Oleh Nasir Mustafa
Kenangan lima tahun Pakatan Rakyat mentadbir Kedah sangat
menyeronokkan. Seronok bagi khadam rakyat seperti saya ialah memperoleh
laluan yang selesa dalam bekerja membantu rakyat. Tiada kepuasan yang
terbaik selain daripada dapat menyelesaikan pelbagai masalah rakyat.
Semuanya gara-gara mendapat peluang menjadi parti yang menerajui
kerajaan.
Meneraju, mentadbir, mengarah – mengikut prinsip yang kita
perjuangkan adalah perkara yang hanya boleh dibuat kerana memenangi
pilihanraya dan membentuk kerajaan.
Semua hairaki perjawatan hingga ke akar umbi sekalipun (MKK) mudah
mengatur urusan. Tidak sukar menggunakan premis-premis seperti balai
raya, dewan, masjid, padang mahupun stadium sekalipun apabila
menganjurkan program. Dari program kecil seperti kuliah agama di Seri
Mentaloon sehingga projek besar seperti pemerkasaan KUIN dan Kompleks
Aman Central yang dimulakan semasa PR, masih berterusan hingga ke hari
ini. Semoga besarnya saham akhirat yang diperolehi oleh Almarhum Ustaz
Azizan serta semua pihak yang mengasaskannya.
Banyak lagi perkara yang belum sempat dibuat. Maklumlah hanya lima
tahun tempoh pentadbiran. Terlalu panjang lebar kalau mahu diperincikan
faedah menjadi kerajaan. Semuanya hanya terasa apabila kita kehilangan
kerajaan.
Selepas peluang menjadi kerajaan tertutup selama satu penggal, kini
kita di ambang PRU14 bermakna satu lagi peluang dibuka. Kali ini peluang
untuk BN ditumbangkan sangatlah besar.
Penolakan majoriti rakyat terhadap kerajaan BN sangat nyata. Semua
badan penyelidik yang membuat kajian terhadap Najib dan BN mendapati
penolakan terhadap BN kini adalah yang paling teruk sejak merdeka. Nasib
BN diburukkan lagi apabila Umno yang menjadi tonggak BN berpecah.
Tertubuhnya parti Bersatu, mendapat sokongan kuat ahli-ahli Umno di akar
umbi. Ia satu lagi penyeksaan kepada Umno pimpinan Najib.
Cuma ada satu halangan besar untuk menumbangkan BN ialah apabila
pembangkang pula terpisah kepada dua kumpulan: Pakatan Harapan dan
Gagasan Sejahtera. Jika undi popular terhadap BN tinggal 40 peratus
sekalipun, mereka masih boleh menang jika pembangkang masing-masing
mendapat 30 peratus.
Saya sering mengulangi perkara yang sama dengan keyakinan bahawa BN
wajib ditumbangkan dan kepercayaan bahawa pembangkang mesti mempastikan
berlaku pertandingan satu lawan satu jika BN mahu ditumbangkan. Saya
tetap berpegang kepada kenyataan tersebut meskipun pendirian saya ini
sering ditempelak oleh kedua-dua belah pihak yang kini sedang leka
dibuai permusuhan.
Di Kedah, PAS adalah parti pembangkang yang terkuat, mempunyai
cawangan di hampir semua tempat yang wujud cawangan Umno. PAS memiliki
jentera hingga ke unit peti undi. Namun jika PAS bertanding kesemua 36
kerusi DUN, mampukah PAS mempertahankan Kubang Rotan, Anak Bukit,
Pengkalan Kundor, Alor Mengkudu, Kuala Ketil, Merbau Pulas (dalam
pertandingan tiga penjuru) di mana pada PRU12 dan 13 undi bukan Melayu
jadi penentu kini lari pula kepada PH?
Mampukah PAS menang di Lunas,
Kulim, Bandar Baharu, Bukit Selambau, Tanjung Dawai, Gurun, Bakar Arang,
Sidam, Kota Darul Aman dan Derga yang agak besar pengundi bukan Melayu?
Mampukah PAS menang di Bukit Kayu Hitam, Jitra, Bayu, Kuah, Air Hangat,
Pedu yang masih menjadi kubu BN?
Bagaimana pula dengan PH yang tiada jentera hingga ke akar umbi
sedangkan pilihan raya memerlukan jentera yang wujud di semua peringkat.
Bolehkah DAP pertahan Derga jika undi Melayu tidak lagi memihak
kepadanya? Bolehkah PKR pertahan Sidam dan Bakar Arang tanpa undi Melayu
yang diterima seperti PRU13 lalu? Bolehkah parti AMANAH yang hampir
tiada cawangan di kampung-kampung mampu mengalahkan PAS atau BN yang
bertapak di kampung-kampung lebih separuh abad?
Bagi saya pertandingan tiga penjuru di Kedah hanyalah satu proses untuk mengesahkan penguasaan BN.
Saya bukan mahu “mengajar” tetapi cuma mengajak kesemua pihak dalam
pembangkang berfikir.
Saya tidak fikir bahawa berfikir itu salah
sedangkan begitu banyak ayat-ayat dalam al-Quran mengajak manusia
berfikir. Boleh jadi buah fikiran saya tidak tepat, tak apalah boleh
betulkan. Saya berterima kasih jika ada pihak yang sedia berbincang
dalam suasana penuh ukhuwah berasaskan politik matang dan sejahtera. Itu
cara umat Rasulullah S.A.W dan golongan beriman menangani perbezaan
pandangan. Sedangkan politik bebal dan ego yang wujud pada mana-mana
parti jua pun (jika ada) adalah merugikan diri sendiri dan rakyat. –
* Nasir Mustafa adalah Adun Kubang Rotan
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan