Lowyat berkata, “berjuta-juta” data peribadi milik Jobstreet.com, Majlis Perubatan Malaysia, Persatuan Perubatan Malaysia, Akademi Perubatan Malaysia, permohonan pinjaman perumahan rakyat Malaysia, Persatuan Pergigian Malaysia dan Pendaftar Pakar Kebangsaan (NSR) dijual pada harga yang tidak didedahkan dalam bentuk bitcoin (mata wang internet).

Susulan itu, Lowyat.net kelmarin mengesahkan 46.2 juta nombor telefon bimbit daripada pelbagai syarikat telekomunikasi tempatan dibocorkan dalam talian.

Kebocoran sejak Mei hingga Julai 2014 itu membabitkan nombor telefon prabayar dan pascabayar, maklumat pelanggan, alamat serta maklumat dalam kad sim.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan