Oleh Datuk Saifuddin Abdullah
PADA 18 November 2017, selaku Pengerusi Pusat Kajian
Pembinaan Bangsa, Institut Darul Ehsan (IDE), saya mempengerusikan
sidang meja bulat bertajuk ‘Mengembalikan Posisi Tengah: Peranan Agama
dalam Masyarakat Berbilang Kaum’, di Pejabat IDE, Shah Alam.
Ia menampilkan tokoh antarabangsa maqasid al-shariah Prof Dr Jasser
Auda (Pengerusi, Institut Maqasid, London) dan pengulas-pengulas: Hannah
Yeoh (Speaker Dun Selangor), Uthaya Sankar SB (Kumpulan Sasterawan
Kavyan), Yusmadi Yusoff (Pengasas Yayasan Rights), Thai Ming (Persatuan
Dhammaduta Malaysia), Dr KJ John (Pengerusi Institut Jantung Oriental
dan Kajian Minda) dan Datuk Abdul Jalil Ali (Penasihat Eksekutif
Editorial, Kumpulan Media Karangkraf).
Sidang meja bulat ini adalah sebahagian daripada proses Pusat Kajian
ini dalam melahirkan projek berkembar ‘Fiqh Hidup Bersama dengan Aman’
dan ‘Pemikiran Politik Berbilang Kaum dan Moderat’.
Sidang ini merupakan kesinambungan pelbagai kerja baik yang telah
dilaksanakan oleh banyak individu dan kumpulan yang terdahulu, sama ada
di dalam ataupun di luar negara.
Matlamatnya ialah untuk menyambung kerja-kerja tersebut,
memperkayakannya, dan menterjemahnya menjadi undang-undang, dasar-dasar
dan program-program yang konkrit. Ia adalah soal menterjemah fundamental
agama menjadi aplikasi agama dalam seluruh spektrum kehidupan manusia
semasa.
Menurut Prof Auda, Islam adalah asalnya ‘di tengah’ (centrist) atau
‘moderat’. Tetapi, malangnya, hari ini, umat Islam telah kehilangan
posisi ‘di tengah’ itu. Ini terutamanya adalah akibat ahli politik dan
pemimpin Islam (pada sepanjang sejarah) yang menyalahgunakan Islam,
termasuk dengan menekan umat Islam yang mengambil pendirian centrist
dalam isu-isu tertentu. Untuk menegakkan Islam, umat Islam perlu kembali
kepada posisi asal Islam, iaitu posisi di tengah itu.
Keenam-enam pengulas tersebut telah berkongsi idea-idea penting,
contohnya: bagaimana agama menjadikan seseorang itu individu, termasuk
ahli politik, yang lebih baik; perlunya memahami agama-agama lain;
interaksi dan kerjasama antara penganut-penganut berlainan agama; maruah
manusia; berkongsi ruang khalayak/awam; dan peranan media memberikan
liputan adil buat semua agama.
Sidang meja bulat begini lazimnya menampilkan sarjana-sarjana agama
sebagai panel. Tetapi, sidang ini unik, kerana, kecuali Auda, semua
pengulas bukanlah sarjana agama. Mereka ahli politik, peguam, penulis,
aktivis belia, bekas pegawai kerajaan dan wartawan. Tetapi, semua mereka
terlibat aktif dalam aktiviti agama.
Ia disusun begini atas dua sebab. Pertama, untuk menunjukkan tiada
mana-mana kumpulan memonopoli diskusi seperti ini. Kita tidak mahu
menampilkan mereka yang mahir dalam agamanya, tetapi, (a) tidak
mengenali ‘orang lain’ (agama-agama lain/penganut-penganut agama lain)
yang akan menyebabkan perbincangan menjadi ‘lesu’ dan ‘defensif’;
dan/atau (b) tidak mendalami perkembangan pantas Realiti Baru hari ini
(teknologi/media sosial, kesedaran/gerakan baru sosial, demokrasi tahap
ketiga) yang akan menyebabkan perbincangan menjadi ‘reaktif’.
Sebaliknya, kita mahu menemukan mereka yang pakar dalam bidang-bidang
kehidupan kontemporari, dan pada masa yang sama, komited pada agamanya.
Dan keduanya, untuk membawa diskusi ini melampaui paradigma
‘nilai-nilai bersama’, dan pergi lebih jauh, iaitu menghalusi dalam
bidang-bidang spesifik, contohnya, politik, undang-undang, kerajaan dan
media.
Kita juga perlu melampaui ‘langkah reaksi’ semasa dan bergerak ke arah
‘langkah aksi’. Langkah reaksi bermakna kita menggunakan agama untuk
menyesuaikan diri dengan Realiti Baru. Agama kelihatan keterbelakangan
dan perlu mengejar. Apa yang diperlukan ialah kita yang menentukan apa
itu Realiti Baru.
Justeru, kita perlu menggunakan pendekatan reformis dan inklusif dalam
beragama, memahami orang/agama lain dan masyarakat, supaya kita dapat
dengan sepenuh dan seaktifnya berintegrasi dan berpartisipasi dalam
pembinaan bangsa dengan aman dan harmoni sebagai rakan kongsi dan
warganegara yang setaraf.
*Datuk Saifuddin Abdullah ialah Ketua Setiausaha Pakatan
Harapan dan Pengarah (Strategik dan Pembangunan Sosial) Institut Darul
Ehsan. Beliau aktif di Twitter: @saifuddinabd.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan