Oleh HAYAR HASSAN
Setelah riuh rendah berkaitan soal calon Perdana Menteri Pakatan
Harapan(PH) dan pengagihan kerusi-kerusi Parlimen Semenanjung Malaysia Barat di
antara parti-parti komponen PH mulai reda, isu seterusnya adalah pemilihan
bakal-bakal calon PH. Lazimnya pemilihan bakal calon-calon ini adalah
tanggongjawab pimpinan parti-parti berkenaan.
Formula asas yang sering diketengahkan adalah calon-calon yang boleh
memenangi sesuatu kerusi (winnable
candidates). Oleh yang demikian, banyak kriteria yang akan diambil kira
sebelum sesaorang itu dimuktamadkan sebagai calon kerusi Parlimen atau pun
Dewan Undangan Negeri(DUN) dan diberikan watikah daripada partinya.
Menyorot kembali pasca beberapa PRU yang lalu, mencari calon-calon
yang benar-benar komited dengan perjuangan dan idealisma pakatan pembangkang di
Malaysia bukan lah suatu perkara yang mudah. Bermacam-macam cerita negatif dan
memualkan telah terakam dalam sejarah beberapa Pilihan Rayu Umum(PRU) lalu.
Calon yang mempunyai
kelulusan professional seperti peguam, doktor, jurutera, akauntan atau
lain-lain lulusan universiti bukan lah selalunya tepat dan boleh diharapkan
untuk membawa idealisma perjuangan pakatan pembangkang. Ternyata ada yang gagal
apabila menerima tekanan dan ujian yang dilakukan oleh UMNO/BN.
Penulis masih ingat kisah yang memualkan bagi penyokong-penyokong
PAS sewaktu mencari calon yang
berkaliber untuk Parlimen Kuala Kangsar(P 67) semasa PRU ke 7 (1986) melawan
calon UMNO/BN, Tan Sri Rafidah Aziz yang pada waktu itu adalah Ketua Wanita
UMNO dan juga menjawat jawatan Menteri Perdagangan Dan Perindustrian Malaysia
ketika itu.
Dalam usaha mencari seorang calon yang dikatakan berkaliber dan mempunyai
kelayakan ekademik yang setara dengan calon UMNO/BN, muncul seorang ahli
perniagaan yang dikatakan baru menjadi ahli PAS@broker, menawarkan seorang peguam muda sebagai calon PAS Parlimen
Kuala Kangsar. Tawaran ini pada mulanya ditentang oleh aktivis-aktivis dan AJK
PAS Kuala Kangsar memandangkan bahawa calon dan broker tersebut bukan orang tempatan dan hanya baru muncul di Kuala
Kangsar.
Walau pun berlaku perbezaan pendapat, akhirnya Pas Kuala Kangsar
bersetuju juga untuk meletakkan peguam
muda itu menjadi calon Parlimen PAS . Dari tarikh penamaan calon hingga lah menjelang
dua hari, hari membuang undi, penulis dan penyokong-penyokong PAS Kuala Kangsar
bertungkus lumus, siang malam berkempen untuk memberikan saingan yang sengit
kepada calon UMNO/BN. Semangat kami cukup tinggi kerana pertama kali PAS Kuala
Kangsar mengemukakan seorang peguam sebagai calon Parlimen.
Tiba-tiba calon PAS dan broker
tersebut menghilangkan diri dan
sukar untuk dihubungi. Semasa Berita Perdana malam berikutnya, wajah calon
tersebut muncul di muka TV dan mengumumkan bahawa dia menarik diri daripada
menjadi calon PAS. Esoknya berita tersebut muncul di dada-dada akhbar arus
perdana. Bayangkan betapa kecewanya penyokong dan ahli PAS seluruh Negara.
UMNO/BN menang besar pada PRU ke 7 itu.
Menurut maklumat yang boleh dipercayai, calon tersebut dan brokernya telah dijanjikan sejumlah
kawasan balak di Hulu Perak.
Kisah kedua yang cukup menarik juga berlaku kepada calon Parlimen
PKR Bagan Serai(P 58) dalam PRU Ke 12. Dalam PRU ini, calon PKR ini telah
menang mengalahkan calon BN. PRU ke 12 adalah pertama kalinya UMNO/BN telah
kehilangan majoriti 2/3 di Parlimen dan lima buah Dewan Undangan Negeri(DUN)
telah dimenangi oleh Pakatan Rakyat(PR). Dalam keadaan yang agak kritikal itu,
UMNO/BN telah menjalankan beberapa tindakan politik yang telah semua kita tahu
akan hasilnya. Kerajaan PR di Perak telah tumbang selepas hanya dua tahun memerintah.
Ini terhasil apabila empat orang ADUN PR melompat ke BN.
Dikhabarkan Ahli Parlimen Bagan Serai tersebut telah gagal
melunaskan hutangnya dengan sebuah bank tempatan apabila projek ternakan
lembunya bermasaalah. Beliau telah diberikan kata dua, melompat keluar daripada
PR, menjadi calon bebas atau pun bakal dimufliskan kerana gagal membayar hutang
banknya. Akhirnya beliau bersetuju menjadi Ahli Parlimen Bebas. Dikhabarkan
juga beliau mendapat beberapa ratus ekar tanah ladang kelapa sawit di Sabah .
Kisah ketiga pula berlaku
kepada ADUN Penanti (N 12), Pulau Pinang. Setelah memenangi kawasan Penanti,
beliau dilantik menjawat jawatan Timbalan Ketua Menteri . Hakikatnya
tanggongjawab jawatan ini bukan lah mudah untuk dilaksanakan. Ianya nampak
mudah, namun terlalu sukar untuk dijalani oleh sesetengah YB. Hanya politikus
yang kuat semangat, berdisiplin dan bijaksana menguruskan masanya sahaja yang
dapat melaluinya dengan penuh bergaya. Anggota keluarga YB juga perlu memberikan dukungan yang kuat.
Kata orang setelah menjadi seorang YB, bermula daripada jam 6.00
pagi hinggalah dinihari, waktu dan tenaganya adalah dengan masyarakat dan
pengundi. Perlu bekerja sepenuh masa dan tiada masa bercuti, bersantai-santai
dengan keluarga lagi. Seandainya YB gagal menguruskan masanya dengan baik, pelbagai masaalah akan timbul
dan akhirnya partinya sukar untuk mengekalkan jawatan yang telah diamanahkan
kepadanya.
Dalam tiga kisah yang dipaparkan di atas, ianya berlaku kepada
calon-calon yang pertama kalinya menjadi calon parti pembangkang. Cabarannya
bukan kecil dan bukan mudah untuk dilalui. Lazimnya mereka merupakan
aktivis-aktivis parti atau sekadar penyokong parti yang mudah ditekan dan
hilang idealism perjuangannya. Bagi ahli dan aktivis parti yang sudah beberapa
kali bertanding dalam PRU, tentunya mereka sudah kaya dengan pengalaman
berpolitik. Mereka sudah tahu sepak terajang musuh-musuh politik dan dapat
membaca akan langkah-langkah politik seterusnya.
Adalah diharapkan dengan secebis tulisan ringkas ini dapat menarik
perhatian pimpinan-pimpinan parti-parti dalam PH agar lebih berhati-hati dan
lebih cermat dalam memilih calon-calon untuk kerusi-kerusi Parlimen dan DUN.
Kelulusan ekademik dan petah berpidato bukan lah kriteria utama untuk seorang
bakal calon PRU. Perkara yang lebih penting adalah komited dengan agenda
perjuangan PH serta mempunyai daya tahan yang tinggi menerima tekanan dan
tawaran kewangan dan harta daripada pihak musuh.
Seandainya kisah-kisah di atas berulang lagi menjelang hari mengundi
atau selepas PH menempah kemenangan, ianya amat dikesali sangat. Amat
dibimbangi sekiranya keputusan PRU ke 14 nanti , PH dan BN mendapat bilangan
kerusi yang hampir sama. Jelasnya kemenangan yang hanya dengan majoriti mudah.
Akan berlaku lah percubaan membeli YB-YB dari kedua belah pihak.
Yang sedihnya, hingga ke saat ini tidak peruntukan undang-undang dalam
Perlembagaan Malaysia yang secara jelas menghalang daripada amalan jijik ini daripada
terus berlaku. Pihak Kerajaan yang memerintah semacam sengaja membiarkan amalan
ini untuk terus berlaku.
0 comments:
Catat Ulasan