Wujudkan akta halang gunakan agama untuk jadi alat politik

Oleh Mohd Sayuti Omar

Pandangan yang dilontarkan oleh Menteri Komunikasi dan Multi Media Salleh Said Kruak yang mengatakan sesetengah ahli politik menggunakan agama sebagai momokan politik tujuan menakut-nakut dan memecahkan rakyat adalah tepat.

Tegasnya juga tindakan itu boleh mengagalkan usaha pembentukan perpaduan rakyat.

Beliau juga mengatakan ahli politik bersikap begitu sebagai orang yang bankrup idea yang secara tidak langsung juga menjadi pemecah  perpaduan yang berselindung di sebalik doktrin agama.


Betapa sikap sebegini mendatangkan kerugian kepada negara sesuatu yang tidak boleh disangkal. Penggunaan doktrin agama untuk politik sangat merbahaya kerana ia bukan sahaja memberi kesan takut (phobia) kepada rakyat tetapi natijah perpecahan itu yang sangat parah kepada pembangunan negara seluruhnya.

Apabila rakyat berpecah, di sinilah anasir luar akan meresap masuk dimana ia boleh mengancam usaha untuk membangunkan negara yang dibina sejak berdekad lalu menjadi sia-sia.

Lantas orang seperti itu beliau membuat anologi seperti seperti musang yang menawarkan diri untuk menyelamatkan ayam.

Mungkin Salleh merujuk perkara itu terhadap apa yang berlaku di Sabah dan Sarawak waktu ini. Katanya di Sabah dan Sarawak tidak mengalami masalah itu namun kini terdapat individu yang meningkatkan sentimen agama sebagai sebahagian dari strategi politik mereka. Apakah beliau maksudkan kepada pihak yang cuba memanaskan isu Kristianisasi di sana?

Salleh tidak menyebut individu berkenaan dan memberi gambaran jelas. Itu tidak penting namun tindak tanduk perbuatan itu sangat merbahaya yang perlu diberikan tumpuan serius.

Sehubungan itu bertolak daripada pandangan Salleh itu kerajaan perlu mengambil perhatian serius dengan mengambil kira apa yang berlaku di Malaysia amnya di Semenanjung kini.

Betapa sikap begini, menggunakan doktrin agama untuk politik mendatangkan masalah kepada  negara. Sudah sampai masanya perbuatan ini dihentikan, pelakunya dikenakan tindakan tegas. Mungkin suatu akta mencegah penggunaan doktrin agama untuk tujuan politik perlu digubal.

Atau pun jika tidak perlu diwujudkan akta, beberapa akta sedia ada untuk tujuan keselamatan negara boleh digunakan terhadap waima individu, golongan atau parti-parti politik yang cenderong melakukan jenayah itu.


Sebenarnya perbuatan menggunakan agama sebagai modal politik sangat bahaya dan ia sudah pun merebak luas di negara ini. Misalnya untuk beberapa waktu parti Pas sejak awal-awal kemunculannya di tahun 1950an telah menggunakan agama untuk kepentingan siasahnya. Mungkin ketika parti itu menggunakan dogma agama untuk melawan penjajah dan fahaman dan gerakan komunis ia relevan, tetapi menjadi sebaliknya apabila ia ikut sama menyerang Umno.

Macam mana para ustaz-ustaz dan Tuan Guru ortodoks Pas menghukum perjuangan Umno sebagai sekular, pemimpinnya dituduh kafir dan perjuangannya bathil. Kemuncak kepada penggunaan agama sebagai alat oleh Pas ialah apa dinamakan Amanat Haji Hadi yang digubal daripada suatu ucapannya di Banggul Peradong 1981 diguna pakai meluas dan efektif dalam Pas.

Amanat itu masih terkesan sampai kini. Seperti mana disebut dalam Kertas Putih mengenai tragedi Memali 1985 dibentang di Parlimen ia ada mengaitkan kejadian itu ada dipengaruhi oleh amanat berkenaan.

Hari ini Umno sudah cease fire dengan Umno. Namun aktiviti mentakfir masih berlaku dari kalangan pemimpin parti itu. Jenguklah ke media-media sosial kita akan menemui dengan mudah segala tuduhan dan tundingan mengenai perkara itu. Puak yang menjadi mangsa kini ialah rakannya sendiri yang kini menubuhkan Parti Amanah Negara (Amanah) sebabnya, hanya kerana mereka tidak menerima pendekatan dan cara politik presiden parti itu kini yang dianggap mundur ke belakang.

Walaupun sudah berlaku kesedaran dari generasi baharu doktrin agama itu sesuatu yang bertentangan dengan ajaran dan semangat Islamiyah sebenar, tetapi sisa-sisanya masih ada. Di kampung-kampung tuduhan terhadap sesuatu golongan yang tidak bersama Pas sebagai kafir masih aktif. Bahkan kejadian sembahyang dua imam, pulau memulau ekoran "Amanat Haji Hadi" itu masih berterusna di Terengganu. Masih terdapat sekurang-kurang empat buah kampung di Besut penduduknya sembahyang berlainan surau atau masjid gara-gara dokrin amanat berkenaan.

Justeru saya sangat setuju dengan kebimbangan disuarakan Salleh itu, agar membenteras elemen menggunakan agama sebagai senjata berpolitik kerana tidak syak lagi tindakan itu boleh merusak dan mengagalkan usaha perpaduan negara apabila disebabkannya berlaku perpecahan di kalangan masyarakat.

Tepat sekali kalau Salleh berpendapat mereka menggunakan agama sebagai alat berpolitik adalah mereka yang bankrup idea dan sudah terjempit.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan