PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau berani bersumpah
menggunakan al-Quran bagi membuktikan beliau tidak terbabit dalam
pemecatan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas pada 1988.
Sebaliknya, bekas perdana menteri itu menuding jari ke arah peguam
negara ketika itu, Tan Sri Abu Talib Othman yang menggunakan namanya
untuk melindungi Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-8, Sultan Iskandar
Sultan Ismail atas pemecatan itu.
“Peristiwa pemecatan Tun Salleh bukan kerana saya. Malangnya untuk
selamatkan nama YDPA. Peguam negara pada masa itu guna nama saya, konon
saya suruh.
“Saya tidak campur tangan langsung, kemudian baru saya tahu konon dia
(peguam negara) kata saya suruh. saya berani junjung Quran masuk dalam
masjid dan bersumpah bahawa saya tidak suruh,” katanya pada sidang media
di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini.
Mengulas lanjut, pengerusi Pakatan Harapan itu tidak menolak
kemungkinan Salleh dipecat kerana menyuarakan rasa tidak puas hati
ekoran pencemaran bunyi yang berpunca daripada pengubahsuaian di
kediaman persendirian Agong itu.
“Surat dihantar oleh Salleh kepada YDPA, dia buat aduan sebab
rumahnya berhampiran rumah persendirian YDPA dan masa itu ada
penambahbaikan di rumah Agong. Akibat bunyi bising, jadi Salleh tulis
surat kepada YDPA untuk hentikan bising.
“…surat itu juga dihantar kepada semua raja. YDPA amat murka, minta
saya buang Salleh, saya kata tidak boleh. Kalau nak buang, kena guna
tribunal.
“YDPA kata buat tribunal, saya hanya buat apa YDPA iktirafkan, saya
sendiri tak boleh buat,” katanya yang memimpin negara mulai 1981 hingga
2003.
Ini bukan kali pertama Dr Mahathir membuat penafian berhubung
pemecatan Salleh yang seterusnya mencetuskan krisis kehakiman pada 1988.
Beliau pernah membuat penjelasan sama pada Jun 2015 dan Julai 2017.
Tribunal kehakiman yang dianggotai hakim Mahkamah Tinggi dan Agung
ditubuhkan bagi memecat Salleh atas alasan terbabit salah laku pada
1988.
Pada 26 Julai 2017, Dr Mahathir menafikan beliau bertanggungjawab
atas krisis kehakiman pada 1988, sebaliknya menyalahkan Almarhum Sultan
Iskandar melalui peguam negara ketika itu, menggunakan namanya untuk
memecat Salleh kerana marah dengan aduan bunyi bising akibat
pengubahsuaian di kediaman Sultan Johor itu.
Anak Sultan Iskandar, Tunku Abdul Majid Idris bagaimanapun mendakwa
Dr Mahathir “menggunakan” nama Agong untuk menyingkirkan Salleh.
Pada 29 Julai 2017, Abu Talib dipetik Malaysiakini sebagai berkata,
krisis kehakiman itu berpunca daripada hakim Mahkamah Tinggi dan Agung
sendiri yang mencadangkan pemecatan Salleh kepada Agong.
Katanya, beliau dan Dr Mahathir tiada pilihan kecuali mematuhi arahan Agong untuk menubuhkan tribunal kehakiman itu.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan