Perhimpunan Agung PPBM Adalah Sah

Oleh DATUK DR SHARUDDIN MD SALLEH

Datuk Nur Jazlan Mohamed, Timbalan Menteri Dalam Negeri, membuat kenyataan yang disiarkan oleh media pada 1 Januari 2018 bahawa Perhimpunan Agung Tahunan PPBM yang telah berlangsung pada 30 Disember 2017 tidak mengikut perlembagaan parti. Ini kerana menurut beliau PPBM tidak mengadakan persidangan bahagian dan cawangan terlebih dahulu sebelum Perhimpunan Agung diadakan.

Sebagai seorang Timbalan Menteri di sebuah kementerian yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal pertubuhan, beliau sepatutnya bersikap lebih profesional. Ternampak jelas bahawa kenyataan beliau itu tidak bersasaskan fakta yang tepat, tetapi dibuat dengan bermotifkan politik.

PPBM tidak mengadakan persidangan cawangan kerana setakat ini belum ada satu cawangan pun yang telah berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan. PPBM pada waktu ini masih dalam proses mendaftarkan cawangan-cawangan di seluruh negara. Nur Jazlan sepatutnya boleh memperolehi fakta ini dengan mudah daripada pejabat Pendaftar Pertubuhan jika beliau membuat semakan terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan.

Persidangan bahagian juga tidak diadakan kerana menurut tafsiran perlembagaan PPBM, persidangan bahagian hendaklah diadakan setelah bahagian-bahagian cukup tempoh setahun penubuhannya. Tarikh paling awal bahagian PPBM didaftarkan dengan mendapat Sijil Pendaftar Pertubuhan ialah pada 24 Julai 2017. Bermakna, bahagian PPBM yang paling awal didaftarkan akan genap tempoh setahun penubuhannya pada 24 Julai 2018. Selepas itu barulah boleh diadakan persidangan bahagian untuk memilih perwakilan ke Perhimpunan Agung.

Menurut Fasal 29 Perlembagaan PPBM, Majlis Pimpinan Tertinggi mempunyai kuasa untuk membuat tafsiran mengenai perlembagaan parti, dan tafsiran yang diberikan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi adalah muktamad. Tatacara dan kaedah pelaksanaan Perhimpunan Agung PPBM adalah dilaksanakan menurut tasiran perlembagaan yang dibuat oleh Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM. Perkara ini telah dimaklumkan secara bersurat kepada Pendaftar Pertubuhan sebelum Perhimpunan Agung PPBM diadakan.

Malah, PPBM telah meminta nasihat daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia berhubung dengan tatacara mengadakan Perhimpunan Agung PPBM menerusi beberapa pertemuan dan surat, namun JPPM tidak memberikan sebarang nasihat yang jelas, melainkan sepucuk surat bertarikh 19 Disember 2017 yang meminta PPBM melaksanakan Perhimpunan Agung menurut perlembagaan parti. PPBM telah menjawab surat tersebut dengan memaklumkan kepada pihak JPPM bahawa tatacara dan kaedah Perhimpunan Agung adalah teratur menurut tafsiran Perlembagaan PPBM yang dibuat oleh Majlis Pimpinan Tertinggi.

Nur Jazlan selaku Timbalan Menteri Dalam Negeri tidak berhak untuk mentafsir perlembagaan PPBM. Tidak ada peruntukan di dalam perlembagaan PPBM mahupun Akta Pertubuhan 1966 yang memberi kuasa kepada Timbalan Menteri untuk mentafsir perlembagaan parti. Justeru, andaian beliau mengenai maksud perlembagaan PPBM tidak mempunyai apa-apa kesan dari segi perundangan terhadap PPBM. Ini satu fakta yang beliau mesti tahu sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan yang boleh menjejaskan kredibiliti beliau sendiri.

Dalam tempoh setahun ini, PPBM telah berjaya menubuhkan 137 bahagian di seluruh negara yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan. Sebanyak 21 bahagian lagi masih dalam proses pendaftaran dengan Pendaftar Pertubuhan. Tidak benar dakwaan Nur Jazlan bahawa PPBM tidak mempunyai sokongan di peringkat akar umbi. Yang tiada sokongan sekarang ialah UMNO, kerana rakyat  khususnya orang Melayu, semakin kecewa dengan penyelewengan yang dilakukan oleh pemimpin UMNO dan kegagalan parti itu untuk membela nasib rakyat yang sedang dihimpit dengan berbagai masalah dan bebanan kos sara hidup.

Saya ingin mengingatkan Nur Jazlan supaya bertindak lebih profesional dalam menjalankan tugasnya sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri. Hak berpersatuan adalah suatu hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, dan PPBM adalah sebuah parti politik yang sah serta perjalanannya adalah mengikut lunas undang-undang.  Adalah menjadi hak ahli-ahli PPBM untuk bergiat di dalam parti tanpa sebarang ugutan.

Dalam sebuah negara demokrasi, undang-undang sepatutnya melindungi hak rakyat, dan kuasa kerajaan dibatasi oleh undang-undang. Janganlah pula kerana UMNO berada dalam keadaan yang cemas dan lemas pada waktu ini, undang-undang dan kuasa kerajaan disalahgunakan untuk mengugut PPBM serta menyekat hak ahli-ahli untuk bergiat di dalam parti pilihan mereka. Ini adalah satu pencabulan terhadap hak kebebasan berpersatuan yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan bertentangan dengan amalan demokrasi.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan