Oleh Arif Atan
Kesepakatan politik antara AMANAH, Bersatu, DAP dan PKR itu pastinya
bukan situasi yang menggembirakan BN dan Pas ketika Pilihan Raya Umum
ke-14 (PRU-14) semakin hampir.
Pembahagian kepimpinan mengikut negeri yang diputuskan dalam
Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan pada 28 Ogos lalu adalah
kemuncak isyarat serius blok mega pembangkang itu untuk bertempur di
PRU-14.
Serentak itu juga, usaha memujuk Pas bagi mengelak pertembungan
banyak penjuru secara rasmi sudah melepasi tarikh luput ekoran sikap
pimpinan parti hijau tersebut yang sudah berpatah arang dan berkerat
rotan dengan Pakatan Harapan.
Terus mara, Pakatan Harapan melangkah dengan menyelaraskan gerak
kerja pilihan raya secara intensif selepas agak tergendala melayan tarik
tali dengan Pas yang ketara ‘istiqamah’ mesra memeluk Umno-BN
menggunakan topeng Melayu dan Islam.
Hasil mesyuarat tiga jam itu, PKR diputuskan mengetuai Selangor,
Pahang, Negeri Sembilan dan Sabah manakala Bersatu mengemudi pimpinan
Pakatan Harapan di Johor, Perak, Kedah dan Perlis.
Bagi Kelantan, Terengganu dan Melaka, AMANAH akan mengetuai kempen
PRU-14 di tiga negeri terbabit manakala DAP mempengerusikan Pakatan
Harapan di Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan dan Sarawak.
Ibarat merungkai simpulan mati, satu demi satu struktur Pakatan
Harapan di peringkat negeri dan kawasan kemudiannya secara rasmi berjaya
dilancarkan. Tidak lagi bersendirian seperti era Pakatan Rakyat sebelum
ini, gerak kerja Pakatan Harapan di peringkat akar umbi adalah melalui
sekretariat yang ditubuhkan.
Di Johor, Pakatan Harapan negeri yang dipengerusikan Tan Sri
Muhyiddin Yassin merangkap Presiden Bersatu dilancarkan di Dataran
Dahlia, Tampoi pada 29 September lalu.
Timbalan Presiden AMANAH, Salahuddin Ayub yang juga Naib Presiden
Pakatan Harapan dinamakan sebagai Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan
di selatan tanah air itu.
Tanpa konflik secara terbuka walaupun berbeza fahaman parti, budaya
politik rakyat Johor yang bersifat diam-diam ubi berisi menyaksikan
Pakatan Harapan tidak mustahil bakal meraih lebih banyak kemenangan di
26 kerusi Parlimen dan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun).
Nun di utara, Pakatan Harapan Kedah mengumumkan barisan kepimpinan
jawatankuasa gabungan itu pada 20 Oktober lalu. Pemilihan Timbalan
Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir sebagai Pengerusi
Pakatan Harapan negeri dilihat berupaya menjentik perhatian ahli Umno
yang anti Najib.
Kehadiran mantan Menteri Besar Kedah berkenaan bakal menarik sokongan
sebahagian segmen pengundi wanita Umno apa lagi mereka yang non
partisan di negeri yang pernah sepenggal ditadbir Pakatan Rakyat.
Sementara itu, Pakatan Harapan Selangor yang diterajui Mohamed Azmin
Ali pula mengadakan mesyuarat pertama pada 8 September lalu dengan
menambah seorang lagi Timbalan Pengerusi dengan melantik Sivarasa Rasiah
yang juga ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR bagi mewakili masyarakat
India.
Gelombang sokongan rakyat kepada Pakatan Harapan pada 2017 dapat
dilihat dalam siri jelajah di seluruh Semenanjung dengan program anjuran
Bersatu paling ketara dilihat menarik kehadiran ramai penduduk
setempat.
Ceramah Jelajah Semarak anjuran Bersatu di Jalan Meru Impian, Ipoh
pada 3 Disember lalu contohnya, dilimpahi lautan masyarakat setempat
dengan sebahagiannya berbaju merah – lambang parti Bersatu.
Walaupun sambutan menggalakkan terhadap ceramah atau perhimpunan
bukan satu ukuran mutlak mencerminkan kejayaan pada pilihan raya tetapi
situasi itu menjadi antara syarat positif buat Pakatan Harapan pada
PRU-14.
Bersatu dilihat sebagai magnet kepada masyarakat Felda yang dihimpit
pelbagai isu penindasan untuk mendekati Pakatan Harapan berbanding
menjelang PRU-13 lalu.
Jika sebelum ini kehadiran pemimpin parti pembangkang disambut garang
dengan caci maki dan pengusiran oleh kumpulan penyokong Umno tetapi
kumpulan yang sama itulah kebanyakannya kini sudah bersama Bersatu
lantaran pengaruh Tun Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan masih
berbisa.
Penampilan sosok bekas Perdana Menteri pada usia 93 tahun di pentas
ceramah Pakatan Harapan yang dilihat mengundang minat ramai orang Felda
untuk hadir dijangka bakal diterjemah di kertas undi pada PRU-14 nanti.
Di Kelantan yang dikuasai Pas sejak 1990, AMANAH di bawah pengaruh
bekas exco, Datuk Husam Musa dan kini Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan
hampir setiap hari mengadakan program di peringkat akar umbi khususnya
di utara negeri itu.
Daripada pagi sembang di kedai kopi sehingga ceramah bersama
rakan-rakan Pakatan Harapan di sebelah malam, penggunaan media sosial
melalui siaran langsung melalui Facebook (FB) Live dimanfaatkan oleh
kumpulan Ketua Pemuda AMANAH negeri, Hazmi Hassan.
Pada masa sama, pelbagai tembelang berkaitan korupsi dan kepincangan
urus tadbir Pas sebagai parti pemerintah di Kelantan didedahkan berserta
penyelesaian alternatif sebagai bukti kesediaan Pakatan Harapan
menggantikan Pas di negeri itu.
Tidak keterlaluan dikatakan Pakatan Harapan di Kelantan yang diketuai
AMANAH paling produktif bertemu dengan segenap lapisan akar umbi
meliputi isu ekonomi setempat sehingga menyentuh hal berkaitan alam
sekitar.
Keceluparan Pas sepanjang tahun 2017 termasuk mendakwa PKR khianat
terhadapnya membawa kepada arahan Biro Politik PKR yang memutuskan
partinya di Kelantan mesti melepaskan semua jawatan politik di bawah
kerajaan negeri.
Pendirian bermaruah PKR itu jauh bermaruah berbanding Pas di Selangor
yang selamba tebal muka berkongsi kuasa dalam kerajaan negeri pada
ketika bermusuh dengan komponen Pakatan Harapan.
AMANAH Kelantan melalui gerak kerja Ketua Pemudanya, Hazmi Hassan
paling terkedepan bertemu akar umbi termasuk ketika banjir baru-baru
ini.
Imej Pakatan Harapan di Kedah yang peduli rakyat pula dilihat banyak
dibantu oleh gerak kerja AMANAH Kawasan Sik dengan mempunyai program
berfokus.
Diketuai Sulaiman Ibrahim atau dikenali sebagai Leman Raja Lawak
sebelum ini, sejak beberapa tahun lalu lagi sudah meredah kawasan
pedalaman bertemu dan membantu keluarga miskin yang majoritinya
mengambil upah menoreh getah.
Lensa aksi protes Pakatan Harapan yang menjadi tumpuan sepanjang 2017
tentunya apabila ibu pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di
Putrajaya dirantai dan dikunci pada 23 Mei lalu.
Keengganan SPR mengedarkan Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT)
mendorong Pemuda Pakatan Harapan mengambil tindakan sedemikian selepas
pendekatan diplomasi gagal mendatangkan hasil yang positif.
Mulai 21 November pula, Pemuda Pakatan Harapan berkampung protes 42
jam di hadapan Parlimen menuntut harga minyak diturunkan dan subsidi
bahan bakar itu dikembalikan.
Aksi protes berembun, berpanas dan berhujan di bahu Jalan Parlimen
itu kemudiannya menyaksikan penurunan harga mingguan petrol sebanyak
lapan sen dan dua sen bagi diesel mulai 23 November lalu.
Minggu sebelum protes, harga RON95 melonjak paling tinggi sehingga
tujuh sen menjadi RM2.38 seliter, RON97 naik enam sen menjadi RM2.66
manakala diesel naik lima sen kepada RM2.25 seliter.
Tanda aras
Pengumuman tujuh tindakan Pakatan Harapan untuk 100 hari pertama
sejurus mengambil alih Putrajaya termasuk memberi fokus kepada usaha
meringankan beban rakyat dan memerangi rasuah pada 14 Julai lalu serta
Himpunan Sayangi Malaysia Hapus Kleptokrasi tiga bulan selepas itu
dilihat sebagai tanda aras yang signifikan pada nilai permuafakatan
keempat-empat parti sepanjang tahun 2017.
Kehadiran ramai orang Melayu sekaligus mengimbangi komposisi
penyertaan rakyat berbilang kaum dalam himpunan di Petaling Jaya,
Selangor itu menutup propaganda media Umno-BN untuk memanipulasi keadaan
kononnya didominasi kaum Cina seperti lazim dicanangkan pada siri
himpunan anjuran pembangkang sebelum ini.
Belanjawan Alternatif Malaysia 2018 bertemakan ‘Belanja Berhemah,
Potong Cukai, Pilih Harapan’ pula jelas tekad Pakatan Harapan untuk
tidak boros berbelanja seperti kerajaan sedia ada dengan bajet Jabatan
Perdana Menteri pada 2017 sahaja mencecah sebanyak RM15.9 bilion.
Menghapuskan rejim cukai regresif yang menindas rakyat miskin – cukai
barang dan perkhidmatan (GST), menurunkan kadar hutang isi rumah serta
mengembalikan subsidi petrol antara iltizam Pakatan Harapan sejurus
menumbangkan rejim Umno-BN dan sekutunya.
Usaha mendaftarkan Pakatan Harapan di bawah satu logo hanya menanti
kelulusan Pedaftar Pertubuhan manakala manifesto bersama bila-bila masa
sahaja akan diisytiharkan.
Berpijak atas realiti politik mutakhir ini, PRU-14 pada 2018 ini
menjadi gelanggang buat calon Pakatan Harapan berentap dengan calon
Umno-BN dan Pas demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran Malaysia.
Pakatan Harapan sepanjang tahun 2017 terbukti sarat dengan idea
perubahan dan gagasan baharu untuk memerintah yang pastinya akan direbut
majoriti daripada 14.6 juta pengundi yang rasional dan cintakan tanah
air ini.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan