MENTERI Besar Selangor Azmin Ali berkata PAS tidak perlu
mempersoalkan sama ada dasar kerajaan negeri benar-benar mengikut kaedah
Islam.
Ini kerana, program dan pentadbiran yang dilaksanakan sudahpun
menepati prinsip Islam tanpa perlu dilabel sebagai program Islamik, kata
Azmin.
“Jadi nak tukar apa? Yang saya sebut tadi, program KISS, Peduli
Sihat, air percuma, pembangunan, pengurusan kewangan yang berintegriti.
"Ini semua menepati prinsip-prinsip Islam tapi tak payahlah pakai
label Islam di dalam program-program. Tidak payah labelkan KISS Islam
atau projek pembangunan Islam," katanya
Beliau mengulas kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang menyeru
rakyat Selangor untuk menukar sokongan dalam pilihan raya umum akan
datang dengan memilih parti yang berciri dan mengamalkan ajaran Islam.
Hadi berharap, perubahan itu dapat menjadi contoh kepada negeri lain, lapor sebuah portal pro-BN, Antarapos.com.
“Orang Islam yang memimpin dahulu. Biar orang Islam ke depan. Pilih
calon-calon Islam yang boleh menegakkan ajaran Islam," katanya seperti
dipetik portal itu.
Hadi juga berkata parti itu komited untuk berlaku adil kepada semua
kaum di negeri ini sekiranya PAS dipilih untuk menjadi kerajaan.
Mengulas lanjut kenyataan Hadi itu, Azmin menambah apa yang lebih
penting adalah sebuah kerajaan yang peduli rakyat yang mementingkan
keadilan sosial.
"Yang pentingnya prinsip keadilan sosial dan prinsip pengagihan adil
itu mesti dipertahankan jangan negeri kaya tapi rakyat miskin. Itu tidak
adil itu zalim,” kata ahli parlimen Gombak itu.
Beliau juga yakin rakyat Selangor kini bijak menilai dan akan memilih calon Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-14.
"Kita kena yakin kemampuan rakyat untuk membuat keputusan. Apa yang kita laksanakan ini adalah sebahagian usaha kita.
"Apabila cukup tempoh kita serahkan mendat ini kepada rakyat biar
rakyat yang menentukan masa depan negeri Selangor. Rakyat akan
pertahankan sebuah kerajaan yang stabil dan berjaya menaikkan martabat
rakyat," katanya lagi.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis pelancaran Program
Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) di Padang Awam Kampung Permatang Kuala
Selangor hari ini.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan