Khalid, Muhammad hanya pecah belahkan Umno


SHAH ALAM – Penyertaan kembali Tan Sri Muhammad Muhd Taib ke dalam Umno serta ura-ura bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang juga akan menyertai parti ini dilihat memberi kesan piskologi kepada parti itu.

Pensyarah Jabatan Sosiobudaya Universiti Malaya, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berpendapat, penyertaan kedua-dua pemimpin ini masih belum mampu meletakkan Umno pada kedudukan selesa untuk menang dalam PRU14 akan datang.

“Saya tak nampak ke arah itu. Walaupun mereka hebat, tetapi belum cukup kuat untuk bantu BN tawan Selangor.

“Ini kerana, di Selangor, terdapat beberapa calon Bahagian yang berebut-rebut untuk dipilih pada PRU14,” katanya

Beliau berkata, apabila ini berlaku, secara langsung ia akan memecah belahkan Bahagian sedia ada.

“Saya ambil contoh Sepang.  Di Bahagian ini terdapat beberapa pemimpin yang berpotensi untuk diketengahkan sebagai calon.

“Apabila di satu-satu Bahagian, ada ramai calon berbakat, ia memberi impak tidak baik pada Umno, inilah kelemahan Umno.

“Apabila tidak bersetuju dengan pilihan pucuk pimpinan, mulalah tidak mahu memberi sokongan. Ada yang bercuti, mengerjakan Umrah, tiada di kawasan kempen dan macam-macam lagi,” katanya lagi.

Jelas beliau, itulah sikap sabotaj yang sudah sebati dalam diri ahli Umno yang harus diubah.
“Berbanding Muhammad, Khalid ada potensi mengekalkan kerusi Dun dan Parlimennya. Pada PRU13, Khalid menang dengan majoriti agak besar, melebihi 10,000 undi.

“Tidak mustahil, beliau dikekalkan. Apa jadi pula kepada pemimpin Umno yang setelah sekian lama berbakti di kawasan tersebut?,” ujarnya.

Beliau berkata, berbeza dengan Muhammad yang mungkin akan hanya diletakkan di Bahagian sahaja iaitu kembali ke Kelana Jaya.

“Walaupun satu dalam parti dan satu lagi mewakili parti, ia tetap memberi impak pada parti.
“Sudah menjadi tugas Presiden Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan Naib Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melakukan sesuatu sebelum terlambat.

“Budaya politik ketam ini harus dihentikan dan perlu diselamatkan,” jelasnya.

 Ujarnya, kebiasaannya dalam politik ini, apabila ada kemasukan begini, ia sudah pasti akan ada tempat untuknya.

“Sama ada Khalid mahupun Muhammad, mereka membuatkan keadaan bertambah teruk, kecuali ahli Umno sudah boleh berlapang dada,” katanya.


Semalam, Khalid dan Muhammad hadir ke Konvensyen Umno Selangor di PWTC yang diadakan secara tertutup.

Dalam pada itu, Khalid menerusi satu status yang dimuat naik di akaun Facebooknya semalam, Khalid berkata, jemputan itu merupakan usaha yang baik demi memperkasakan perpaduan umat Islam sama ada daripada kerajaan mahupun pembangkang.

Namun ada juga menganggap status seumpama itu seakan-akan memerli parti sebelum ini.

“Saya yakin pendekatan ini jauh lebih efektif daripada hanya menyokong satu pihak yang gemar melaungkan retorik keadilan tanpa komitmen untuk melakukan reformasi sebenar.

“Apa pun, saya tidak akan melepaskan prinsip amanah, telus dan bertanggungjawab dalam segala tindakan dan keputusan,” tulisnya.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan