Pengerusi Biro Antarabangsa Parti AMANAH Negara, Datuk Raja Kamarul
Bahrin Shah mempersoalkan apakah penolakan usul supaya isu Rohingya
dibahaskan di parlimen tahun lepas punya kaitan dengan pembunuhan
beramai-ramai di Wang Kelian?
Kata beliau, usul yang telah dicadangkan di parlimen untuk membahas
isu pelarian Rohingya pada tahun lepas telah ditolak tanpa menerima
sokongan daripada pihak Barisan Nasional.
“Dengan pendedahan cubaan menutup pembunuhan terancang pelarian di
Wang Kelian, yang juga melibatkan warga Myanmar, suatu persoalan baru
telah timbul.
“Adakah penolakkan bahas isu Pelarian Rohingya dari Myanmar di
parlimen tahun lepas ada kaitan kerana khuathir terbongkar rahsia
pembunuhan beramai-ramai di Wang Kelian?” kata Raja Bahrin dalam
kenyataan medianya hari ini.
Katanya, pembongkaran oleh akhbar NST mengenai pembunuhan di Wang
Kelian yang cuba ditutup oleh pihak berkuasa menimbulkan persoalan besar
yang serius tentang aktiviti perdagangan manusia Malaysia yang
bertentangan dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Kenapa isu pembunuhan beramai-ramai di Wang Kelian yang melibatkan
warga Myanmar cuba ditutup dan kenapa perbahasan pelarian Myanmar di
parlimen juga ditolak ? Rakyat ingin tahu adakah kedua-dua isu ini ada
kaitan yang pihak berkuasa bimbang akan terbongkar?
“Mengikut laporan terbaru NST aktiviti penyeludupan manusia dari
Myanmar di sempadan Malaysia -Thailand kembali aktif sekarang. Tindakan
pihak berkuasa memusnahkan perkhemahan haram pelarian tersebut
menimbulkan tanda tanya bukti apakah yang mereka ingin sembunyikan?
“Ini menimbulkan tanda tanya sekali lagi apabila usul pelarian
Myanmar dan Rohingya di Parlimen ditolak tetapi Umno dan Pas boleh pula
mengadakan perhimpunan di stadium beberapa hari selepas itu berkaitan
isu yang sama.
“Apakah yang kerajaan takut disoal jika perbahasan terbuka di adakan
di Parlimen? Adakah kaitan sindiket penyeludupan perlu dilindungi?
Adakah tuduhan ada pihak berkuasa dan orang atasan terlibat dalam
sindiket penyeludupan perkara yang ingin ditutup?” soal Ahli Parlimen
Kuala Terengganu itu.
Tambah beliau, lapuran NGO antarabangsa dan PBB telah lama mengaitkan
pihak berkuasa Malaysia dengan penyeludupan warga asing di sempadan dan
mayat daripada pembunuhan beramai-ramai di Perlis adalah bukti jelas ia
berlaku.
“Apa artinya perhimpunan besar-besaran untuk Rohingya di Stadium Mini
Titiwangsa dan pelancaran Flotilla oleh Umno dan Pas jika perdagangan
dan pembunuhan orang Myanmar-Rohingya berlaku di sempadan Malaysia tanpa
pembelaan?
“Jelas terbukti 139 mayat yang dijumpai di Wang Kelian adalah hasil
sindiket haram yang mengenakan bayaran penyeludupan antara RM2,500 dan
RM3,500 untuk seorang.
“Permohonan Suhakam kepada Kementerian Dalam Negeri Malaysia gagal
mendapati apa-apa maklumat dan mereka terpaksa meminta maklumat daripada
pihak berkuasa Thailand.
“Pihak persatuan peguam BAR Council mendesak siasatan diRaja diadakan
ke atas isu 139 mayat yang dijumpai dan percubaan untuk menutup rahsia
penemuan mayat-mayat tersebut.
“Kami menuntut Kerajaan Malaysia mengadakan Siasatan diRaja ke atas
139 mayat yang dijumpai di Wang Kelian bagi memastikan ia tidak berulang
lagi.
“Kami juga menuntut sidang khas parlimen bagi membahas masalah
pelarian kaum Rohingya dan masalah perdagangan manusia di Malaysia,”
sambung beliau.
Ini mesti diadakan dengan segera bagi membersihkan nama Malaysia dalam kedua-dua isu tersebut, katanya.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan